Monday 15 August 2011

SSPDS 60

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (60)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan atau sekurang-kurangnya BN menang diperingkat parlimen Pasir Puteh dalam PRU ke-13 nanti. Saya juga tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan)
____________________________________________________
Pada 19hb ini kita akan dapat menyaksikan satu suasana berbuka puasa di Balai Polis Cherang Ruku dimana disitu nanti kita akan dapat melihat kedua-dua tokoh tempatan ada bersama. Mereka ialah YB Wan Hassan Bin Wan Ibrahim ADUN Semerak dan Kapt. (B) Wan Marzudi Bin Dato’ Hj. Wan Omar JP selain daripada YBrs. Tuan OCPD Pasir Puteh dan Tuan OCS Balai serta pegawai-pegawai polis yang lain. Mereka akan berbuka bersama masyarakat tempatan Semerak. Sebelum berbuka, program Polis Bersama Pelanggan dijalankan dimana kaunter-kaunter dibuka untuk orang ramai datang mengajukan soalan-soalan atau memberikan pandangan dan cadangan.
Inisiatif yang datangnya dari pihak polis sendiri ini adalah sesuatu yang amat baik dalam usaha menyuburkan hubungan baik diantara pihak polis dan masyarakat setempat. Program berbuka seperti ini hanyalah sebahagian sahaja daripada usaha-usaha murni pihak polis. Banyak lagi program-program lain yang sentiasa diadakan dari masa kesemasa untuk tujuan itu sepanjang tahun seperti acara sukan dan kebudayaan. Sebab itu kita melihat sekarang anggota-anggota polis sentiasa rapat dengan orang ramai secara mesra dengan tidak ada lagi sesiapa pun merasa kekok dan segan untuk bergaul mesra dengan mereka. Tidak seperti zaman dahulu apabila orang ramai sangat segan atau takut untuk mendekati mereka bahkan kadang-kadang cuba menjauhkan diri jika mereka yang datang mendekati.
Apa yang menarik perhatian saya dalam hal ini ialah dari sudut bukan sahaja pergaulan mesra pihak polis dengan orang ramai tetapi merangkumi juga pergaulan orang ramai itu sendiri sesama mereka. Saya melihat bahawa usaha untuk masyarakat bergaul mesra banyak juga bergantung kepada kesan dari usaha yang dibuat oleh pihak polis. Sebabnya ialah orang ramai yang dijemput untuk berbuka terdiri daripada penyokong kedua-dua parti politik. Ini boleh dilihat dengan lebih jelas apabila kedua-dua tokoh itu sendiri hadir.
Suasana seperti inilah yang perlu sama-sama kita suburkan pada setiap masa. Keharmonian masyarakat sangatlah perlu walaupun pada masa pilihanraya nanti masing-masing mempunyai hak sendiri untuk memilih. Jika ini dapat dicapai secara berkesan pihak keselamatan sendiri pun tidak akan menghadapi sebarang masalah nanti semasa pilihanraya kerana hubungan baik diantara kedua-dua belah penyokong sudah terjalin erat dan mesra. Mereka sudah tentu akan menghormati diantara satu sama lain dan menganggap perbezaan pendapat dalam berpolitik hanyalah perkara lazim dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Inilah harapan saya sejak dari dahulu lagi. Sekurang-kurangnya perbalahan melampau tidak akan berlaku walaupun kedua-dua parti belum boleh bergabung.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
15 Ogos 2011 / 15 Ramadhan 1432H
Semerak.

No comments:

Post a Comment