Sunday 28 August 2011

SSPDS 77

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (77)
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya juga tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan)
Perpecahan dalam parti ditafsirkan oleh pelbagai pihak dengan tafsiran yang berbagai-bagai. Ada yang menafsirkannya sebagai perpecahan dikalangan ahli-ahli dan ada juga yang menafsirkannya sebagai perpecahan dikalangan pemimpin-pemimpin itu sendiri.
Saya mempunyai pendapat dan pandangan yang sama juga tetapi agak sedikit berlainan dari segi punca asalnya.
Bagi saya, perpecahan ialah perpecahan ketiga-tiga pemimpin utama sesebuah parti. Kalau ianya diperingkat cawangan maka kesannya dirasai oleh ahli-ahli cawangan itu sendiri. Kalau ianya diperingkat Bahagian, kesannya dirasai oleh seluruh cawangan-cawangan di bawahnya. Kalau ianya diperingkat Perhubungan, kesannya dirasai oleh seluruh Bahagian-Bahagian dibawahnya. Akhir sekali, kalau ianya diperingkat pusat, kesannya akan dirasai oleh seluruh negeri-negeri dalam Malaysia.
Dari keempat-empat peringkat itu, saya hanya berminat untuk membicarakan tentang perpecahan yang berlaku diperingkat Bahagian sahaja.
Perpecahan bagi saya ialah perpecahan ketiga-tiga pemimpin utama Bahagian. Mereka ialah Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua.
Di Pasir Puteh, keadaan ini sebenarnya telah lama berlaku sejak pemilihan pada 8hb November 2008 lagi. Ketiga-tiga mereka ini sampai ke hari ini masih lagi dianggap tidak bersatu dan sehati sejiwa. Mereka mungkin dilihat bersama hanya didalam mesyuarat-mesyuarat atau program-program parti sahaja tetapi pada hakikatnya mereka tidak sedemikian di luar.
Mengapa terjadi begini adalah sesuatu yang tidak dapat saya huraikan. Ini adalah kerana saya tidak mementingkan sebab musababnya tetapi saya lebih mementingkan usaha-usaha yang sepatutnya dibuat untuk menyatukan mereka.  Sebab itu apabila menangnya sahaja Ketua Bahagian yang baru, saya telah awal-awal menyampaikan kepadanya kertas cadangan saya bersabit dengan hal ini.
Saya lakukannya kerana saya tahu bahawa kerja-kerja parti tidak akan berkesan jika sekiranya ketiga-tiga mereka ini tidak bersatu hati. Perpecahan ini akan mengakibatkan perpecahan dikalangan ahli-ahli juga kerana mereka sudah tentu akan diikuti oleh penyokong masing-masing.
Bagi saya, dalam keadaan apa sekali pun orang yang paling bertanggungjawab didalam hal ini sudah tentulah Ketua Bahagian sendiri. Selaku seorang ketua, beliau sepatutnya memulakan langkah-langkah awal untuk menyatukan dirinya sendiri dulu dengan kedua-dua Timbalan dan Naibnya. Usaha ini sudah tentulah memakan masa dan tenaga serta kesabaran yang tinggi. Cara dan kaedahnya juga hendaklah bersesuaian dan kena pada tempat dan masanya.
Sebab itu seorang ketua hendaklah dari seseorang yang bijaksana dalam perihal memimpin bukan sahaja memimpin ahli-ahli tetapi memimpin Timbalan dan Naibnya juga.
Jika tidak, itulah perpecahan.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
29 Ogos 2011 / 29 Ramadhan 1432H
Semerak.

No comments:

Post a Comment