Sunday 28 August 2011

SSPDS 76


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (76)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya juga tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan)
Malam nanti ada satu program ‘makan colek’  di Bandar Pasir Puteh yang di biayai oleh seorang tokoh politik yang tinggal di Kuala Lumpur tetapi berasal dari Pasir Puteh. Beliau pulang berhariraya dan dijangka pada malam ini ramai kawan-kawannya akan bersama termasuk juga beberapa pemimpin utama UMNO Bahagian.
Tradisi ‘makan colek’ dibulan puasa nampaknya tahun ini menjadi satu aktiviti kegemaran pihak-pihak tertentu. Ianya menjadi aktiviti menghimpunkan kawan-kawan bukan sahaja oleh pihak kepimpinan UMNO tetapi juga PAS. Ini dapat dilihat apabila jemputan-jemputan terdapat dalam Facebook.
Trend ini ialah trend baru. Ia dilihat sebagai satu bentuk ‘kempen’ pilihanraya bagi sesetengah pihak secara tidak langsung.
Walau bagaimana pun, majlis ‘makan colek’ yang diadakan pada malam ini di Pasir Puteh bukan merupakan kempen pilihanraya. Mereka yang akan hadir hanya terdiri daripada orang-orang UMNO sahaja bersama dengan beberapa pemimpin utama Bahagian. Mereka ingin bersama kerana lama tidak bersua muka tetapi sudah tentulah mereka akan berbincang juga sedikit sebanyak tentang politik teutamanya siapa yang akan menjadi calon. Sudah tentulah kumpulan yang akan berkumpul pada malam ini terdiri daripada mereka yang sudah sependapat dalam hal ini. Oleh itu, saya melihat majlis yang akan diadakan pada malam ini lebih kepada bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan mereka sesama sendiri selain daripada menyambut ketibaan Syawal .
Kalau itulah yang menjadi tujuannya, maka majlis pada malam ini tidaklah akan dianggap sebagai sesuatu yang ganjil atau satu lagi siri perjumpaan yang mempunyai agenda tersirat. Pemimpin-pemimpin ini sudah tentulah mahukan supaya apa sahaja segera dilakukan untuk tujuan memenangi pilihanraya umum yang akan datang ini. Semangat kesepakatan dan bekerja sebagai sebuah pasukan adalah sesuatu yang sangat-sangat diperlukan sekarang.
Apa pun, ahli-ahli UMNO di Pasir Puteh sebaliknya semakin ramai yang merungut tentang soal ini. Mereka berkata bahawa perpecahan dalam parti masih lagi belum dapat diperbaiki dengan sewajarnya. Ada yang berkata bahawa masanya sudah agak lewat dan tidak yakin usaha yang dibuat pada masa ini sempat membuahkan hasil yang memuaskan. Ada yang berkata, pilihanraya pada kali ini hanyalah sekadar meletakkan calon untuk bertanding sahaja kerana adat pertandingan ialah ‘lawan tetap lawan’.  Oleh yang demikian, mereka merasa bahawa ‘persiapan semula’ harus dibuat selepas pilihanraya.
Siapakah yang harus dipersalahkan?
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
29 Ogos 2011 / 29 Ramadhan 1432H
Semerak.

No comments:

Post a Comment