Saturday 31 March 2012

MD 47

MyDiary (47)
1 April 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Kempen menjelang PRU13 semakin hari semakin rancak. Baik parti UMNO mahu pun PAS. Saya hanya ingin memperkatakan sesuatu tentang kempen parti saya, iaitu UMNO.

Saya melihat terdapat beberapa kaedah kempen yang telah dan sedang dilakukan. Diperingkat parti, ianya dilakukan dengan memenuhi program-program parti sepertimana yang dijadualkan. Ini merupakan kaedah konvensional dan perlu diperluaskan lagi.

Yang menarik perhatian saya ialah kempen yang dilakukan oleh individu-individu tertentu. Mereka ini sanggup mengeluarkan wang sendiri dengan mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Contohnya, derma PIBG, perjumpaan mesra, aktiviti sukan, belia, kebudayaan dan lain-lain.

Di parlimen Pasir Puteh, terdapat beberapa individu yang telah menjalankan aktiviti ini sejak beberapa bulan yang lepas. Mereka tinggal dan berniaga di Kuala Lumpur tetapi pulang ke tempat asal mereka iaitu Pasir Puteh seminggu sekali untuk tujuan itu. Kadang-kadang pulangnya dengan memandu sendiri kenderaannya, kadang-kadang dengan kapal terbang.

Mereka asyik berkata bahawa mereka melakukannya bukan untuk menjadi calon pilihanraya, bahkan sentiasa menafikannya bila ditanya. Mereka berkata bahawa mereka sekadar ingin membantu UMNO Bahagian Pasir Puteh memenangi PRU13 sahaja tetapi tidak pernah memberitahu secara serious bahawa mereka akan betul-betul ‘menolak’ tawaran jika namanya dicalonkan nanti.

Saya sebenarnya menganggap perlumbaan menabur bakti kepada masyarakat sebagai sesuatu yang sangat baik oleh mereka yang berkemampuan ini. Walau bagaimana pun, saya tidak melihat mereka berbuat itu tiada kaitan langsung niatnya untuk diri mereka sendiri juga. Saya tetap menganggap sesiapa sahaja yang melakukan aktiviti kemasyarakatan melalui mana-mana parti politik sebagai tetap bermotifkan untuk dirinya sendiri juga. Jika tidak, mereka sudah tentu akan lakukannya melalui kaedah atau platform lain yang tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik. Namun, saya juga tidak menganggap ianya salah.

Yang salahnya ialah, aktiviti-aktiviti itu tidak benar-benar diberikan tumpuan kepada kumpulan sasar yang sebenar. Mereka mengeluarkan banyak wang sendiri dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan orang ramai secara massa semata-mata untuk memperkenalkan diri mereka kepada orang ramai sahaja. Ironinya, mereka berkata bahawa inilah peluang untuk orang ramai mengenali mereka secara lebih dekat padahal sebelum ini, mereka berkata mereka sekadar ingin membantu ‘orang-orang susah’ sahaja, bukan mencari populariti untuk menjadi calon.

Seolah-olah semua orang Pasir Puteh adalah orang-orang susah yang tidak mampu membeli walau sekampit beras pun, maka acara pengagihan beras dilakukan setiap kali orang ini masuk kampong berjumpa dengan orang ramai. Seolah-olah, orang-orang inilah ‘orang-orang susah’ yang dicari-cari itu.


Oleh,
Wan Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

MD 46

MyDiary (46)
1 April 2012

Kalau zaman saya budak-budak dulu, 1 April merupakan hari dimana kami akan melakukan sesuatu untuk mengusik kawan-kawan lain atau pun mana-mana guru kami yang kami sayangi. Saya masih teringat pada hari inilah sahaja peluang untuk kami bergurau dengan mendiang Mr Muthuritinabarathi, iaitu guru asrama SMK Kamil yang sangat garang sewaktu saya berada di sana dari tahun 1965 (Std 5) hingga 1968 (Form 3). Kami letakkan satu baldi berisi air di atas pintu masuk ‘dorm’ supaya apabila Mr Muthu datang untuk membuat pemeriksaan, baldi itu mencurahkan air keatasnya bila pintu ditolaknya. Beliau menjadi sangat marah tetapi pada masa itu, ketua dorm akan menjerit kepadanya dengan kata-kata “April Fool!!!”. Marahnya terhenti serta-merta dan beliau pun balik kerumahnya sambil ketawa.

Zaman sekarang, gurauan seperti itu sudah ditelan zaman. Budak-budak sekarang tidak lagi tahu bahawa 1 April pernah merupakan tarikh gurauan tahunan. Saya tidak tahu asal usulnya maka tarikh 1 April dijadikan tarikh April Fool. Yang saya tahu, ada filem Hindustan ‘April Fool’ dan kebetulan guru asrama kami itu pun, orang India.

Itulah zaman dimana tiada komputer, tiada tv berwarna, tiada air-cond dan kemudahan-kemudahan lain seperti sekarang. Kalau di kampung-kampung pula, tiada bekalan eletrik dan air. Jalan raya pula hanya di atas batas-batas sawah dan basikal pun sudah merupakan kenderaan mewah.

Apabila masuk waktu solat, tiada azan yang dikumandangkan melalui pembesar suara tetapi masuk waktu diketahui melalui paluan ‘geduk’ yang juga digunakan untuk membangunkan orang supaya bersahur dibulan Ramadhan. Paluan juga dilakukan untuk memberitahu kematian mana-mana penduduk kampong tetapi irama dan rentaknya berbeza daripada paluan masuk waktu dan membangunkan orang bersahur. Jika acara gotong royong hendak diadakan seperti mengusung rumah untuk dialihkan ke tempat lain, maka tiupan sejenis alat yang dipanggil ‘tuang‘ akan digunakan. Ianya diperbuat daripada tanduk kerbau jantan.  Itulah cara perhubungan orang-orang terdahulu yang sekarang caranya diubah kepada telefon atau internet.

Proses perubahan zaman ini tidak dirasai oleh budak-budak zaman sekarang. Ianya boleh dirasai jika seseorang yang masih hidup berusia melebihi 50 atau 60 tahun sekarang. Begitu jugalah proses perubahan budaya hidup sekampung. Orang-orang dulu terlalu menghormati orang-orang tua. Mereka tidak akan sekali-kali mengingkari apa sahaja perintah orang-orang tua walaupun mereka tidak bersetuju dengan perintah itu. Amalan ini tidak lagi menjadi sesuatu yang diutamakan dalam kehidupan seharian remaja sekarang. Mereka lebih berminat untuk hidup secara bebas tanpa kongkongan orang-orang tua mereka. Mereka bukan sahaja tidak menghormati mereka bahkan sanggup menentang jika kemahuan mereka tidak ditunaikan.

Oleh hal yang demikian, maka terjadilah jurang diantara yang tua dan yang muda. Semakin hari jurang ini semakin melebar. Gejala mencuri kabel telefon, merempit, dadah dan berbagai-bagai lagi jenayah juvana berlaku setiap hari. Semakin hari semakin tidak terkawal.

Bagi saya, usaha dan tanggungjawab pihak berkuasa sudah memadai. Mereka tidak seharusnya dipersalahkan semata-mata kerana mereka sudah berusaha keras selama ini untuk membendung gejala ini. Begitu juga ibu bapa remaja-remaja ini. Mereka pun sudah berusaha keras untuk menentukan anak-anak mereka menjadi sebaik-baik manusia mengikut norma-norma yang sewajarnya. Masyarakat juga tidak harus dipersalahkan. Mereka pun mahukan semua remaja-remaja ini menjadi orang-orang yang baik didalam kelompok masyarakat itu. Oleh itu, semua pihak sebenarnya mahukan supaya remaja-remaja ini menjadi orang-orang yang baik.

Dan pihak yang mahu itu, adalah sebenarnya orang-orang lama yang boleh membezakan dua zaman di atas itu. Malangnya, mereka ini semakin hari semakin berkurangan jumlahnya. Maka tidak mustahillah, jika sampai satu masanya nanti, mereka ini sudah tidak ada lagi dan semua yang ada tidak boleh lagi membezakan dua zaman ini.

Oleh itu, inilah sahaja masa yang ada jika usaha hendak dibuat supaya budaya lama diterapkan semula ke dalam masyarakat orang-orang melayu. Budaya menghormati orang-orang tua harus disemai semula dengan berbagai-bagai cara yang mampu. Sudah tentulah prosesnya tidak semudah dicakap tetapi sekurang-kurangnya usaha tetap dibuat.

Sebab itulah saya perkatakan tentang dua kelompok besar di dalam masyarakat sekarang. Kelompok pertama ialah kumpulan orang-orang lama dan kelompok kedua ialah kumpulan orang-orang baru. Kumpulan pertama seharusnya dihormati oleh kumpulan kedua kerana mereka melalui ‘dua zaman’ yang berbeza itu.

Mereka adalah kawan dan juga guru kepada kumpulan kedua.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Semerak.   

Thursday 29 March 2012

MD 45

MyDiary (45)
29 Mac 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Tiada sesiapa boleh memaksa sesiapa untuk berkawan dengan sesiapa. Bila terdapat dua kumpulan contohnya, seseorang itu boleh memilih untuk masuk mana-mana kumpulan yang beliau sukai. Banyaklah sebabnya maka seseorang itu memilih kumpulan yang disukainya itu. Ada yang memilih sesuatu kumpulan itu kerana ahli-ahli kumpulan itu merupakan kawan-kawan lamanya, ada juga dengan sebab-sebab tertentu yang lain.

Di Pasir Puteh, semua orang tahu bahawa terdapat dua kumpulan besar sepertimana yang telah saya sebutkan di dalam MD saya yang lepas. Kedua-dua kumpulan ini mempunyai ahlinya masing-masing.

Kumpulan pertama ialah kumpulan yang mana orang-orangnya terdiri daripada mereka yang telah lama berkecimpung didalam parti, manakala kumpulan kedua ialah kumpulan yang mana orang-orangnya terdiri daripada mereka yang baru berkecimpung didalam parti.

Kedua-dua kumpulan ini mempunyai sokongan tersendiri masing-masing dan dilihat sama kuatnya dari segi pengaruh. Kumpulan-kumpulan ini boleh memperkuatkan perpaduan parti jika digabungkan tetapi usaha kearah itu tidak pernah dibuat. Kedua-dua kumpulan ini semakin hari semakin jauh jaraknya. Walau bagaimana pun, kedua-dua kumpulan ini tetap mahukan UMNO dan BN menang dalam pilihanraya ini walaupun mereka bekerja secara berasingan. Kumpulan pertama bekerja secara bebas tanpa arahan mana-mana pihak sementara kumpulan kedua bekerja dengan arahan kepimpinan parti. Oleh itu, tiadalah apa-apa salah kerana matlamatnya adalah sama.

Pada 17hb Mac 2012 tempuh hari, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, YB Dr. Fuad Zarkashi telah datang ke Pasir Puteh untuk merasmikan satu program anjuran sebuah NGO. Disebabkan sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan, program itu telah terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir. Namun, YB Dr. Fuad tetap juga datang untuk memenuhi undangan NGO ini. Program asal pada hari itu ialah YB Dr. Fuad bersarapan pagi di rumah YBhg. Datuk Hj Kamaruddin sebelum ke Dewan Besar SMK Kamil bagi menyempurnakan upacara perasmian program. Oleh itu, kedatangannya pada hari itu adalah kedatangan diatas kemahuannya sendiri walaupun telah dimaklumkan tentang pembatalan program dan kunjungannya kerumah mantan Ketua Bahagian itu adalah sebenarnya sebahagian daripada program yang telah pun diatur awal-awal. Selain daripada itu, kedatangannya juga adalah diatas rasa hormatnya kepada mantan Ketua Bahagian kerana mereka adalah sahabat lama.

Dengan penjelasan ini, diharap tiadalah lagi persepsi negatif bahawa kumpulan pertama ini sedang mengumpul kekuatan untuk menerajui semula kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh nanti. Mereka hanya ingin bersama-sama didalam usaha kearah mencapai kemenangan didalam PRU13 ini. Tinggal lagi, cara dan kaedah mungkin tidak sama kerana kumpulan ini bukan memegang jawatan parti.

Saya mewakili kumpulan pertama.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.    

Sunday 25 March 2012

MD 44

My Diary (44)
25 Mac 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Hari ini ialah hari mesyuarat agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Cikgu Zawawi Othman, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh merangkap Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh.

Saya hadir kerana saya ada anak di Tingkatan Empat sekolah ini.

Ucapan Cikgu Zawawi pada tahun ini nampak lebih bersemangat. Walaupun bersuara letih dan serak-serak basah kerana terlalu banyak berpidato pada musim ini, beliau masih mampu menyampaikan ucapannya dengan jelas dan terang.

Walau bagaimana pun, tidak seperti ucapannya pada mesyuarat-mesyuarat yang lepas apabila saya dapati ucapannya pada kali ini tidaklah begitu berisi dan bernas.

Saya berkata begitu kerana pertamanya, beliau memberikan gambaran betapa akrabnya beliau dengan YAB Dato’ Seri Perdana Menteri dengan bukti bahawa beliau sahajalah satu-satunya Ketua Bahagian UMNO yang pernah dibawa bersama oleh YAB Dato’ Seri Perdana Menteri ke Afrika Selatan tempuh hari. Saya tidak tahu mengapa beliau merasa begitu perlu untuk beliau menceritakan hal ini kepada orang ramai di dalam majlis seperti ini secara formal. Sudah tentulah beliau mempunyai sebab yang hanya difahami oleh orang-orang tertentu sahaja. Sudah tentulah juga mungkin ada sesuatu yang telah pernah berlaku di Pasir Puteh sebelum ini, maka beliau merasa beliau terpaksa mengambil langkah memberitahu kepada orang ramai tentang betapa rapatnya beliau dengan YAB Dato’ Seri Perdana Menteri. Pada kebiasaannya, seseorang pemimpin politik tidak suka memberitahu kepada orang ramai rapat atau tidak rapatnya beliau dengan mana-mana pemimpin atasan kerana memberitahu sesuatu seperti itu sudah tentulah akan dianggap seperti cubaan menaikkan sendiri harga dirinya. Jika sebaliknya, seseorang pemimpin politik itu akan dianggap pula membuat cubaan untuk menjatuhkan nama baik seseorang pemimpin atasan jika beliau memberitahu bahawa beliau tidak rapat dengan pemimpin atasan itu. Oleh itu, didalam apa jua keadaan sekali pun, jika ianya dilakukan juga, orang ramai sudah tentulah akan merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena di mana-mana.

Kedua, beliau menyelitkan juga dalam ucapannya bahawa jumlah derma yang telah beliau berikan kepada PIBG sekolah ini ialah RM8,000 iaitu RM3,000 untuk tahun 2010 dan RM5,000 untuk tahun 2011. Pada tahun ini pula, beliau memaklumkan bahawa RM3,000 akan beliau dermakan. Secara berseloroh, beliau berkata bahawa beliau sengaja menjadikannya 3 + 5 + 3 kerana itulah nombor kereta wakil rakyat PAS DUN Semerak dahulu iaitu 353. Baik secara biasa mahu pun secara politiknya, saya tidak faham apa kaitan nombor ini dengan jumlah derma yang beliau hulurkan itu. Mungkin hanya kebetulan sahaja.

Apa pun, saya dapati ini pun tidak biasa dilakukan oleh tuanpunya badan sendiri di dalam ucapannya. Yang biasa dilakukan ialah, jika pun dirasakan pengumumannya perlu, ianya dilakukan oleh orang lain. Kalau di dalam mesyuarat PIBG contohnya, ianya elok diumumkan oleh Pengerusi PIBG, bukan tuanpunya badan.

Oleh itu, seorang ketua seharusnya lebih matang dan mempunyai penasihat ucapan yang matang juga.


Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.    

Friday 16 March 2012

MD 43


MyDiary (43)
16 Mac 2012
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Orang-orang yang kuat UMNOnya tidak akan sekali-kali berhenti bekerja untuk partinya. Selepas PRU13, kerja seterusnya ialah berkaitan dengan pemilihan pula iaitu kerja dalaman parti yang tidak kurang pentingnya juga. Bezanya, ianya tiada kaitan dengan parti-parti lain.

Walau bahagimana pun, prestasi PRU13 akan tetap memberi kesan keatas senario pemilihan yang akan datang ini. Lanskapnya akan tetap dipengaruhi dan bergantung kepada prestasi dan keputusan yang dicapai dalam PRU13.

Saya menjangkakan persaingan tetap akan berlaku diantara ‘kumpulan lama’ dan ‘kumpulan baru’.

Kumpulan lama masih menganggap cara bekerja kepimpinan baru tidak begitu ‘efficient’ sepertimana yang diharapkan. Manakala kumpulan baru pula menganggap cara bekerja kepimpinan terdahulu sudah ketinggalan zaman.

Masing-masing pihak mempunyai alasannya yang tersendiri. Kumpulan lama sudah mempunyai pengalaman yang luas tetapi kumpulan baru belum lagi habis sepenggal. Kumpulan lama berkata bahawa kumpulan baru tidak ada kemampuan untuk memenangkan parti dalam pilihanraya ini dan kumpulan baru pula berkata kumpulan lama telah gagal terlebih dahulu.

Kedua-dua kumpulan mempunyai kekuatan masing-masing yang tersendiri. Tidak dapat dikatakan kumpulan mana yang lebih kuat kerana ukuran siapa kuat siapa lemah akan dilihat secara jelas selepas pilihanraya ini. PRU13 inilah yang akan menentukan samada kumpulan lama betul atau kumpulan baru betul.

Jika PRU13 ini membawa kemenangan kepada UMNO dan BN, maka akan terbuktilah bahawa kumpulan baru ini ada kemampuannya dan berjaya. Dengan itu juga, kepimpinan kumpulan baru ini harus dikekalkan untuk penggal yang akan datang ini.

Jika sebaliknya, kumpulan baru ini harus ditukarkan kepimpinannya kepada kumpulan lama pula.

Terpulanglah kepada nasib dan takdir selepas usaha keras dilakukan.

Apa pun, saya dipihak kumpulan lama.



Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.