Friday 19 August 2011

SSPDS 66

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (66)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan)

Hari ini adalah hari yang penuh bermakna bagi saya dan juga semua orang-orang Semerak kerana usaha Tuan OCS Balai Polis Cherang Ruku, Semerak dan kakitangannya mengadakan program berbuka puasa bersama orang-orang Semerak telah mendapat sambutan orang ramai dan berlangsung dalam suasana yang sungguh harmoni dan muhibbah. Berkat usaha keras beliau bersama pasukannya berserta bantuan seekor lembu serta sumbangan kewangan untuk perkara-perkara lain daripada YBhg. Kapt. (B) Dato’ Wan Marzudi Dato’ Hj Wan Omar, JP, program hari ini dilihat telah benar-benar berjaya mencapai sasaran dan matlamatnya. Selain dihadiri oleh YB Wan Hassan Wan Ibrahim ADUN Semerak selaku tetamu khas, ramai juga  pemimpin-pemimpin masyarakat Semerak seperti PPM-PPM. Penghulu-Penghulu Mukim, Guru-Guru Besar, Penolong-Penolong Kanan, Imam-Imam dan penggerak-penggerak masyarakat hadir sama. Dianggarkan seramai seribu tetamu hadir.
Saya tidak melihat kepada bantuan yang disalurkan itu. Yang penting ialah dua perkara lain. Yang pertama ialah kesanggupan pihak penganjur menerima sumbangan itu dan bekerja keras untuk menjayakan program itu. Yang kedua pula ialah hasilnya setelah kerja keras itu dibuat oleh pihak penganjur selama beberapa hari.
Pada hari ini telah terbukti dengan jelas bahawa program itu telah mendapat sambutan bukan dari sebelah pihak sahaja. Orang ramai yang hadir terdiri daripada pemimpin dan penyokong dari kedua-dua belah parti politik. Mereka dilihat bersama di meja makan (bukan secara ‘segregated’) dan berbual-bual mesra tanpa merasa kekok dan segan diantara satu sama lain. Jalinan silaturrahim ini menjadi harapan utama pihak polis Cherang Ruku apabila Tuan OCS sendiri sememangnya menyebut dalam ucapan alu-aluannya tentang perkara ini selain daripada kewajipan rutin mereka menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai. 
Inilah yang pada awal-awal lagi diantara konteks cadangan-cadangan yang pernah saya ajukan kepada kepimpinan UMNO Bahagian. Selain daripada usaha menyatukan semula seluruh ahli-ahli UMNO, usaha juga perlu dilakukan pada setiap masa untuk menyatukan seluruh orang-orang melayu tanpa mengambil kira latar belakang fahaman politik mereka. Salah satu daripada cadangan saya itu ialah Program Debat Bersama sepertimana tertera dalam blog saya http://wanmalekwannoh-abelekrm.blogspot.com itu.
Saya melihat pihak yang seharusnya memulakan usaha ini ialah UMNO Bahagian Pasir Puteh, bukan PAS Kawasan Pasir Puteh. Ini adalah kerana UMNO merupakan sebuah parti politik yang lebih besar dan lebih ‘senior’ berbanding PAS. Sebab itulah saya telah membuat cadangan itu diatas kapasiti saya sebagai seorang ahli UMNO.
Bagi saya, program seperti ini tidak akan sedikit pun merugikan mana-mana pihak tetapi ianya boleh membuka satu era baru di Pasir Puteh dalam konteks perpaduan orang-orang melayu. UMNO masih boleh mengekalkan dasar dan identitinya. Begitu jugalah PAS.
Mungkin isu-isu yang hendak diketengahkan sudah diketahui umum. Mungkin masing-masing pihak akan hanya mahu mempertahankan hujah masing-masing mengikut cara dan kaedah masing-masing. Mungkin program seperti ini tidak dirasakan perlu kerana dianggap tiada apa-apa faedah yang boleh diperolehi. Mungkin oleh itu ianya dianggap sebagai membuang masa, tenaga dan wang sahaja.
Anggapan seperti itu adalah anggapan orang yang tidak berminat kepada agenda perpaduan melayu. Anggapan seperti itu adalah anggapan orang yang tidak mahu berbicara dan berbincang. Jauh sekali hendak mendengar pendapat orang lain. Orang seperti ini hanya mahu orang lain datang ke rumahnya tetapi beliau sendiri langsung tidak berminat hendak berkunjung ke rumah orang lain.
Ironinya, pihak PAS Pasir Puteh sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pihak UMNO Bahagian Pasir Puteh pada bila-bila masa dan di mana-mana saja di atas satu pentas dengan penyokong kedua-dua belah pihak berada bersama di dalam satu dewan sepertimana yang telah saya cadangkan dalam kertas cadangan saya itu.
Mereka tahu bahawa majlis seperti ini bukanlah majlis untuk menegakkan benang yang basah tetapi mereka bersedia berhujah secara ilmiah dalam konteks perpaduan orang-orang melayu. Bukan mahu menekankan hanya kepada aspek politik sahaja tetapi lebih kepada isu ‘survival’ orang-orang melayu itu sendiri.
Apa salahnya kedua-dua pihak mencuba dengan ikhlas?
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
19 Ogos 2011 / 19 Ramadhan 1432H
Semerak.

1 comment:

  1. Hubungan polis dengan rakyat akar umbi perlu dieratkan lagi. masih ada lagi kedengaran desas-desus yang tidak sedap didengar mengenai kredebeliti polis Semerak. Ia perlu diperbaiki supaya tidak berterusan menjadi momokan khalayak...

    ReplyDelete