Wednesday 24 August 2011

SSPDS 72


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (72)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya juga tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan)
Bukan sahaja kad raya pertama yang saya terima daripada YB Wan Hassan tetapi jemputan ke Jamuan Terbuka Hari Raya pun adalah juga yang pertama saya terima darinya.
Beliau telah menghantar jemputan ini kepada saya melalui sms selain daripada pengumuman yang dipaparkannya di dalam Facebook.
Dalam sms itu, beliau meminta supaya saya membantu beliau mengedit kata-kata yang lebih sesuai untuk diedarkan kepada 10,000 orang jemputan.
Sekali lagi angka 10,000 dijadikan sebagai angka sasaran. Nampaknya pada tahun ini sememangnya angka ini menjadi seperti suatu angka yang sinonim dengan parti PAS. Setiap kali sesuatu program diadakan, angka ini telah beberapa kali dijadikan angka sasaran.
Itu adalah hak mereka. Mereka boleh kata berapa pun. Saya menganggap ianya sebagai sesuatu yang baik dari segi strategi politik dalam menyatakan ‘target’ atau ‘goal setting’ kerja-kerja politik mereka walaupun pada hakikatnya sudah tentulah perkarangan pejabat ADUNnya tidak mungkin boleh memuatkan jumlah kehadiran seramai itu melainkan para jemputan hadir secara bergilir-gilir.
Apa pun, itu tidak penting kerana ianya hanyalah perkara teknikal.. Yang penting bagi saya ialah kesungguhan yang ditunjukkan oleh YB Wan Hassan untuk mengadakan Jamuan Terbuka ini sebagai yang terbesar dalam sejarah PAS Semerak. Mungkin beliau mahu jadikannya yang terbesar kerana inilah Jamuan Terbuka Hari Raya menjelang pilihanraya umum yang akan datang ini.
Yang kedua pentingnya ialah YB Wan Hassan inginkan supaya pengundi-pengundi luar yang akan balik ke Semerak pada hari raya ini mendapat peluang untuk bersama-sama dengan orang-orang tempatan pula. Sekurang-kurangnya mereka yang pulang itu boleh berjumpa dan beramah mesra dengan kawan-kawan lama untuk bertanya khabar setelah bertahun-tahun tidak berjumpa. Perjumpaan ini secara tidak langsung sudah tentulah akan membuahkan hasil ‘political advantage’ kepada YB Wan Hassan.
Kalau ada orang yang akan bertanya mengapa saya suka menulis perkara-perkara seperti ini sedangkan perkara ini ialah urusan parti PAS, maka saya menjawab bahawa saya tidak dapat menulis apa-apa tentang UMNO Semerak kerana saya tidak mempunyai apa-apa untuk menulis tentangnya buat pada masa ini.
Selain daripada itu, saya tidak menganggap ianya sebagai sesuatu yang menyalahi perlembagaan parti hanya dengan menulis sesuatu yang benar tentang PAS. Saya tetap bersikap bahawa dalam konteks ini bukan parti PAS itu yang baik tetapi kerja-kerja mereka itulah sebenarnya yang baik.
Seligi Alpha pernah berkata… "Mengkritik tidak bererti menentang. Memuji tidak semestinya menyokong. Menegur tidak bermakna membenci. Berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik. Pengalaman silam adalah pengajaran terbaik bagi yang ingin terus maju ke hadapan"
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
25 Ogos 2011 / 25 Ramadhan 1432H
Semerak.

1 comment:

  1. THUMB UP for - "Mengkritik tidak bererti menentang. Memuji tidak semestinya menyokong. Menegur tidak bermakna membenci. Berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik. Pengalaman silam adalah pengajaran terbaik bagi yang ingin terus maju ke hadapan"

    Kemas.

    ReplyDelete