Monday 31 October 2011

MD 31

MyDiary (31)
31/10/2011
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Hukum Hudud sekali lagi menjadi tajuk panas perbincangan dikalangan orang ramai terutamanya orang-orang politik. Malam ini pun satu program akan diadakan di DUN Limbongan oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh.

Sudah tentulah pemimpin PAS akan terus bertubi-tubi mempertahankan hujah-hujah mereka sementara pemimpin UMNO pula bertubi-tubi menyerang balas hujah-hujah itu. Saya melihat senario ini sebagai sesuatu yang sebenarnya merugikan orang-orang melayu sendiri. Bertengkar dan berbahas tidak habis-habis tentang sesuatu yang saya anggap tidak sepatutnya diperbahaskan berlebih-lebihan kecuali dengan cara lain yang lebih baik iaitu dengan cara bermuzakarah secara kekeluargaan.

Saya berkata begitu kerana isu hukum Hudud tidak perlu sesiapa pun mempertikaikannya dari segi agama. Pihak PAS tidak perlu bercakap terlalu banyak hendak melaksanakannya sementara pihak UMNO pula tidak perlu berhujah terlalu banyak juga menentangnya.

Hukum tetap hukum. Sesiapa pun akan dianggap menentang agama jikalau sekadar terniat sahaja pun didalam hatinya mempertikaikan sesuatu hukum agama. Saya yakin semua pihak tahu dan akur tentang keperluan untuk tidak mempertikaikannya.

Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak didalam perkara ini secara mutlak. Saya bukan layak untuk berbuat demikian. Namun, saya ada kemampuan berfikir sebagai seorang manusia biasa. Oleh itu, saya mahu menyatakan sesuatu yang mungkin boleh menyumbang.

Pada saya, soal hendak melaksanakannya atau pun tidak bukanlah sesuatu yang penting kerana itu sudah menjadi tanggungjawab pihak yang memerintah melakukannya. Yang penting ialah orang hendak melihat apakah pihak yang hendak melaksanakannya benar-benar layak atau pun tidak.

Pada saya, yang menjadikan masalah ini berpanjangan dipihak PAS ialah kemampuan sebenar dipihak mereka. Bagimana hendak diharapkan perlaksanaan ini boleh dibuat dengan cara-cara sebagaimana hukum itu menghendakinya jika ada dikalangan pemimpin tertinggi parti itu sendiri pun tidak mampu diyakini rakyat? Apakah sekadar memegang jawatan-jawatan tinggi parti sudah melayakkan mereka membawa rakyat dengan cara yang dikehendaki agama sedangkan mereka sendiri pun mempunyai rekod peribadi yang meragukan?

Saya tidak melihat ada contoh dalam sejarah agama bahawa seseorang yang pernah melalui tempuh yang meragukan diberikan hak untuk memerintah atau menjadi pemimpin seperti itu. Saya melihat jika mereka benar-benar inginkan itu, mereka sepatutnya terlebih dahulu menunjukkan contoh-contoh yang baik dalam kepimpinan. Jika tidak, mereka masih boleh menunjukkan contoh-contoh yang baik juga dengan cara melepaskan jawatan politik mereka demi agama, bangasa dan negara apabila tingkahlaku mereka diragui. Ini tidak pernah berlaku. Bahkan orang yang pernah diragui itu terus diberikan peluang naik ke jawatan yang lebih tinggi didalam parti. 

Inilah sebenarnya sudut yang harus dipersoalkan. Bukan hukum itu sendiri tetapi orang-orang yang hendak melaksanakannya. Sebab itu, bagi saya selagi orang melayu berpecah dengan dua parti besar ini, selagi itulah bukan sahaja hukum Hudud yang tidak mungkin dapat dilaksanakan bahkan kuasa politik orang-orang melayu itu sendiri pun harus terlepas ketangan orang lain.

Justeru itu, sama-samalah berusaha untuk bersatu dahulu barulah difikirkan perkara-perkara seperti hukum Hudud atau pun sebagainya kerana itulah yang terlebih penting buat pada masa ini. Bagaimana hendak kembangkan agama jika kuasa politik orang-orang melayu itu sendiri pun semakin hari semakin goyah? Apakah istilah 'survival' sudah tidak relevan? 

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.   

Friday 28 October 2011

MD 30


MyDiary (30)
29/10/2011
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Pesta Pantai yang sedang berlangsung sekarang di Pantai Bisikan Bayu (Dalam Rhu) Semerak adalah sesuatu yang dianggap baik. Selain daripada percubaan untuk mempopularkan semula tapak perkelahan keluarga, terdapat juga beberapa infra-struktur lain yang dibina akan menjadi kemudahan orang ramai selepas ini.

Namun, saya melihat usaha ini dibuat sekadar untuk tujuan jangka pendek sahaja. Warong, tandas dan wakaf tempat berteduh dibina hanya semata-mata untuk tujuan pesta yang diadakan itu sahaja.

Sikap kerajaan Kelantan melalui MDPPnya, sememangnya tidak pernah sebelum ini melakukan sebarang usaha untuk memajukan lokasi perkelahan seperti ini secara serious. Mereka telah membiarkan tapak seperti ini berada di dalam keadaan tidak terurus sejak sekian lama. Sekarang tiba-tiba sahaja pesta pantai yang sedang berlangsung ini diadakan. Apakah ada kaitannya dengan pilihanraya umum yang semakin hampir?

Saya melihat dari sudut pembangunan sesuatu kawasan itu untuk tujuan jangka panjang. Kawasan seperti Pantai Bisikan Bayu ini memerlukan lebih banyak infra-struktur asas yang lebih tersusun jika hendak menarik orang ramai ke sana. Warong-warong, jalan masuk, tandas-tandas, wakaf-wakaf, taman reakreasi, taman permainan kanak-kanak, benteng serta tempat meletak kenderaan hendaklah dibina dengan secukupnya untuk keselesaan orang ramai. Saya melihat tempat meletak kenderaan sebagai sesuatu yang sangat diperlukan di situ.

Saya tidak tahulah mengapa kemudahan-kemudahan seperti yang disebutkan itu tidak pernah diambil berat oleh kerajaan negeri. Apakah kerajaan negeri tidak mengutamakan pembangunan seperti ini kerana tiada peruntukan atau pun sengaja tidak diutamakan kerana sememangnya dasarnya begitu?

Saya harap janganlah kesempatan diambil menjelang pilihanraya untuk memikat para pengundi hanya dengan taktik melakukan sesuatu seperti ini yang akan dianggap orang seperti melepaskan batuk ditangga sahaja. Segala kemudahan yang disediakan hanyalah untuk tujuan sementara kerana dibina ala kadar sahaja. Selepas ini, tapak dibiarkan lagi seperti pada masa-masa yang lepas sedangkan kemudahan tapak yang berhampiran diberikan kepada orang lain untuk diraih keuntungannya.

Oleh itu, disamping mementingkan orang luar dengan memberikan tapak yang sangat bernilai, kerajaan negeri melalui MDPP harus juga mementingkan keperluan dan keselesaan orang ramai yang memerlukan kawasan yang lebih selesa untuk tujuan berehat dan berkelah seperti Pantai Air Tawar, Besut.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak. 

Wednesday 26 October 2011

MD 29

MyDiary (29)
27/10/2011
(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua pendapat atau pandangan adalah semata-mata pendapat dan pandangan peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Sewaktu saya di Shah Alam dua hari yang lepas, saya terjumpa seorang kenalan lama dari Kota Bharu. Kami berbual seketika tentang anak masing-masing yang datang konvo. Selepas itu, beliau bertanya saya tentang perkembangan politik tanahair. Saya berkata bahawa saya bukan orang politik yang memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik yang mampu memberikan jawapan yang memuaskan kerana saya hanyalah seorang ahli biasa dalam parti UMNO. Saya menjawab soalan beliau secara berterus terang kerana beliau ialah kenalan lama saya dan saya menyangka beliau pun ahli UMNO seperti saya juga kerana beliau ialah diantara orang terpenting sebuah persatuan kontraktor bumiputra Malaysia.

Apabila sahaja beliau mendengar jawapan saya yang sedemikian, beliau terus berkata bahawa menyokong sebuah parti seperti UMNO akan mengakibatkan kita ‘putus agama dengan Allah’ selain daripada ‘nabi tidak mengaku umatnya’. 

Saya merasa agak terkejut dengan kenyataan keras yang dibuatnya itu tetapi mampu menahannya kerana ingin mendengar lagi hujah-hujah selanjutnya. Katanya, parti UMNO sudah jelas tidak menyokong dan tidak mengutamakan Islam sejak dari saat penubuhannya lagi. Oleh itu, sesiapa yang menyertai parti ini sudah jelaslah juga bersubahat tidak menyokong Islam dan itulah yang menyebabkan orang-orang ini dianggap ‘putus agamanya dengan Allah’ dan ‘nabi tidak mengaku umatnya’.

Oleh kerana saya masih mahu menghormati beliau sebagai kenalan lama dan tidak mahu menunjukkan reaksi menentang, saya tidak berkata apa-apa yang agak keras dan bertentangan walaupun saya boleh. Saya terus berkata bahawa memanglah setiap individu Islam yang menjadi rakyat negara ini sewajibnya menyokong apa sahaja gerakan Islam yang ada termasuk jugalah parti PAS.

Namun, saya bertanya kepadannya apakah PAS sahaja yang perlu diberikan sokongan kalau seseorang itu mahu menyokong agama Islam? Beliau menjawab ya.

Oleh kerana jawapan beliau itu saya anggap sebagai sesuatu yang muktamad baginya, saya terus membawa beliau kepada soalan saya yang kedua yang saya yakin akan dapat membuatkan beliau tidak lagi mampu memberikan jawapan yang muktamad.

Saya berkata kepadanya bahawa saya sudah lama mahu menyertai PAS supaya dengan itu saya pun boleh juga memberikan sokongan kepada sebuah parti yang memperjuangkan agama Islam sepertimana yang didakwa beliau itu. Namun, setiap kali saya memegang pensel untuk memangkah semasa mengundi, saya terlihat bukan sahaja lambang bulan tetapi ada juga nama orang yang mewakili lambang itu. Nasib sentiasa tidak menyebelahi saya kerana berkebetulan pada setiap kali pilihanraya di tempat saya mengundi, orang yang mewakili lambang itu sentiasa merupakan orang yang terbukti tidak mempunyai rekod peribadi yang bersih.  

Saya pun terus bertanya kepadanya, apakah agama Islam membenarkan kita memberikan sokongan kepada seseorang seperti itu semata-mata dengan alasan hendak menyokong sebuah parti politik yang membawa dasar Islam?

Pada ketika inilah beliau dilihat menjadi agak serba salah. Dengan senyuman di mukanya yang bercampur tanda akur kepada saya, beliau lalu menggosok-gosok belakang saya dan berkata bahawa sayalah yang sepatutnya mengambil tempat itu.

Apalah lagi yang mampu saya berkata jika itulah pula alasannya?

Kenyataan terakhirnya itu tidak penting. Yang penting ialah unsur-unsur lama sedang cuba diterapkan semula kedalam masyarakat. Ianya tidak ubah seperti fesyen pakaian. Fesyen ‘bell-bottom’ tahun tujuh puluhan akan cuba dipromosikan semula pada tahun 2012 ini.

Saya tidak mahu memanjangkan isu ini kerana saya bukan pakar untuk menulis apa-apa mengenai agama. Saya bukan pelajar aliran agama dan bukan juga pelajar pondok yang mampu berhujah seperti pakar-pakar agama. Oleh itu, saya harap ada orang lain yang akan sudi menghuraikan isu ini secara lebih jelas dan mudah difahami.

Jangan dibiarkan sebarang percubaan oleh pihak parti PAS untuk cuba menggunakan semula isu seperti ini dalam usaha mereka untuk memepertahankan kuasa politik mereka. Buktikan bahawa memperalatkan agama untuk mempertahankan jawatan yang disandang mungkin masih boleh diterima alasannya secara sekular tetapi memesongkan aqidah adalah sesuatu yang keterlaluan.

Justeru, anggaplah MD 29 saya ini sebagai sesuatu yang datangnya dari orang yang bertanya.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.     

Wednesday 19 October 2011

MD 28

MyDiary (28)
20/10/2011

(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Tuan Hj Rujhan Hj Salleh adalah orang lama dalam parti yang telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin tulin UMNO. Dalam Pemuda, beliau merupakan orang yang telah meniti naik tangga kepimpinan politiknya sedari jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh hinggalah kepada jawatan Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan. Dalam Bahagian pula, sekarang beliau ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh iaitu orang nombor dua dalam saf kepimpinan tertinggi UMNO Bahagian di bawah Cikgu Zawawi Othman selaku Ketua.

Saya tertarik untuk menulis sedikit tentang beliau kerana saya dapati beliau sangat kental menghadapi cabaran. Sepanjang penglibatan beliau sebagai pemimpin, dua pilihanraya umum sudah berlalu iaitu PRU11 (2004) dan PRU12 (2008) tanpa beliau dicalonkan. Kini, PRU13 akan menyaksikan beliau sekali lagi diduga samada beliau akan menjadi calon atau pun tidak.

Jarang berlaku orang yang memegang satu jawatan tinggi seperti jawatan Ketua Pemuda Negeri tidak dicalonkan tetapi Hj. Rujhan atau panggilan manja kawan-kawan ‘Mat Jihe’ tidak pernah merasa kecewa bahkan terus memberikan khidmatnya membantu parti tanpa menimbulkan sebarang masalah. Ini bererti beliau adalah seorang pemimpin UMNO sejati yang tidak mementingkan dirinya sendiri tetapi sentiasa meletakkan kepentingan parti dihadapannya. Beliau tidak kisah samada dicalonkan atau pun tidak kerana yang penting baginya ialah kemenangan parti dalam pilihanraya.

Sekarang, saya rasa masanya sudah sampai untuk beliau dicalonkan. Jika tidak, umur beliau akan lebih meningkat lagi dan ini sudah tentulah akan merugikan parti dan seluruh ahli-ahli UMNO itu sendiri. Kita tidak mahu merugikan parti kita lagi dengan terus membiarkan beliau memimpin UMNO Bahagian sahaja padahal beliau terbukti mampu juga menjadi seorang wakil rakyat. 

Walaupun, terdapat bermacam-macam pendapat tentang beliau, saya masih menganggap beliau adalah orang yang paling layak sebagai calon di DUN Limbongan. Beliau adalah seorang yang terbukti sangat tabah dan penyabar dalam menempuh segala bentuk cabaran dan dugaan. Dengan pengalamannya juga, sudah tentulah beliau akan mampu menangkis segala bentuk tohmahan daripada parti lawan.

Saya harap ahli-ahli UMNO semua terutamanya saf kepimpinan UMNO Bahagian sendiri terus bersikap matang dan professional dalam menentukan dan menerima beliau sebagai calon PRU13 ini di DUN Limbongan. Apa yang telah berlaku sedikit sebanyak itu anggaplah sebagai asam garam kehidupan sebagai seorang pemimpin. Setiap pemimpin tetap akan menghadapi pelbagai cabaran sepanjang tempuh seseorang itu memimpin sesebuah pertubuhan politik. Lagi tinggi seseorang itu menjawat jawatan, lagi banyak cabaran yang akan seseorang itu hadapi. 

Apa yang penting ialah kita masih separti.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.   

Sunday 16 October 2011

MD 27

MyDiary (27)
16/10/2011

(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Menyentuh kembali kepada soal siapa calon untuk parlimen Pasir Puteh dan siapa calon untuk kesemua DUN sebagai susulan kepada MD 26, saya ingin membuat cadangan sepertimana berikut :-

1)      Ketua UMNO Bahagian sebagai calon parlimen sementara semua keempat-empat DUN akan ditentukan oleh beliau sendiri.
2)      Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan sebagai calon parlimen dengan Ketua UMNO Bahagian di DUN Gaal. Tiga DUN lain akan ditentukan oleh Ketua UMNO Bahagian.
3)      Mantan Ketua UMNO Bahagian sebagai calon parlimen dengan Ketua UMNO Bahagian di DUN Gaal. Tiga DUN lain akan ditentukan oleh Ketua UMNO Bahagian.
4)      Orang-orang lain selain daripada mereka di atas itu sebagai calon parlimen dan DUN.

Pelan pertama saya anggap sebagai pelan yang paling ‘ideal’ kerana kedudukan seseorang Ketua Bahagian yang menerajui parti hendaklah juga diberikan tempat sebagai calon parlimen. Dengan itu, kesemua DUN akan secara otomatik berada dibawah naungannya sekaligus memudahkan segala urusan yang berkaitan dengan pilihanraya.

Pelan kedua  saya anggap sebagai pelan untuk meyakinkan orang-orang Pasir Puteh bahawa mereka sangat beruntung kerana mendapat pemimpin no. 2 parti peringkat negeri yang juga merupakan seorang Timbalan Menteri kabinet buat pada masa ini sementara Ketua Bahagian ke DUN Gaal dimana kemenangan sangatlah berpihak kepadanya.

Pelan ketiga saya anggap sebagai pelan yang baik kerana pengaruh mantan Ketua Bahagian masih lagi kuat diperingkat akar umbi. Sepertimana pelan kedua. Ketua Bahagian ke DUN Gaal diatas sebab-sebab yang sama.

Pelan keempat adalah pelan alternatif terakhir jika kesemua pelan-pelan yang telah disebutkan di atas itu tidak boleh dilaksanakan disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan.

Saya tidak boleh membayangkan tokoh lain sebagai calon parlimen untuk pelan keempat ini kecuali seorang tokoh baru yang sangat rajin melakukan kerja-kerja ‘turun padang’ sejak beliau kembali bertugas di Pasir Puteh sebagai Pengetua sebuah sekolah menengah.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.    

Friday 14 October 2011

MD 26


MyDiary (26)
14/10/2011
 (Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Isu wang RM2 juta semakin rancak dan panas diperbincang dan diperbahaskan di dalam Facebook. Mereka yang berbahas itu bukan terdiri daripada orang-orang UMNO sendiri sahaja tetapi disentuh dan dibahas juga oleh orang-orang PAS atau setidak-tidaknya penyokong-penyokong parti ini.

Ramai diantara mereka menggunakan nama samaran tetapi hujah mereka tetap membayangkan sikap mereka yang sebenar.

Mereka semua berbahas dan berbahas hampir setiap hari pagi dan petang tentang isu ini tetapi sampai hari ini tiada sebarang penjelasan yang dibuat oleh sesiapa. Mereka akan tetap mencari-cari penjelasan yang mereka mahukan selagi tiada sesiapa yang sanggup menampilkan diri untuk menjelaskannya. Mereka dilihat seperti mahukan kepastian tentang isu ini.  Kadang-kadang inilah yang membuatkan saya sendiri pun merasakan bahawa mungkin lebih baik isu ini diperjelaskan sahaja jika isu ini tidak lagi dapat dirahsiakan.

Kepimpinan UMNO Bahagian mungkin tidak mahu mengambil kisah tentang apa yang dipercakapkan. Mereka bersikap soal ini sebagai urusan dalaman parti yang tidak perlu dibuat sebarang penjelasan kepada orang ramai. Mereka bersikap bahawa jika permintaan dilayan, ianya boleh mendedahkan lagi mereka kepada pelbagai persepsi negatif terutama daripada phak parti lawan.

Saya bersetuju dengan sikap yang diambil itu. Namun, apakah dengan membiarkan orang ramai berterusan mempersoalkannya, ianya boleh memberikan kebaikan kepada parti? Dalam masa kita sedang berusaha keras menangkis berbagai-bagai tohmahan, apakah wajar isu seperti ini dibiarkan?

Isu kedua yang tidak kurang hebatnya ialah tentang siapa calon BN parlimen dan semua DUN-DUN di Pasir Puteh. Walaupun isu ini sememangnya tdak boleh juga dipersoalkan oleh sesiapa, namun kepimpinan UMNO Bahagian harus juga bijak menanganinya. Mereka juga ingin tahu siapa sebenarnya yang akan dicalonkan.

Dalam hubungan ini, saya melihat bahawa minat orang ramai ini sebenarnya bersesuaian dengan hasrat YAB Dato’ Seri Presiden sendiri yang mahukan supaya seseorang calon itu betul-betul terdiri daripada mereka yang dianggap ‘winnable’.  Oleh itu, tidak salah bagi mereka jika mereka mahukan supaya pendapat mereka diambilkira oleh kepimpinan Bahagian walaupun dengan cara meluahkannya di dalam Facebook sahaja.

Tidak salah juga bagi mereka jika contohnya, mereka tidak mahu orang-orang yang telah pun pernah kalah dalam pilihanraya umum yang lalu tidak disenaraikan lagi. Kali ini, mereka mahukan supaya mereka yang disenaraikan terdiri daripada muka-muka baru. Bukan muka-muka lama walaupun muka-muka lama itu sangat rapat dengan kepimpinan Bahagian sekali pun. Mereka berpendapat bahawa kekayaan peribadi atau pengalaman di dalam parti juga tidak semestinya dijadikan ukuran mutlak untuk melayakkan seseorang itu menjadi calon lagi kecualilah pengaruh mereka di akar umbi masih betul-betul kuat dan terbukti ‘winnable’. Mereka berkata bahawa pada kebiasaannya, orang-orang seperti ini tidak lagi diterima orang ramai dan mustahil boleh memberikan kemenangan kepada parti.

Oleh itu, muka-muka baru harus diketengahkan terutamanya bagi kerusi parlimen.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak. 

Tuesday 11 October 2011

MD 25


MyDiary (25)
12/10/2011

(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Sekarang musim orang Islam naik mengerjakan haji ke Mekah. Di Pasir Puteh tidak kurang juga yang ke sana termasuk beberapa orang tokoh-tokoh politik dan orang-orang yang disebut sebagai berpotensi tinggi sebagai calon PRU ke-13 ini.

Suasana agak hening dan aman dengan masing-masing mengambil kesempatan untuk pergi berjumpa dengan mereka. Ada yang mengadakan kenduri kesyukuran ada yang tidak. Semua itu tidak penting kerana yang penting ialah berjumpa dan meminta ampun dan maaf sebelum berpisah serta berpesan kepada yang pergi itu supaya jangan lupa memohon doa untuk mereka juga di sana nanti. Mereka yang akan pergi ini dianggap sebagai sudah mendapat seru.

Semua orang Islam tetap bercita-cita hendak menunaikan rukun Islam yang ke-5 ini. Tinggal lagi mampu atau pun tidak. Kemampuan pergi dan balik serta cukup belanja dalam masa peninggalannya kepada sesiapa yang ditanggung nafkahnya seperti anak isteri dan lain-lain.

Suasana seperti ini harus dilihat sebagai suasana untuk sama-sama bertenang. Dalam masa mereka di tanah suci, kita di tanah air sewajarnyalah mengambil sikap untuk tidak menimbulkan sebarang isu yang boleh menyentuh perasaan orang lain. Jika betul-betul ditakdirkan orang yang pergi ke Mekah itu menjadi calon sekembalinya nanti, maka sudah tentulah beliau mahukan supaya suasana berkempen dilakukan dengan cara yang sebaik mungkin dan bersopan.

Elakkanlah daripada membincangkan soal-soal yang menyentuh peribadi mana-mana orang. Jika soal itu dirasakan sebagai sesuatu yang harus diketengahkan demi kepentingan politik dan orang ramai seperti penyelewengan atau pun penyalahgunaan kuasa, itu pun masih juga tidak baik untuk diperbincangkan secara terbuka seperti di dalam kedai-kedai kopi atau dalam laman web internet seperti Facebook atau lain-lain. Apa yang perlu dilakukan ialah membawa kes itu ke muka pengadilan samada melalui saman mahkamah atau pun laporan kepada SPRM. Biarlah pihak yang berkuasa ini menggunakan undang-undang yang sah untuk menentukan samada orang-orang itu bersalah atau pun tidak.

Saya menyentuh perkara ini kerana saya telah mendapat tahu bahawa ada desas desus pilihanraya pada kali ini akan menyaksikan perkembangan yang sedemikian. Saya tidak bolehlah menyatakan dengan jelas di dalam tulisan saya ini kerana ianya bukan bidang dan minat saya untuk memperincikan sesuatu yang tidak jelas. Kepada mereka yang tidak berpuas hati itu, saya hanya ingin menyampaikan nasihat saya supaya perkara-perkara seperti ini janganlah dibuat main-main kerana menyentuh peribadi seseorang walaupun ianya ada kaitan dengan kepentingan politik dan orang ramai sekali pun, kita masih perlu berhati-hati kerana dikhuatiri ianya mungkin rekaan sahaja untuk menjatuhkan maruah seseorang. Atau pun ianya mungkin sudah terlalu digembargemburkan sehingga cerita asal yang lama sudah menjadi terlalu jauh daripada benar.

Jika ianya melibatkan penyalahgunaan kuasa seperti ‘Abuse of Power (AP) atau ‘Criminal Breach of Trust’ (CBT), maka sewajarnyalah perkara itu dibawa kepada pihak yang berkuasa itu. Kita seharusnya menunggu dan membiarkan pihak yang berkuasa itu sendiri menanganinya mengikut lunas undang-undang. Ini adalah lebih baik kerana orang yang membuat aduan atau laporan tidak akan diketahui oleh sesiapa.

Kita hanya berhak membuat aduan dan laporan, jika dirasakan perlu, tetapi tidak berhak membuat sebarang penghakiman secara terbuka untuk disebarkan kepada orang ramai. Apalagi untuk dijadikannya sebagai bahan kempen politik terhadap seseorang didalam musim pilihanraya nanti.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.

Monday 10 October 2011

MD 24

MyDiary (24)
11/10/2011

(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Apabila saya menulis ‘MDP, MKTBL’ dalam MD 23 saya yang lepas, saya harap ada dikalangan pembaca yang boleh meneka apa yang saya maksudkan dengan ringkasan itu.

Kontroversi telah timbul apabila saya berkata bahawa kekalahan BN dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu di Pasir Puteh adalah disebabkan oleh kelemahan UMNO sendiri bukannya disebabkan oleh kekuatan PAS. Saya telah menjalankan kajian tentang perkara ini. Jumlah ahli-ahli UMNO berdaftar jauh melebihi ahli-ahli PAS tetapi PAS masih mampu menang disebabkan undi protes yang diberikan oleh orang-orang UMNO.

Sekarang untuk menutup kelemahan ini, PAS Pasir Puteh cuba mewar-warkan seolah-olah mereka yang di atas pagar dan pengundi-pengundi luar akan balik memberikan sokongan kepada mereka pula. Sekurang-kurangnya mereka masih mempunyai alasan bahawa kemenangan mereka yang akan datang ini bukan bergantung kepada undi protes sepertimana biasa mereka perolehi pada masa-masa yang lepas.

Mereka sebenarnya tidak mahu mengharapkan kemenangan dengan cara bergantung kepada undi protes daripada orang-orang UMNO seperti dahulu lagi. Ini adalah kerana mereka tahu bahawa orang-orang UMNO sudah semakin bersatu kembali untuk memberikan undi mereka kepada BN pada kali ini setelah merasai mereka tidak mendapat apa-apa faedah pun selepas mengundi PAS.

Saya tidak mahu menyebut secara berangka dalam hal ini kerana urusan ini terletak pada tanggungjawab pengurusan parti. Yang saya mahu tekankan di sini ialah betapa sudah sampai masanya seluruh ahli UMNO Pasir Puteh perlu bersatu dan bergabung tenaga untuk mengambilalih Parlimen dan kesemua DUN Pasir Puteh. Ini adalah semata-mata kerana itulah kewajipan asas sebagai seorang ahli UMNO terhadap partinya. Lebih baik mereka memberikan undi kepada BN yang mana UMNO menjadi tonggaknya berbanding parti lain kerana kerja memberikan undi kepada parti lain adalah kerja yang tidak pun juga memberikan sebarang untung kepada mereka. Mereka akan mendapat sedikit penghargaan sementara sahaja. Oleh itu, mereka perlu insaf dan sedar bahawa mereka perlu mengubah sikap pada kali ini. Jika kita seorang ahli UMNO maka undilah BN. Jika sebaliknya undilah parti lawan. Kalah menang adalah sesuatu yang biasa dalam pilihanraya tetapi ianya hendaklah kalah atau menang dengan cara yang betul bukan dengan cara menipu diri kita sendiri.

Kepada mereka yang bertugas nanti, hendaklah sentiasa menjalankan tugas dengan jujur, ikhlas dan sopan serta bersungguh-sungguh. Jangan sekali-kali hanya memikirkan tentang habuan sahaja baru hendak bekerja tetapi hendaklah memikirkan tentang nasib masa depan orang-orang melayu terutama generasi kita yang akan datang.

Jika UMNO masih boleh dipertahankan, inilah sebuah parti melayu yang sudah diyakini dapat mempertahankan kuasa politik orang-orang melayu. Dalam BN, parti UMNO terus dominan berada di hadapan dengan diikuti oleh parti MCA dan MIC serta lain-lain parti komponen sedangkan parti PAS bukan begitu dalam PR. Dengan cara ini sahaja pun kita sudah boleh membayangkan apa yang akan terjadi kepada kuasa politik orang-orang melayu jika dibiarkan PR memerintah hanya disebabkan oleh kesilapan kita memberikan undi protes kepada mereka.

Saya bercakap dalam konteks parti sebagai sebuah organisasi politik bukan dalam konteks kepimpinan parti itu. Saya bercakap tentang UMNO yang harus dipertahankan oleh semua orang melayu untuk terus menerajui politik tanah air demi kesejahteraan negara, bangsa dan sekaligus agama. Pemimpin boleh ditukarganti tetapi UMNO harus dikekalkan berkuasa.

Dimana agama jika sekiranya orang-orang melayu sudah tidak boleh menguasai politik?

BERSATU   BERSETIA   BERKHIDMAT

Oleh

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

MD 23


MyDiary (23)
10/10/2011

(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Suasana perpaduan dikalangan seluruh ahli-ahli UMNO Pasir Puteh semakin menampakkan tanda-tanda bahawa ianya akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

Bermula dengan persefahaman dan kerjasama semula diantara pucuk kepimpinan iaitu diantara Ketua UMNO Bahagian dengan Timbalannya, usaha untuk menyatukan mereka berdua dengan Naib Ketua akan menyusul pula.

Mereka bertiga ini mesti dilihat betul-betul bersatu dalam ertikata yang sebenar dahulu barulah seluruh ahli-ahli di bawah akan turut bersatu juga. Mereka sudah lama menantikan saat dan ketika dimana ketiga-tiga mereka ini membuktikan kerjasama mereka. Selagi mereka tidak bersatu dan tidak mahu mengenepikan kepentingan diri serta ego masing-masing, selagi itulah seluruh ahli-ahli bimbang dan tidak yakin menghadapi pilihanraya umum yang akan datang ini. Mana mungkin ahli-ahli di bawah mahu bersatu dikalangan mereka jika ketiga-tiga pemimpin teratas itu sendiri pun tidak mahu bersatu. Seruan demi seruan oleh Ketua Bahagian akan hanya dianggap seperti mencurah air ke daun keladi.

Mereka bertiga hendaklah meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi. Mereka bertiga hendaklah mengingatkan semula diri mereka bahawa mereka sedang menjawat jawatan yang telah diamanahkan oleh ahli-ahli. Mereka bertiga maka dengan itu hendaklah menunaikan tanggungjawab yang telah terpikul itu supaya harapan ahli-ahli tidak dipersia-siakan. Pada saat ini mereka bertiga hendaklah memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kerja-kerja memenangkan parti dalam pilihanraya umum yang akan muncul tidak lama lagi ini.

Ahli-ahli di bawah seperti saya tidak mempunyai sebarang prasangka berterusan terhadap sesiapa pun diantara mereka kecuali kritikan dan teguran supaya mereka memperbaiki kepimpinan mereka. Kami juga tidak ada sebarang kepentingan peribadi. Kami hanyalah ahli-ahli biasa yang hanya mahukan supaya BN memenangi pilihanraya ini. Kami semua akan tetap memberikan kerjasama penuh kepada pucuk kepimpinan parti kearah mencapai tujuan itu. Namun, kerjasama yang diberikan tidak akan membuahkan sebarang hasil jika sekiranya pucuk kepimpinan Bahagian sendiri pun tidak mahu bersatu.

Saya dengan ini menyokong penuh apa sahaja perancangan yang sedang dibuat oleh mana-mana pihak untuk menyatukan ketiga-tiga pemimpin teratas Bahagian ini. Apabila ketiga-tiga mereka sudah terbukti bersatu, ahli-ahli pula hendaklah bersedia untuk bersatu semula juga dan sama-sama berada di belakang ketiga-tiga mereka ini sebagai sebuah keluarga yang besar.

Kita seharusnya sentiasa ingat bahawa walaupun dalam sistem demokrasi kuantiti diambilkira, penyatuan dan perpaduan hendaklah terlebih dahulu diutamakan dikalangan kita. Jika ini dapat betul-betul dicapai, saya yakin BN PP akan mampu mengambil alih parlimen dan kesemua DUN-DUN dalam pilihanraya ini. Ini adalah kerana kemenangan dipihak PAS yang lalu bukanlah semata-mata disebabkan oleh kekuatan mereka sendiri tetapi disebabkan juga oleh kelemahan parti UMNO dari segi perpaduan ahli-ahlinya. Kesempatan demi kesempatan telah direbut oleh mereka selama ini untuk lebih melemahkan lagi perpaduan dikalangan ahli-ahli UMNO. Kita tidak boleh menyalahkan mereka tetapi kita sendirilah yang harus memperbetulkan diri kita sendiri dengan kesedaran bahawa sebenarnya kita lebih kuat dari mereka jika kita bersatu.

Pada pilihanraya kali ini, marilah sama-sama kita mengubah sikap dengan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri. Ketua UMNO Bahagian sendiri seharusnya memulakan langkah-langkah ini sebelum terlewat.

Jika tidak, padah kekalahan seperti yang lalu akan berulang.

MDP, MKTBL.

BERSATU   BERSETIA   BERKHIDMAT


Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.       

Saturday 8 October 2011

MD 22


MyDiary (22)
08/10/2011

(Saya akan sentiasa mengulangi peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi tetapi tetap bercita-cita supaya BN kembali memerintah negeri Kelantan dalam PRU ke-13 nanti. Saya tidak kisah samada artikel saya diambil kisah atau pun tidak kerana apa yang penting bagi saya ialah menulis dan menyampaikan. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pihak atau mana-mana individu dan tidak pernah mengambil upah dari mana-mana pihak atau mana-mana individu untuk tujuan ini)

Menulis secara bebas seperti yang sedang saya lakukan ini membawa makna bahawa saya tidak terikat dengan mana-mana pihak seperti yang dituduh akhir-akhir ini. Saya tidak ada majikan yang membayar kepada saya seperti syarikat akhbar kerana saya menganggap menulis seperti ini hanyalah sebagai hobi dimasa lapang sahaja untuk dibaca oleh orang-orang yang mahu membacanya.

Ada orang cuba menghina saya dengan berkata bahawa saya tidak mempunyai pekerjaan maka menulis adalah mata pencarian saya buat pada masa ini dan menganggap saya menerima upah. Saya menganggap orang seperti itu sebagai orang yang tidak sukakan kepada buku. Beliau mungkin juga tidak berpelajaran tetapi boleh menulis dan membaca kerana pernah dihantar ibubapanya ke sekolah.

Inilah sikap orang-orang kita. Sedikit pun tidak boleh ditegur dan dikritik. Yang dipentingkan hanyalah puji-pujian sahaja. Mereka akan marah apabila dikritik tetapi amat menyayangi orang-orang yang memuji-mujinya.

Saya berpendapat bahawa jika seseorang pemimpin itu tidak bersedia dikritik, maka itulah tandanya beliau tidak mahu juga menerima kenyataan bahawa ada kesilapan yang pernah beliau lakukan. Jika dibiarkan, beliau seterusnya akan merasa bahawa beliaulah orang yang paling sempurna dan paling layak memimpin. Orang-orang lain akan dianggap hanya layak sebagai pengikutnya sahaja.

Banyak contoh-contoh kepimpinan seperti ini didalam sejarah. Pemimpin-pemimpin seperti ini pada kebiasaannya akan jatuh juga dan jatuhnya adalah secara hina dan memalukan.

Saya harap tidak ada pemimpin seperti ini di Pasir Puteh baik dalam UMNO mahu pun PAS kerana saya akan terus menulis dan menulis untuk mengkritik kedua-dua pihak.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.

Thursday 6 October 2011

MD 21


MyDiary (21)
07/10/2011

Saya melihat suasana bekerja untuk menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 atau PRU13 lebih berpihak kepada PAS berbanding UMNO. Pihak kepimpinan PAS terutamanya di DUN Semerak dilihat semakin aktif menjalankan aktiviti-aktiviti ‘turun padang’. UMNO hanya dilihat menjalankannya sekali sekala sahaja seperti program simulasi pilihanraya baru-baru ini.

Wakil Rakyat PAS Semerak semakin mengurangkan masa tidurnya tetapi kepimpinan UMNO Semerak bukan sahaja tidak mengurangkannya bahkan tidak lagi nampak batang hidung mereka terutamanya Pengarah DUN sendiri.

Saya tidak tahulah apa sebabnya. Kemungkinan beliau tinggal jauh iaitu di Kota Bharu maka beliau tidaklah berkesempatan untuk datang menjengok kawasan ini selalu. Tambah-tambah lagi saya dapat tahu isterinya pun sudah lama sakit yang sudah sewajarnyalah beliau harus memberikan tumpuan yang lebih kepada isterinya sendiri.

Kita tidak boleh menyalahkannya. Malahan kita semua harus bersimpati dan berdoa semoga isterinya segera sembuh seperti sedia kala.

Namun, kerja politik harus diaktifkan terus. Kuasa dan tanggungjawab yang telah diserahkan kepadanya harus diteruskan oleh penolongnya. Jika tidak, sesuatu harus dibuat segera termasuklah menggantikannya dengan seseorang yang lain. Ini adalah kerana masa sudah tidak berpihak kepada kita. Kerja-kerja dan program harus dipergiatkan untuk parti. Masalah peribadi tetap masalah peribadi tetapi ianya tidak boleh dijadikan alasan sehingga parti tidak boleh bergerak dan seolah-olah tidak ada cara untuk mengatasinya.

Wakil Rakyat PAS semakin aktif. Setiap ada yang meninggal beliau sudah tentu ada di tempat itu awal-awal.. Beliau mempunyai orang-orangnya di serata kawasan yang akan sentiasa memaklumkan kepadanya jika ada sesiapa yang meninggal tidak kiralah orang yang meninggal itu orang PAS atau UMNO.

Beliau semakin aktif jauh mengatasi kepimpinan UMNO. Kadang-kadang orang-orangnya sendiri sudah pun tergamak mengkritik kepimpinan UMNO dalam hal ini walaupun tidak sewajarnya dibiarkan berlaku. Ini adalah kerana menziarah orang mati sememangnyalah tugas dan kewajipan seorang wakil rakyat jika beliau berkesempatan. Tidak seharusnya dibiarkan orang-orangnya sendiri melemparkan tuduhan terhadap kepimpinan UMNO kerana perbuatan seperti itu hanya mengundang dosa sedangkan Islam itu sendiri tidak mengajar umatnya supaya melakukan perbuatan seperti itu terhadap orang lain. Tidak menziarah pada hari kematian tidak bererti seseorang itu tidak akan pergi pada hari yang lain. Mungkin seseorang itu sibuk dan akan datang pada hari yang kemudian.

Namun, inilah sikap yang sentiasa diamalkan oleh orang-orang PAS apabila wakil rakyat mereka datang menziarahi orang UMNO yang meninggal. Mereka akan sentiasa mengambil kesempatan untuk menjadikan lawatan ini sebagai bahan kempen politik.  Mereka tidak sedar bahawa kegiatan wakil rakyat ini pun sudah dianggap keterlaluan jika mereka menjadikannya sebagai bahan kempen. Mereka tidak sedar bahawa kegiatan yang terlalu aggresif boleh mengundang kepada persepsi bahawa mereka sebenarnya sedang berada di dalam kekhuatiran dan kebimbangan terhadap UMNO yang semakin pulih dari segi perpaduan dan kekuatan.

Sebaiknya apa sahaja yang dibuat hendaklah dibuat secara sederhana sahaja. Jika orang UMNO yang meninggal, janganlah cuba menunjuk-nunjuk bahawa wakil rakyat PAS seolah-olah melebihi kepimpinan UMNO itu sendiri pula. Orang akan tahu kita tidak ikhlas tetapi semata-mata hendak menggunakan kesempatan untuk tujuan politik sahaja. Apa lagi jika dibiarkan orang-orangnya sendiri pula cuba merendah-rendahkan kepimpinan UMNO.

Oleh itu, kesederhanaan adalah sesuatu yang perlu diterapkan dan disegarkan semula oleh kedua-dua pihak kepimpinan baik UMNO mahu pun PAS. Elakkanlah unsur-unsur mengkritik yang keterlaluan dan tidak sesuai yang boleh menyentuh perasaan orang lain kerana usaha perpaduan di kalangan masyarakat Semerak harus diteruskan oleh kepimpinan kedua-dua belah pihak biarpun kita berbeza pendapat dalam hal-hal politik
.
Saya berdiri diatas dasar ini.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
Semerak.

Tuesday 4 October 2011

MD 20


MyDiary (20)
05/10/2011

Hari Isnin 03/10/2011 jam 4.15 petang Allahyarham Tuan Hj. Daud Bin Seman (dikenali sebagai Abe Daud Seman), 73, telah meninggal dunia di Langkawi. Beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya apabila kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh sebatang pokok di Jalan Padang Gaong.

Jenazah beliau telah disemadikan di Seksyen 9 Kota Damansara selepas disembahyangkan di surau Seksyen 7 semalam. YBhg. Datuk Hj. Kamaruddin Md. Nor turut bersembahyang sementara YBhg. Datuk Yazid Othman serta seorang wakil dari Veteran UMNO Pasir Puteh mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Ramai yang mengenali Allahyarham yang berasal dari Pasir Puteh, Beliau merupakan pengasas Yayasan Anda diawal tahun ‘70an. Beliau juga pernah bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh pada satu masa dahulu. Sejak akhir-akhir ini beliau kerap pulang ke Pasir Puteh untuk membantu UMNO Bahagian dalam menghadapi pilihanraya umum.

UMNO Pasir Puteh telah kehilangan seorang tokoh korporat yang banyak berjasa kepada parti dan juga masyarakat.

Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat. Kepada isteri dan anak-anaknya serta kaum keluarganya, kita ucapkan berbanyak takziah.

Yang pergi tetap pergi.

Yang tinggal harus menyambung usaha-usaha murni beliau. Beliau merupakan diantara tokoh-tokoh korporat yang sentiasa membantu dan mengambil berat tentang UMNO Pasir Puteh.

Al-Fatihah.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.