Friday 29 June 2012

MyDiary (60)

MyDiary (60)
29 Jun 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Setelah ditunggu-tunggu, maka akhirnya Bilik Gerakan BN DUN Semerak dibuka dengan majlis solat hajat pada malam ini. AlhamdulilLAH, syukur.

Kepada yang mengetahui, mereka merasa amat bertuah kerana adanya seorang insan yang sanggup membeli tapak beserta rumah kedai itu, lalu membaiki dan mengubahsuainya untuk dijadikan Bilik Gerakan BN DUN Semerak. Setelah diperbaiki dan diubahsuai, mereka pun menunggu-nunggulah pula masa dan ketika ianya dibuka. Mereka dimaklumkan bahawa Bilik Gerakan itu akan dilengkapi dengan segala peralatan asas untuk memenuhi keperluan sebuah Bilik Gerakan termasuk jugalah kemudahan WiFi. Orang ramai terutamanya orang-orang UMNO merasa begitu gembira dan menunggu-nunggu saat ianya dibuka.

Pada malam ini, berlakulah upacara pembukaan yang ditunggu-tunggu itu. Malangnya, ianya disempurnakan jauh daripada jangkaan dan harapan orang ramai. Upacara itu sekadar melibatkan sekumpulan kecil jemaah masjid dan Pengerusi-Pengerusi JKKKP selain daripada beberapa orang penting parti seperti Ketua Bahagian, Pengerusi Penyelaras DUN dan lain-lain termasuk jugalah Bendahari Bahagian yang membeli tapak dan premis lama itu.

Sebahagian besar orang-orang lain yang selama ini menunggu-nunggu saat pembukaannya tidak pun dimaklumkan, jauh sekali dijemput. Mereka pun menganggap upacara pembukaan itu sekadar upacara pembukaan yang skalanya sama sahaja seperti solat hajat memohon berkat untuk anak yang hendak pergi melanjutkan pelajaran ke universiti sahaja. Bagi mereka, inilah akibatnya apabila sesuatu yang hendak dilakukan itu urusannya diserahkan bulat-bulat kepada seseorang yang bersikap tidak mahu menganggap apa sahaja yang dibuat itu, jika sekiranya ianya melibatkan kepentingan parti, hendaklah dibuat supaya ianya sesuai dengan kepentingan politik atau ‘mileage’ politik.

Mereka berkata bahawa, sepatutnya majlis pembukaan itu dibuat secara meriah walaupun keberkatannya diutamakan. Apalagi jika Bilik Gerakan ini ialah Bilik Gerakan BN bukan Bilik Gerakan UMNO sahaja. Sudah tentulah lebih bijak jikalau majlis pembukaan itu dianjurkan secara lebih besar dengan melibatkan semua ahli jentera parti peringkat DUN secara keseluruhan. Dengan cara ini juga, barulah orang melihat bahawa pembukaan sebuah Bilik Gerakan BN DUN Semerak mendapat sambutan dan sokongan ramai ahli-ahli UMNO dan BN termasuk jugalah orang-orang Semerak yang menyokong UMNO dan BN.

Apa yang terjadi seolah-olah menampakkan bahawa orang-orang berkenaan yang ingin menguruskan Bilik Gerakan ini tidak begitu bersungguh-sungguh atau ‘serious’ dalam menentukan parti UMNO dan BN menang di DUN Semerak. Mereka sekadar ingin menunjukkan seolah-olah mereka sahajalah petugas-petugas penting dan utama parti yang bekerja untuk parti. Sebab itulah, majlis pada malam ini tidak langsung dilibatkan orang-orang cawangan walaupun mereka tahu sebenarnya orang-orang cawanganlah yang merupakan ‘akar umbi’ parti yang mana jika kuat akar umbinya, maka kuatlah parti. Jika sebaliknya, itulah faktor utama yang telah mengakibatkan parti sentiasa kalah dalam setiap pilihanraya yang lepas-lepas itu. Begitu jugalah Pemuda DUN. Mereka juga tidak diberitahu dan dijemput sedangkan pada masa pilihanraya nanti, merekalah yang akan dikerah tenaganya seperti biasa.

Kerja mereka dianggap seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja atau pun mungkin sayangkan wang untuk perbelanjaan makan minum orang ramai.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak

Tuesday 26 June 2012

MyDiary 59

MyDiary (59)
26 Jun 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Sejak akhir-akhir ini, PERKASA Pasir Puteh dianggap ‘Hidup Segan Mati Tak Mahu’.

Pertubuhan ini hanya gah pada nama sahaja diperingkat pusat tetapi lesu selesu-lesunya di Pasir Puteh. Pada mulanya, saya tidak banyak mengetahui tentangnya, tetapi setelah dijemput dan terlibat didalam dua mesyuarat AJKnya, barulah saya mendapat tahu bahawa pertubuhan ini berada di dalam keadaan seperti pepatah melayu di atas itu.

Pada awal-awal penubuhannya beberapa tahun yang lalu, saya telah hadir pada malam perasmian yang telah diadakan di Dewan Besar SMK Kamil, Pasir Puteh. Pada malam itu, YB Datuk Paduka Ibrahim Ali selaku Presiden PERKASA hadir untuk merasmikannya sementara YBhg. Sdr. Hj. Ruslan Kasim selaku Ketua Penerangan PERKASA pula hadir sebagai penceramah jemputan.

Pada malam itu saya melihat sambutan dan kehadiran orang ramai sangat memberangsangkan. Semua orang memandang PERKASA sebagai sebuah NGO yang sangat kuat dan gagah untuk membela orang-orang melayu disamping UMNO sebagai sebuah parti politik untuk orang-orang melayu juga. Orang ramai melihat gandingan kerjasama kedua-dua organisasi besar ini sebagai sebuah platform politik dan benteng pertubuhan yang kukuh serta kebal untuk orang-orang melayu. Maka pada malam perasmian itu, sebahagian besar yang hadir sewajarnyalah juga orang-orang UMNO. Bahkan pada malam itu, YB Datuk Paduka Ibrahim Ali sendiri pun ada menyebut bahawa PERKASA berperanan sebagai ‘supplement’ atau ‘ganti tubuh’ kepada UMNO (didalam keadaan-keadaan tertentu) dalam agenda mempertahankan hak-hak dan keistimewaan orang-orang melayu.

Semua yang hadir rata-rata menyatakan rasa puas hati mereka selepas majlis itu, terutamanya orang-orang UMNO sendiri. Mereka berkata sudah sampai masanya PERKASA diberikan sokongan yang padu kerana pertubuhan ini sudah jelas akan mampu ‘membantu’ UMNO memperjuangkan hak-hak orang melayu yang semakin hari semakin dicabar oleh bangsa-bangsa lain. Maka mereka pun pulanglah kerumah masing-masing dengan perasaan lega bercampur harapan setinggi gunung.

Sayang seribu kali sayang, harapan hanya tinggal harapan. Apa yang telah diucapkan oleh Presiden PERKASA pada malam itu hanya tinggal kenangan. Apa tidaknya, sejak daripada malam itu, PERKASA Pasir Puteh semakin hari semakin layu dan longlai. Tiada sebarang kemajuan dicapai kecualilah perasaan bangga dan megah Pengerusinya sahaja kerana jumlah ahli yang dianggap ramai tercatat di dalam buku rekodnya.

Bayangkanlah, bagaimana kita hendak menganggap PERKASA Pasir Puteh berjaya jikalau urusan mudah seperti membawa rombongan ke Kuala Lumpur dan urusan wakil ke perhimpunan di Kota Bharu pun gagal? Bagaimana kita hendak menganggap PERKASA Pasir Puteh berjaya jikalau sesuatu yang dijanjikan tiba-tiba sentiasa dimungkiri disaat-saat akhir? Sudah tentulah akibatnya ialah keyakinan dan semangat ahli-ahlinya menurun atau pun hilang.

Saya tidak melihat faktor lain dalam persoalan seperti ini kecuali faktor kepimpinan yang lemah. Sesebuah organisasi tidak akan mampu mencapai sebarang kejayaan jika pemimpinnya bukan dari kalangan mereka yang benar-benar mampu memimpin. Seseorang pemimpin itu hendaklah terdiri daripada orang yang menepati kriteria-kriteria tertentu seperti kebolehan menyelesaikan masalah, kebolehan merancang, kebolehan menyesuaikan diri dengan segenap lapisan masyarakat selain daripada mempunyai sifat-sifat amanah atau ‘accountability’.

Oleh itu, sesuatu harus dilakukan sebelum hari-harinya menjadi semakin terlewat. Barisan kepimpinan PERKASA Pasir Puteh, terutama Pengerusi Daerahnya sendiri harus segera ditukar dengan barisan kepimpinan yang baru. Mahu tidak mahu, kepimpinan sekarang hendaklah sedar dan akur serta bersedia memberikan laluan kepada muka-muka baru demi kesinambungan perjuangan sebuah pertubuhan yang telah diasaskan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk orang-orang melayu ini.

Supaya dengan itu juga, PERKASA Pasir Puteh tidak berterusan menjadi sia-sia bagi orang-orang melayu Pasir Puteh.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

MyDiary 58

MyDiary (58)
26 Jun 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Pada 26 Jun 2012 lebih kurang jam 9.00 pagi, cebisan kertas-kertas telah dilempar keluar dari sebuah kereta betul-betul di hadapan Bilik Gerakan BN DUN Semerak sewaktu kereta itu melalui jalan di hadapan Bilik Gerakan itu. Apabila dikutip dan diperiksa, cebisan kertas-kertas itu adalah kertas-kertas risalah yang mengandungi gambar-gambar dan kata-kata mengkritik parti PAS.

Tidak diketahui pihak mana yang mencetak kertas-kertas itu dan dari mana juga orang yang melempar memperolehinya. Apa yang jelas ialah, tindakan mengoyak dan melemparkan cebisan kertas-kertas itu dihadapan Bilik Gerakan BN DUN Semerak merupakan satu tindakan yang tidak bermoral yang boleh juga dianggap sebagai tindakan berbentuk provokatif. Apalagi jika ianya dilakukan secara terang-terangan pada waktu orang ramai sedang bersarapan pagi di kedai makan bersebelahan Bilik Gerakan itu.

Saya telah mengambil langkah memuatkan gambar cebisan kertas-kertas itu kedalam Facebook tetapi mendapat bantahan keras dari pihak tertentu yang tidak menyenangi tindakan saya itu. Oleh kerana tekanan itu, saya terpaksa memadamkan semula ‘posting’ berkenaan itu.

Walau bagaimana pun, saya masih ingin memberikan nasihat kepada pihak yang tidak menyenangi tindakan saya itu supaya sentiasa mengawal dan mengawasi tindak tanduk orang-orangnya. Bagi saya, ada cara lain untuk menangkis tohmahan yang dilemparkan melalui kertas-kertas risalah seperti itu, bukan dengan cara mengoyak dan melemparkannya di tengah jalan dari dalam kereta yang sedang dipandu dan di tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Selain daripada mencetak balas kertas-kertas risalah seperti ini untuk diedarkan, tohmahan-tohmahan itu boleh juga dijawab melalui ceramah politik.

Saya bukanlah memihak kepada mana-mana parti dalam soal ini. Walaupun saya ialah seorang ahli UMNO, itu bukan bermakna saya menyukai jika ada orang-orang UMNO pula yang melakukan tindakan yang serupa. Bagi saya, bukan soal isu yang terkandung di dalam kertas-kertas risalah itu, tetapi tindakan kebudak-budakan melempar cebisan kertas-kertas itulah yang saya anggap tidak sesuai dan tidak sepatutnya diberikan galakan oleh mana-mana pihak.

Mencetak dan mengedar sebarang risalah politik adalah sesuatu yang biasa menjelangnya setiap pilihanraya, tetapi tindakbalas seperti mengoyak dan melemparkan cebisan kertas-kertas itu adalah sesuatu yang harus dibendung oleh setiap pemimpin dan penggerak atau jentera parti politik, tidak kiralah samada parti UMNO atau pun parti PAS. Ini adalah disebabkan perbuatan itu boleh menjadi punca yang mengundang kepada perbalahan sesama sendiri.

Oleh itu, sikap professional setiap pemimpin parti politik kedua-dua belah pihak amatlah diperlukan didalam konteks ini. Bantahan yang disertakan dengan kemarahan dan tekanan bukanlah ciri-ciri professional seorang pemimpin. Tidak boleh menerima kritikan secara terbuka dan positif bukanlah ciri-ciri profesional seorang pemimpin. Begitulah juga jika menganggap kritikan sebagai usaha untuk 'memperlekehkan' seseorang pemimpin, bukanlah ciri-ciri profesional seorang pemimpin juga.

Pada kebiasaannya, ketiadaan ciri-ciri profesional ini tidak akan membantu seseorang pemimpin itu untuk terus bertahan didalam dunia politik.


Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

Friday 15 June 2012

MyDiary 57

MyDiary (57)
16 Jun 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Sikap kita jelas iaitu sebagai ahli UMNO kita tidak boleh atau ikut mana-mana sekali pun pangkah selain dacing atau BN, tetapi itu sikap orang2 seperti kita. Tidak semestinya sikap seperti ini ada pada generasi baru walaupun mereka ahli UMNO juga.

Saya ingin mengambil contoh anak-anak saya sendiri. Sekarang, untuk PRU13 ini saya ada 5 orang anak yang akan mengundi dan semuanya sudah menjadi ahli UMNO tetapi mereka tidak pasti akan mengundi UMNO atau pun tidak kerana mereka tidak pernah dihubungi dan tidak pernah kenal mana-mana pemimpin UMNO PP.

Sebaliknya, YB Wan Hassan tidak putus-putus sentiasa menghubungi mereka baik secara sms atau telefon atau menghantar kad ucapan dan jemputan hariraya termasuk juga melawat mana-mana daripada mereka apabila ada yang sakit masuk wad, sedangkan pemimpin UMNO langsung tidak mahu bertanya khabar dan ambil tahu walaupun dimaklumkan oleh seseorang yang lain.

Selama 3 tahun lebih yang lepas, anak-anak saya menerima 3 kad ucapan hariraya dan 3 jemputan jamuan hari raya yang berturut-turut daripada  YB Wan Hassan tetapi sekali pun tidak pernah menerima apa-apa ucapan dari mana-mana pemimpin UMNO terutama dari Ketua Bahagian sendiri. Begitu jugalah anak saya yang sakit masuk wad ICU, YB Wan Hassan sanggup pergi sejauh Sg Buluh melawatnya tetapi tiada pemimpin UMNO yg bertanya khabar, jauh sekali hendak melawat (kecuali DKMN) padahal adik saya sendiri ada memaklumkannya.

Oleh itu, bila saya tanya anak-anak saya “mu nak pangkah sapa, dia orang jawab, kita nak pangkah hak kenal lah abah, sebab kita bukan reti pun politik2 ni”, dan generasi seperti anak-anak saya ini ramai di dalam kawalan dan genggaman YB Wan Hassan.

Itulah kemampuan YB Wan Wan Hassan dan mungkin itulah juga sebabnya maka beliau telah dilantik oleh PAS Pusat sebagai Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Pengundi Luar Malaysia di bawah Pengerusinya Dr Hatta Ramli. Ini bermakna bahawa di Kelantan dialah juga ketuanya dan sepatutnya UMNO PP mengambil berat tentang perkara ini dan membuat sesuatu yang berkesan dalam percubaan untuk menarik semula pengundi-pengundi luar ini kepada UMNO kerana di Semerak sahaja ada 1,800 pengundi luar dan dianggarkan 2/3 mengenali YB Wan Hassan tetapi tidak mengenali langsung siapa Cikgu Awi.

Oleh itu, ungkapan "Asal UMNO Ambo Pakoh" bukanlah sesuatu yang praktikal dan ianya hanyalah slogan tajaan ‘pejuang-pejuang maya’ UMNO Bahagian PP untuk menghiasi ruangan Facebook sahaja.


Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak

Friday 8 June 2012

MyDiary 56

MyDiary (56)
9 Jun 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Ada orang berkata bahawa YB Wan Hassan berada di dalam keadaan selesa jika beliau bertanding lagi sebagai calon PAS DUN Semerak pada PRU13 ini. Mereka berkata beliau masih mempunyai sokongan yang kuat oleh pengundi-pengundi Semerak kerana rekod kerjanya sebagai wakil rakyat selama sepenggal yang lalu dianggap memuaskan hati rakyat Semerak. Beliau dianggap wakil rakyat yang cakna kepada rakyat dan sentiasa mudah didampingi oleh pengundi tempatan dan juga pengundi luar. Beliau dikatakan mempunyai watak sederhana, tidak menyombong diri dengan sesiapa sahaja walaupun pengundi itu orang UMNO.

Oleh itu, beliau dilihat mudah memenangi PRU13 ini dan menjadi wakil rakyat untuk penggal keduanya.

Saya bersetuju dengan pendapat-pendapat orang ramai itu. Namun itu bukan bererti saya dan keluarga saya akan mengundi beliau. Saya orang UMNO, begitu juga isteri dan anak-anak saya. Beliau tetap akan saya tentang dengan cara saya walaupun beliau anak beranak saya. Saya tetap mahukan supaya calon BN akan menang dalam PRU13 ini di Semerak.

Ini semua bukan kerana saya orang UMNO dan beliau calon PAS sahaja, tetapi saya akan berdiri semasa hendak memangkah kertas undi itu nanti sebagai pengundi biasa yang mahukan seorang lain yang lebih baik pula darinya sebagai wakil rakyat Semerak untuk semua rakyat Semerak. Orang yang saya mahukan ini bukan sahaja akan menjadi wakil rakyat tetapi akan juga menjadi seorang pemimpin untuk rakyat Semerak. Kita mahukan seseorang yang tidak hanya tahu melayan masalah rakyat tetapi mampu membawa perubahan yang sewajarnya kepada daerah Semerak dan rakyatnya.

Saya tidak melihat YB Wan Hassan sebagai orang yang mampu pergi jauh daripada jarak yang telah beliau perolehi sekarang. Zaman sekarang kita mahu wakil rakyat dan pemimpin yang boleh melangkah lebih jauh, bukan sekadar bercakap kosong tanpa tindakan yang mebuahkan hasil yang boleh dinikmati rakyat. Banyak urusan olehnya, tetapi semuanya banyak yang hanya memberikan hasil kepada diri beliau sendiri atau orang-orangnya sahaja. Contohnya, sebagai seorang wakil rakyat, beliau tidak sewajarnya membiarkan mana-mana tanah kerajaan diberi hakmilik kepada isterinya atau sanak keluarganya, apalagi jika keluasan tanah itu melebihi had dan tanah itu berada di lokasi strategik yang sangat tinggi nilainya apabila pampasan dibayar untuk dilaksanakan sesuatu projek yang akan melibatkan tanah itu nanti.

Oleh itu, kita harus tukar kepada seorang wakil rakyat lain yang lebih ikhlas dan telus dalam menjalankan kewajipannya terhadap rakyat Semerak. Orang itu hendaklah juga yang sudah kaya asal supaya beliau tidak lagi bersusah payah mencari harta peribadi semasa menjadi wakil rakyat kecuali memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada kebajikan rakyat.

Saya berdoa dan berharap Kapt. (B) Hj. Wan Marzudi Bin Dato’ Hj Wan Omar, JP akan dicalonkan kerana beliau sahajalah yang mampu mengalahkan YB Wan Hassan (jika YB Wan Hassan dicalonkan sekali lagi).


Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak

Thursday 7 June 2012

MyDiary 55

MyDiary (55)
8 Jun 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Pada 8 Nov 2008, tiada siapa yang tahu bahawa seorang pemimpin UMNO Bahagian yang baru akan mentadbir Bahagiannya itu dengan cara yang begitu ‘tersendiri’ dan 'abnormal'. Pada hari ini, semua orang sudah tahu dan menganggap cara pentadbirannya itu mungkin merupakan satu-satunya dalam Malaysia.

Beliau menang apabila bertanding jawatan Ketua Bahagian kerana disangka boleh memimpin dengan cara yang lebih baik berbanding Ketua-Ketua yang terdahulu. Pada masa itu, beliau disangka akan menjadi seorang pemimpin yang lebih demokratik dan suka menuruti apa yang dikehendaki oleh Cawangan-Cawangan selain daripada mentadbir mengikut apa yang terkandung di dalam perlembagaan parti.

Namun, segala-galanya sudah jelas sekarang. Sangkaan dan jangkaan itu meleset sama sekali. Beliau tidak berjaya membuktikan bahawa beliau lebih baik dari pemimpin-pemimpin yang terdahulu itu. Bahkan, ramai orang menganggap bahawa caranya itu semakin memburukkan lagi perpaduan parti. Oleh kerana itu, banyaklah perkara-perkara yang dibuatnya dilihat tidak menepati kehendak parti.

Pada peringkat awal beliau memegang tampok kuasa, keadaan dilihat agak menguntungkan parti apabila dikatakan ramai orang-orang PAS yang masuk UMNO. Tiap-tiap hari digembar-gemburkan bahawa ribuan orang-orang PAS masuk UMNO di sana sini sejak beliau memegang kuasa kepimpinan Bahagian. Semua orang-orang UMNO pun merasa seronok dan yakin bahawa UMNO akan menang dalam pilihanraya kali ini kerana sokongan yang tiba-tiba bertambah itu. Namun, tiada siapa yang mengetahui siapa ribuan orang-orang PAS yang masuk UMNO itu dan di mana.

Pada masa itu, orang menganggap mungkin itu adalah strategi parti maka siapa orang-orang PAS itu tidak bolehlah didedahkan kepada umum dan semua orang memahaminya pada masa itu. Namun, apabila masa berjalan, orang menganggap pula bahawa cerita itu hanyalah rekaan semata-mata bertujuan untuk menggambarkan ‘kehebatan palsu’ pemimpin itu sahaja. Rahsia tentang perkara seperti ini tidak mungkin tersimpan sebegitu lama. Lama kelamaan, orang akan tahu juga terutama orang nombor 2 atau nombor 3 atau orang-orang lain dalam barisan kepimpinan Bahagian. Namun, mereka semua tidak pun tahu apa-apa tentang cerita itu seolah-olah Bahagian ini Ketuanya seorang sahaja yang buat kerja dan tahu segala-galanya.

Saya yakin Bahagian-Bahagian lain tidak begitu. Segala kerja dibuat secara ‘teamwork’ atau berpasukan, bukan secara individu membawa arah masing-masing kerana kekuatan dan perpaduan parti tidak mungkin terhasil dengan cara ini.

Saya tidak tahu sampai bila keadaan ini hendak dibiarkan sedangkan PRU13 sudah semakin hampir. Apa yang saya tahu, harapannya amatlah tipis sekali untuk UMNO dan BN menguasai semula di sini kecuali sesuatu yang sangat drastik dilakukan segera.

Jika tidak,  tiadalah lagi jalan yang lain melainkan menukar semula kepimpinan parti apabila sampai masanya nanti.


Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.