Monday 8 August 2011

SSPDS 52


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (52)
(Saya ingin mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan atau sekurang-kurangnya BN menang diperingkat parlimen Pasir Puteh dalam PRU ke-13 nanti)
Suasana di Semerak pada masa ini adalah seperti biasa dengan tidak ada apa-apa isu politik yang boleh diketengahkan dipihak UMNO namun sehari yang lepas PAS Semerak ada program pembahagian wang Gerbang Perkahwinan (Azziwaj) sebanyak RM1,000 kepada pengantin-pengantin baru seramai 33 orang, wang Khairat Kematian (Kifalah) juga RM1,000 kepada waris-waris simati seramai 81 orang dan wang bantuan kepada pesakit-pesakit kronik RM300 kepada seramai 60 orang pesakit-pesakit.
Saya tidak melihat skim-skim kebajikan seperti ini ada dalam UMNO diperingkat Bahagian tetapi telah lama ada dalam PAS. Mengikut maklumat, sumbernya dari kerajaan negeri dan wakil rakyat seperti YB Wan Hassan hanya menjalankan tugas menyalurkannya kepada rakyatnya yang layak.
Apa yang menarik perhatian saya untuk menulis tentang perkara ini ialah skim-skim ini disalurkan bukan kepada orang-orang PAS sahaja tetapi ada juga orang-orang UMNO yang menerimanya bahkan ada juga orang-orang bukan Islam yang menerima wang khairat kematian. Orang-orang UMNO ini tidak pula diusik supaya menyertai PAS tetapi tetap dihormati seperti biasa.
Tidak tahulah saya samada ianya bermotifkan politik atau pun tidak tetapi bagi saya ini sekurang-kurangnya tetap membuktikan bahawa YB Wan Hassan betul-betul menjalankan kewajipannya sebagai wakil rakyat tanpa pilih kasih. Beliau akan menerima sesiapa sahaja yang datang berjumpa dengannya dan sentiasa berlaku adil dalam urusan-urusan yang berkaitan kebajikan. Saya sendiri pun ada memohon wang bantuan MAIK untuk anak saya yang akan menyambung pengajian diperingkat ijazah dan oleh kerana borang itu memerlukan sokongan Penggawa atau Imam, saya telah membawa borang itu ke pejabat ADUN untuk mendapatkan tandatangan yang diperlukan. Penggawa berkenaan telah menandatanganinya tanpa soal dan borang itu telah dapat dikutip kembali hanya sehari selepas itu..
Saya tidak tahulah apa pula istilah yang akan digunakan keatas saya oleh Ketua Bahagian jika beliau mendapat tahu saya memohon wang bantuan ini untuk anak saya. Namun, saya berbuat demikian kerana saya yakin saya tidak melanggar perlembagaan parti hanya kerana memohon wang bantuan seperti ini daripada kerajaan negeri melalui wakil rakyat di tempat saya. Saya hanyalah seorang rakyat biasa negeri Kelantan seperti orang-orang lain dan apabila terdapat peluang untuk memohon sesuatu seperti ini, saya ingin memohonnya kerana merasakan bahawa saya layak memohon dan diberikan pertimbangan yang sewajarnya.
Ini juga saya anggap sebagai sesuatu yang patut dicontohi oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh. Program-program berbentuk kebajikan harus diperbanyak dan dipergiatkan.
Janganlah lagi terlalu mempergiatkan sekatan bantuan kerajaan pusat keatas orang-orang PAS melalui PPM kerana sekatan bantuan daripada kerajaan negeri tidak pun diamalkan secara ketara atau berlebih-lebihan oleh kepimpinan PAS Pasir Puteh terutama PAS Semerak.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
8 Ogos 2011 / 8 Ramadhan 1432H
Semerak.

No comments:

Post a Comment