Sunday 22 September 2013

Terbitan Khas



23 Tahun PAS Memerintah Kelantan
23 Tahun BN Gagal Menawan Kelantan 
Kedua-dua ayat di atas itu sama maknanya bagi rakyat negeri Kelantan. Yang tak sama ialah negeri-negeri lain yang diperintah BN rakyatnya boleh menikmati kemudahan pembiayaan pelbagai projek, sedangkan negeri yang tidak, sebaliknya.

Saya bukan menulis di sini hanya sebagai rakyat negeri Kelantan, tetapi saya menulis juga sebagai rakyat Malaysia. Jika sikap saya hanya sebagai rakyat Kelantan, sudah tentu saya sudah berpuas hati dengan apa yang ada dan tidak perlu menulis artikel ini.

23 Tahun sudah berlalu. 23 tahun jugalah rakyat Kelantan tidak pernah merasai pembangunan sepertimana rakyat negeri-negeri lain nikmatinya. 23 tahun jugalah rakyat Kelantan telah bersabar dan berjuang untuk mendapatkan hak mereka.

Mahu tidak mahu negeri Kelantan ketinggalan. Jika negeri-negeri lain ada banyak pembangunan infra-struktur, negeri Kelantan tidak pun punyai lebuhraya yang setanding sejak sekian lama. Jika negeri-negeri lain ada banyak peluang pekerjaan untuk rakyatnya, negeri Kelantan tidak pun punyai kilang-kilang yang besar atau pelabuhan untuk menampung keperluan rakyatnya yang menganggur.  

Sampai bila rakyat Kelantan hendak dianaktirikan? Sampai bila rakyat negeri Kelantan hanya melihat negeri-negeri lain maju sedangkan negeri sendiri tidak tahu bila akan dimajukan?

Jangkamasa 23 tahun sudah lebih untuk menginsafkan semua pihak terutamanya pihak pemerintah negeri Kelantan sendiri bahawa tahun ke-24 sudah semakin melampau jika dibiarkan keadaan ini berlanjutan. Jangkamasa 23 tahun juga sudah lebih untuk menginsafkan pihak pemerintah negara bahawa rakyat Kelantan pun berhak diberikan apa yang sepatutnya dinikmati seperti rakyat negeri-negeri lain juga.

Oleh itu, kedua-dua pihak harus memulakan langkah-langkah baru untuk tidak terus membiarkan rakyat Kelantan dinafikan hak mereka. Kedua-dua pihak harus mula bertemu dan berbincang secara serious sebelum rakyat Kelantan terus menerima akibat hanya disebabkan perbezaan politik. Rakyat Kelantan adalah rakyat Malaysia juga, sama dengan rakyat negeri-negeri lain yang sudah lama diberikan peluang menikmati hak-hak mereka.

Untuk langkah ini, saya secara peribadi ingin menyeru supaya pihak kepimpinan kerajaan negeri Kelantan terlebih dahulu memulakan perubahan sikap. YAB Menteri Besar negeri Kelantan harus mengepalai usaha kearah memperbaharui sikap pemimpin-pemimpin yang lain dalam hal ini. Rakyat negeri Kelantan pula harus menyambut baik dan menyokong di belakang. 

Tidak guna kita hidup dalam keadaan ini berpanjangan dan berterusan. Berbeza pendapat dalam soal politik tidak apa, tetapi kemajuan harus jangan disekat. Jika sekatan ini disebabkan Kelantan diperintah oleh PAS, maka kepimpinan negeri harus melepaskan sekatan ini dengan cara-cara yang memungkinkan sekatan ini dilepaskan. Ini boleh dicapai jika kerajaan negeri Kelantan mengutamakan kesejahteraan rakyatnya melebihi kepentingan politiknya.

Rakyat Kelantan majoritinya melayu. Rakyat Kelantan majoritinya bersaudara. Mereka tinggal sekampong dan ziarah menziarahi diantara satu sama lain terutamanya pada waktu ada kematian atau kenduri kahwin.

Oleh itu, baik pihak pemerintah pusat mahu pun negeri, janganlah lagi membiarkan rakyat Kelantan teraniaya berpanjangan. Mereka tidak punyai apa-apa sedangkan pemerintah kedua-dua pihak pusat dan negeri hidup selesa dan mewah dengan pelbagai kemudahan dari kerajaan yang mandatnya dari rakyat ini juga.

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas

No comments:

Post a Comment