Sunday 29 September 2013

Terbitan Khas

Komen-Komen Pilihan Dalam Facebook (siri 23)
Saya tidak tahu kepada siapa Prof Madya Datuk Dr Agus tujukan teguran beliau ini tetapi sudah tentulah beliau menegur kerana ada segelintir pemimpin negara yang masih mengamalkan sikap yang tidak profesional ini.

Saya sangat bersetuju dengan pesanan seperti ini, apalagi jika ianya dari seseorang yang berpendidikan tinggi. Teguran seperti ini sudah tentulah jarang disampaikan kerana yang banyak ada ialah mereka yang suka membodek demi kepentingan diri sendiri.

Pada masa pemilihan seperti ini, perwakilan harus bijak memilih calon-calon yang hendak dijadikan pemimpin. Mereka harus mengenali rekod dan latar belakang setiap orang yang hendak dipilih itu, bukan mengikut telunjuk orang lain. Jika orang yang diarah supaya dipilih itu memang rekod dan latar belakangnya baik, maka undilah orang itu. Jika tidak, anda sebenarnya berpura-pura dan menipu diri sendiri sahaja kerana naiknya seseorang pemimpin itu adalah dengan undi anda. Oleh itu, jika tersalah pilih, akibatnya anda jugalah yang akan merasainya. Kata orang tua-tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Pada masa ini, semua calon yang bertanding mencari anda. Ada yang dekat, ada yang dari jauh. Seperti di tempat saya, sudah ada calon-calon yang bertanding datang dari jauh. Ada yang dari Kuala Lumpur, ada dari Sabah, ada dari Perak, ada dari Negeri Sembilan dan lain-lain tempat. Kalau dahulu, mereka hanya perlu tunggu di Kuala Lumpur semasa perhimpunan diadakan sahaja, tetapi kali ini mereka terpaksa berjalan dan merantau mencari sendiri perwakilan. Masa yang ada harus digunakan dengan sebaik mungkin untuk berjumpa dengan perwakilan. Masa dan wang dikorbankan.

Pada 19 Okt 2013 nanti, mereka tidak lagi boleh berjumpa dengan perwakilan. Yang boleh dilakukan hanyalah menghantar pesanan ringkas.

Tiada siapa yang tahu bagaimana calon-calon ini berjumpa dengan perwakilan. Apakah pertemuan itu sekadar dengan acara majlis makan minum sahaja atau pun ada juga yang 'menambah kekuatan' pertemuan itu dengan menghulur 'buah tangan'?. Atau mewakilkan seseorang untuk menyampaikan 'buah tangan' itu kepada perwakilan? Tiada siapa yang tahu dan melihatnya kecualilah pihak yang menerimanya sahaja mendedahkannya. Itu pun hanya perwakilan yang sangat berani sahaja mampu melakukannya. 

Disinilah ruangnya yang diperlukan keberkesanan tugas dan tanggungjawab pemantau bagi pihak Badan Disiplin parti. Mereka hendaklah dari orang-orang yang sudah masak dengan perangai calon-calon yang bertanding itu. Bukan semua calon akan melakukan 'jenayah' ini. Mereka yang sudah diketahui dan dikenalpasti tidak pernah melakukannya, tidak perlulah diberikan perhatian, tetapi mereka yang ada rekod hendaklah dipantau setiap hari dan di mana sahaja beliau berada. Calon-calon seperti ini sudah tentu akan tetap melakukannya walau sekeras mana sekali pun larangan kerana itulah sahaja jalan baginya untuk mendapat undi.

Tindakan tegas harus diambil terhadap pesalah-pesalah yang dibuktikan bersalah. Mereka tidak harus dibiarkan jika benar-benar UMNO hendak membersihkan dirinya. Dengan cara ini sahajalah baru UMNO akan mendapat tempatnya semula di hati orang-orang melayu. Orang-orang melayu bukan membenci UMNO tetapi mereka sebenarnya membenci pemimpin-pemimpinnya yang rasuah dan berkepentingan. Orang-orang melayu seperti ini tetap akan menyokong semula UMNO jika usaha untuk 'menghapuskan' mereka dilakukan dengan serious dan berkesan.

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas
Semerak


No comments:

Post a Comment