Tuesday 9 August 2011

SSPDS 53


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (53)
(Saya akan mengulangi peringatan kepada para pembaca dalam setiap artikel saya bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan atau sekurang-kurangnya BN menang diperingkat parlimen Pasir Puteh dalam PRU ke-13 nanti)
Dalam artikel saya yang lepas (SSPDS 45 ), saya ada membuat saranan kepada YB Wan Hassan supaya menyambut cabaran terbuka yang telah dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian tentang kononnya beliau telah banyak melakukan ‘salahguna kuasa’ dalam hal-hal yang berkaitan dengan ‘pembahagian dan penyelesaian’ tanah di kawasan Semerak. Secara terbuka Ketua UMNO Bahagian telah mendedahkan bahawa YB Wan Hassan telah menggunakan kuasa yang ada padanya selaku wakil rakyat untuk ‘membahagi-bahagikan’ tanah kerajaan hanya kepada kaum keluarganya dan orang-orang yang rapat dengannya sahaja.
Malangnya, sampai ke hari ini beliau masih belum bersuara dan menjawab. Saya tidak tahu mengapa beliau mengambil sikap sebegini. Ada kemungkinan beliau mahu menyimpannya dulu dan mendedahkan jawapannya apabila tiba musim pilihanraya nanti. Jika demikian, saya menganggap itu hak dia bahkan terpulanglah kepadanya samada ingin melayan tohmahan itu atau pun tidak.
Walau bagaimana pun, oleh kerana saya menganggap beliau sebagai wakil rakyat untuk semua rakyat tak kira rakyat itu rakyat PAS atau pun UMNO, saya melihat sikap berdiam diri yang diambilnya tidak akan menguntungkan dirinya dan juga parti. Ini adalah kerana isu tanah adalah sesuatu yang boleh dikira sebagai diantara isu yang paling penting dan sensitif yang melibatkan kepentingan semua orang yang bernama rakyat negeri Kelantan di Semerak.
Rakyat hendak mengetahui perkara sebenar secepat mungkin tentang perkara ini. Jika ianya terbukti diuruskan secara telus dan adil, maka isu ini tidak payahlah ditimbulkan lagi. Jika sebaliknya, pembetulan tertentu hendaklah dibuat sebelum pilihanraya. Isu ini hendaklah diperjelaskan dengan sejelas-jelasnya kerana saya yakin sudah tentu pihak UMNO Bahagian akan menjadikannya sebagai isu utama jika YB Wan Hassan bertanding lagi. Jika isu ini betul-betul timbul nanti, ia akan berubah menjadi isu peribadi. Apabila isu ini menjadi isu peribadi, kesannya keatas pengundi-pengundi akan menjadi sangat ketara. Walaupun beliau mempunyai kekuatan dan kelebihan melalui sentuhan peribadinya dengan pengundi-pengundi, namun persepsi masyarakat termasuk pengundi-pengundi PAS sendiri pun boleh berubah dalam sekelip mata sahaja disebabkan isu ini.
Saya tidak sekali-kali menyalahkan pihak Ketua UMNO Bahagian apabila beliau menimbulkan isu ini secara terbuka baru-baru ini. Beliau mempunyai hak untuk mendedahkan apa sahaja dalam  menjalankan kewajipannya sebagai seorang ketua parti. Beliau sahajalah yang boleh menyentuh isu-isu seperti ini bagi pihak semua ahli-ahli UMNO Pasir Puteh.
Saya dengan ini berharap YB Wan Hassan tidak mengambil masa yang terlalu panjang untuk membuat penjelasan secara terbuka juga bagi menjawab tohmahan politik dari Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh. Saya berharap juga isu ini tidak lagi dipanjang-panjangkan sehingga mengakibatkan perbalahan dikalangan penyokong-penyokong kedua-dua pemimpin parti ini.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
10 Ogos 2011 / 10 Ramadhan 1432H
Semerak.

No comments:

Post a Comment