Monday 29 August 2011

SSPDS 78


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (78)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya juga tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan)
Pilihanraya semakin hampir tetapi UMNO Pasir Puteh bukan sahaja masih berpecah tetapi ada pula Pengerusi Penyelaras DUN yang dipecat oleh Ketua Bahagian.
Akibatnya, UMNO Pasir Puteh semakin berpecah.
Saya tidak tahu mengapa tindakan drastik itu diambil oleh Ketua Bahagian dan saya tidak berminat untuk mengetahuinya. Yang menjadi minat saya ialah bagaimana selepas memecat Pengerusi Penyelaras DUN ini, Ketua Bahagian hendak memperkuatkan UMNO Pasir Puteh semula kerana orang yang dipecat itu ialah Timbalannya sendiri di dalam Bahagian.
Mahu tidak mahu orang ini sudah tentu merasa tersangat malu diaibkan dengan pemecatan ini.
Saya melihat perkembangan seperti ini seperti tindakan yang agak terburu-buru. Apakah tindakan memecat seseorang seperti itu boleh memberikan kebaikan kepada UMNO Pasir Puteh sedangkan beliau ialah seorang yang boleh dianggap ‘senior’ dalam politik Pasir Puteh. Dengan undi sebanyak 277 yang beliau raih sewaktu pemilihan dahulu berbanding 273 oleh Ketua Bahagian, saya khuatir pengaruh dan sokongan ahli-ahli terhadapnya adalah seimbang dan bersamaan dengan pengaruh dan sokongan terhadap Ketua Bahagian sendiri. Ini boleh membawa makna bahawa UMNO Pasir Puteh sedang menghadapi risiko berpecah dua yang bererti juga bahawa perpecahan ini adalah serious.
Mungkin orang yang dipecat ini tidak akan melakukan apa-apa dan berdiam diri sahaja tetapi bagaimana pula dengan orang-orang yang dibelakangnya? Apakah mereka semua akan berdiam diri juga atau pun berpaling kepada Ketua Bahagian sebagai tanda patuh dan akur kepada arahan? Saya tidak melihat perkara seumpama ini boleh berlaku dengan semudah itu. Saya merasakan bahawa mereka semua akan tetap bersama dengan orang yang dipecat itu.
Jika inilah yang bakal berlaku, maka krisis kepimpinan akan menyusul di peringkat Bahagian. Jika ini pula tidak ditangani segera oleh pihak atasan, maka akibatnya boleh terbawa-bawa sehingga kepada pilihanraya.
Yang akan rugi sudah tentulah UMNO juga.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
29 Ogos 2011 / 29 Ramadhan 1432H
Semerak.  

No comments:

Post a Comment