Sunday 21 August 2011

SSPDS 68

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (68)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan)

Hari ini YB Wan Hassan Wan Ibrahim ADUN Semerak berbuka puasa di Hotel City Villa Kuala Lumpur bersama-sama dengan pengundi-pengundi Semerak yang tinggal di sana. Seramai 200 orang lebih hadir.

Beliau dilihat terus meningkatkan usaha menambat hati pengundi-pengundi luar. Ini memberikan petanda yang semakin jelas bahawa sememangnya beliau amat mengambil berat dan memberikan perhatian utama kepada pengundi-pengundi luar ini kerana menganggap faktor pengundi luar ini sebagai penentu kepada menang kalahnya nanti dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Dengan ini juga bermakna artikel saya yang terdahulu iaitu SSPDS 17 dalam blog saya http://wanmalekwannoh-abelekrm.blogspot.com  (ikuti di bawah)  terbukti ‘relevant’ dan sewajarnya dijadikan peringatan kepada semua pihak yang ingin bertanding supaya masing-masing berusaha merebut peluang ini seawal mungkin.

Perjumpaan seperti ini sepatutnya menjadi rahsia dalam kaedah strategi kerja berpolitik tetapi pada masa ini perkara-perkara seperti ini tidaklah lagi menjadi rahsia disebabkan kemajuan teknologi internet. YB Wan Hassan sendiri telah memaparkan gambar dan berita perjumpaannya ini di dalam Facebook sebaik sahaja azan berbuka keudara.

Walau bagaimana pun, saya tetap melihat pendekatan yang diambilnya sebagai satu pendekatan yang mencerminkan sikap keterbukaannya dalam berpolitik. Beliau menganggap pendedahan seperti ini sebagai ‘iklan’ untuk mempromosikan sokongan terhadap dirinya.  

Belaiu tangkas mengambil kesempatan dalam keadaan apabila di pihak parti lain tiada sebarang usaha dibuat sehingga kini untuk mendekati pengundi-pengundi luar ini.

Pada pendapat saya, masanya belumlah terlalu lewat untuk UMNO Bahagian Pasir Puteh melakukan sesuatu. Saya berani berkata demikian kerana YB Wan Hassan bukanlah sudah berjaya menambat hati kesemua pengundi-pengundi luar itu. Jumlah sebenar pengundi-pengundi luar ini agak ramai dan bukan kesemuanya sudah berada di dalam genggaman YB Wan Hassan. Namun, jika UMNO Bahagian Pasir Puteh masih leka, tidak mustahil YB Wan Hassan akan mengambil langkah-langkah seterusnya untuk menawan kesemuanya tanpa berbaki.

Saya membawa pembaca kepada analogi ini kerana pengundi-pengundi luar ini amat mementingkan suasana hubungan silaturrahim dan mereka sangat-sangat menunggu untuk diberikan ‘sentuhan peribadi’ oleh mana-mana pemimpin politik dari Pasir Puteh. Mereka selalu merungut bahawa tiada seorang pun orang-orang dari UMNO Bahagian Pasir Puteh yang datang berjumpa dengan mereka. Mereka berkata mereka tidak mengambil kisah sangat tentang isu-isu politik kerana pada masa ini mereka pun mementingkan perpaduan orang-orang melayu tetapi bagaimanakah mereka hendak memberi undi kepada seseorang calon itu jikalau calon itu sendiri pun tidak pernah berminat hendak datang menemui mereka.

Saya pernah bertanya soalan ini kepada pihak-pihak tertentu dari UMNO Bahagian Pasir Puteh. Jawapan atau alasan yang diberikan ialah tiada seorang pun yang mahu melakukan usaha seperti ini kerana takut dianggap bercita-cita hendak menjadi calon. Mereka beranggapan bahawa orang yang paling berhak melakukan usaha dan aktiviti seperti ini hanyalah Ketua UMNO Bahagian sahaja kerana beliau ialah ketua parti. Sebab itulah apabila terdapat individu-individu tertentu yang melakukan kerja-kerja ‘turun padang’ di Pasir Puteh sendiri pun, usaha mereka itu dianggap sia-sia sahaja.

Apabila ditanya mengapa YB Wan Hassan boleh? Mereka menjawab YB Wan Hassan boleh kerana beliau ialah seorang wakil rakyat.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
21 Ogos 2011 / 21 Ramadhan 1432H
Semerak.

No comments:

Post a Comment