Monday 1 August 2011

SSPDS 48


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (48)
Hari ini ialah hari pertama Ramadhan. Bermulanya bulan yang mulia dimana umat Islam tidak digalakkan berbalah sesama sendiri termasuk dalam hal-hal politik.
Namun, saya tidak menganggap saya tidak boleh terus menulis hanya kerana bulan ini ialah bulan Ramadhan.  Saya akan tetap terus menulis dan mengkritik kerana tulisan saya tidak pernah mengandungi unsur-unsur provokatif atau unsur-unsur fitnah. Saya tetap menjaga etika tulisan saya supaya ianya tergolong didalam kelompok blog yang membawa mesej positif untuk orang-orang melayu.
Pada masa ini suasana politik di Semerak tidak mengalami sebarang perkembangan ketara. Ianya masih seperti biasa. Orang-orang Semerak masih seperti biasa dengan sikap tidak mengambil kisah sangat tentang pilihanraya yang sedang mendatang. Ini bermakna orang-orang Semerak sudah matang.
Walau bagaimana pun, sekali sekala mereka menjadi sangat ceria dan teruja setiap kali mana-mana seorang daripada kedua-dua orang tokoh muncul dan singgah untuk bertemu dan beramah mesra dengan mereka. Kedua-dua tokoh ini ialah YB Wan Hassan dan Kapt (B) Wan Marzudi JP. Mereka sentiasa menjadi agen stimulasi kemana-mana saja mereka pergi kerana kebolehan berinteraksi dengan baik dan petah serta bijak mengatur tingkah bahasa dengan tidak menyentuh perasaan sesiapa. Kedua-dua mereka sangat dihormati dan disegani kerana rendah diri dan bijak mengambil hati orang ramai serta tebal sifat dermawannya.
Sebab itulah saya pernah menulis sebelum ini bahawa kekuatan peribadi kedua-dua tokoh anak tempatan ini seimbang. Kalau main ‘aji’ kedua-duanya sama banyak buah dan sama-sama boleh naik ‘aji’ (bukan ‘haji’). Tinggal lagi siapa yang tersilap hanya selangkah dalam sekelip mata sahaja, maka beliau akan kehilangan ‘tapaknya’. Walau bagaimana pun mereka tidak bermusuhan kerana orang yang bermain ‘aji’ sudah tentulah kawan baik. Kalau tak kenal mereka tak bermain.
Suasana beginilah kalau boleh diwujudkan secara berterusan sehingga pilihanraya. Barulah perkara-perkara buruk tidak akan timbul diantara penyokong masing-masing kerana kedua-dua pemimpin mereka sentiasa dilihat ‘berkawan’. Pengundi-pengundi akan membuat keputusan memilih mana-mana calon yang mereka kehendaki berpandukan kepada kelebihan peribadi seseorang calon. Itulah yang sepatutnya menjadi kayu ukur utama. Selepas itu barulah faktor-faktor politik diambilkira seperti isu-isu semasa dan lain-lain.
Saya membicarakan hal ini kerana saya telah lama bersikap bahawa kriteria pilihan ialah kebolehan dan keperibadian seseorang sebagai faktor utama. Bagi saya, sebaik mana sekali pun sesebuah parti politik itu tetapi jika calon yang bertanding mewakilinya itu tidak baik, maka akan jadi tidak baiklah juga parti itu sendiri akhirnya jika pun calon itu menang. Begitulah juga sebaliknya. Hatta, dalam agama pun, kita disuruh supaya memilih pemimpin diantara kita bukan memilih parti. Parti diwujudkan semata-mata kerana ianya perlu diwujudkan dalam sistem demokrasi yang diamalkan negara.
Dan kita selalu lupa bahawa parti itu adalah orang.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
1 Ogos 2011 / 1 Ramadhan 1432H
Semerak.

No comments:

Post a Comment