Saturday 13 August 2011

SSPDS 57


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (57)
Hari ini ialah hari ke-13 berpuasa. YB Wan Hassan berbuka di masjid Kg Kulim bersama Prof Madya Dr Abu Hassan dan mahasiswa-mahasisiwi UM yang menjadi anak angkat orang-orang kampong di sini.
Hampir setiap hari YB Wan Hassan ada program berbuka puasa di merata-rata tempat dalam DUN Semerak. Beliau mengambil peluang sepenuhnya didalam bulan puasa untuk mendampingi rakyatnya dengan cara berbuka puasa. Tak kurang juga program untuk Kapt. (B) Wan Marzudi JP. Beliau pun hampir setiap hari juga dijemput berbuka di merata-rata tempat dalam DUN Semerak.
Yang berbeza ialah mereka tidak berbuka ditempat yang sama. Sudah tentulah tidak boleh kerana mereka berdua dari berlainan parti.
Walau bagaimana pun, pada 19hb ini mereka berdua akan berbuka bersama di Balai Polis Cherang Ruku. Majlis berbuka itu dibiayaai oleh Kapt. (B) Wan Marzudi JP tetapi YB Wan Hassan turut dijemput kerana menghormati beliau sebagai wakil rakyat DUN ini.
Suasana sebeginilah yang sangat-sangat kita inginkan. Kita nak tengok biar YB Wan Hassan ada bersama dengan tokoh-tokoh dari UMNO dalam majlis-majlis seperti berbuka atau lain-lain. Kita nak tengok supaya kalau boleh mereka bergaul mesra secara terbuka sebagai saudara yang tinggal sekampong. Kita nak tengok kalau boleh orang-orang seperti Kapt Wan Marzudi JP keluar masuk pejabat ADUN tanpa merasa kekok dan segan jika ada sesuatu urusan dengannya.
Saya membawa mesej ini kerana saya sendiri sudah lama keluar masuk pejabat ADUN ini tanpa merasa kekok dan segan. Saya tidak tahulah samada di DUN-DUN lain terdapat juga orang-orang lain yang boleh berbuat seperti saya ini. Kalau tidak ada, saya tidak menyalahkan sesiapa kerana sememangnya bukanlah mudah untuk seorang ahli UMNO keluar masuk pejabat wakil rakyat PAS. Ia memerlukan satu tahap kemampuan untuk berhadapan dengan persepsi orang-orang UMNO sendiri walaupun orang-orang PAS tidak mengambil kisah.
Bagi saya, ini pun tidak melanggar perlembagaan parti. Saya hanya masuk ke pejabat sahaja bukan masuk PAS. Mereka semua faham dan tetap menerima saya seadanya sebagai orang UMNO. 
Apakah budaya mengasingkan diri kita dari orang lain hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman politik tidak boleh sama-sama kita akhiri?
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
13 Ogos 2011 / 13 Ramadhan 1432H
Semerak.

No comments:

Post a Comment