Sunday 22 September 2013

Terbitan Khas

Komen-Komen Pilihan Dalam Facebook (siri 11)
PEMILIHAN UMNO: SIAPA PEMIMPIN PILIHAN SAYA?

Gendang pemilihan pemimpin UMNO Oktober ini telah dipalu. Daripada sekian ramai mereka yang bertanding, saya tertarik kepada beberapa calon. Antaranya ialah Datuk Mukhriz Mahathir bagi jawatan Naib Presiden, Khairy Jamaluddin bagi jawatan Ketua Pemuda, Datuk Suraya Yaacob bagi jawatan Naib Ketua Wanita, dan Datuk Nur Jazlan Mohamed serta Datuk Saifuddin Abdullah bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Mengapa begitu? Ini kerana saya melihat merekalah barisan pemimpin pelapis yang mempunyai keupayaan dan wawasan untuk membawa negara ke depan. Kenyataan ini tidak bermakna saya memperkecilkan keupayaan calon lain, tetapi saya menegaskan calon-calon inilah yang membuatkan saya teruja untuk mengikuti pemilihan UMNO kali ini.

Bayangkan betapa hambarnya pemilihan Naib Presiden UMNO jika Datuk Mukhriz tidak bertanding? Apakah yang baru yang boleh ditawarkan oleh UMNO tanpa adanya calon muka baru yang bertanding? Apakah perubahan yang boleh diharapkan dari UMNO jika sekadar muka lama sahaja yang bertanding? Oleh sebab itulah saya teruja untuk mengikuti pemilihan UMNO kali ini apabila Datuk Mukhriz turut memasuki gelanggang untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan saya kerana melihat Datuk Mukhriz sebagai jelmaan bapanya Tun Mahathir. Saya tegas menyatakan ini adalah tanggapan yang tidak adil pada Datuk Mukhriz. Jika pun beliau masih dibayangi oleh ayahnya, saya fikir beliau tetap memahami aspirasi rakyat terkini. Oleh sebab itulah saya mahu sekali melihat ahli UMNO menerima pencalonan beliau sebagai pemimpin pelapis parti itu dan sekiranya UMNO terus berkuasa di negara ini, untuk melihat Datuk Mukhriz menjadi pemimpin negara seterusnya.

Yang saya harapkan untuk turut juga bertanding di jawatan Naib Presiden ialah Datuk Nur Jazlan Mohamed, tetapi tanggapan saya salah. Dalam pemilihan UMNO tahun 2008, beliau membuat kejutan apabila mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, tetapi kemudiannya terpaksa menarik diri kerana tidak cukup pencalonan. Tetapi kali ini, tanpa ada lagi sistem kuota, saya berharap sekali beliau menawarkan diri untuk bertanding di jawatan Naib Presiden, tetapi kemudiannya hanya mengisi borang untuk bertanding sebagai ahli Majlis Tertinggi sahaja.

Apapun jawatan yang ditandingi Datuk Jazlan, saya beharap beliau dipilih oleh seramai 150,000 perwakilan kali ini. Sebagai seorang akauntan, beliau mempunyai idea baru untuk membawa perubahan kepada UMNO. Rugi rasanya untuk negara jika pemimpin seperti Datuk Nur Jazlan diketepikan kerana untuk terus bertahan, UMNO perlukan pemimpin yang mempunyai jiwa dan roh pemimpin yang dapat memahami tuntutan dan keperluan semasa rakyat dan negara.

Seorang lagi calon yang bertanding ialah Datuk Saifuddin Abdullah yang mempertahankan jawatannya di Majlis Tertinggi. Berkelulusan dari Universiti Malaya, saya melihat beliau berkeupayaan untuk meremajakan parti itu dengan menarik minat anak muda kepada UMNO. Gaya politiknya yang menerima perbezaan pendapat dan sederhana dalam banyak hal sepatutnya didokong oleh para perwakilan kerana sikap politik seperti inilah yang diperlukan oleh UMNO untuk kekal relevan dalam arus politik negara seterusnya.

Begitu juga dengan YB Khairy Jamaludin, Menteri Belia dan Sukan kita. Berkelulusan Politik dan Falsafah dari Universiti Oxford, saya melihat beliau sebagai pemimpin muda yang dinamik, enegertik dan mempunyai idea yang segar. Seorang kawan memberitahu saya YB Khairy tidak sesuai menjadi pemimpin pelapis kerana semangat Melayunya yang kurang disebabkan sikapnya yang liberal. Tetapi saya berhujah sebaliknya; sikap liberal Khairy itulah kelebihan kerana ini menunjukkan beliau telah menonjolkan imejnya bukan sahaja sebagai pemimpin UMNO semata, tetapi juga sebagai pemimpin nasional.

Bagi Wanita pula, saya teruja dengan tindakan Datuk Suraya Yaacob menawarkan diri sebagai calon Naib Ketua Wanita. Mengikuti perkembangan politik Wanita UMNO setakat ini, saya melihat beliau sebagai seorang pemimpin yang mendekati rakyat. Berkelulusan dalam bidang undang-undang, saya melihat Datuk Suraya sebagai seorang yang aktif melaporkan aktiviti hariannya bersama rakyat melalui facebook beliau. Sikap beliau menunjukkan tahap kepekaannya yang tinggi kepada isu-isu masyarakat dan negara. Oleh itu saya lega apabila beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita kerana beliau adalah antara pemimpin yang saya harap memainkan peranan untuk memacu Malaysia ke depan.

Bagi saya, melihat politik Malaysia ke depan, nama-nama yang saya sebutkan ini adalah antara barisan pemimpin UMNO yang dapat menyaingi kehebatan barisan pemimpin pembangkang seperti YB Nurul Izzah Anwar, YB Rafizi Ramli—kedua-duanya dari PKR, Salahuddin Ayub dari PAS dan Tony Pua, Anthony Loke dan Lim Guan Eng dari DAP.

Jikalah saya mempunyai kelayakan untuk mengundi, saya pasti akan mengundi pemimpin ini. Jikalah juga saya mempunyai upaya membuat keputusan, saya ingin sekali melihat kesemua pemimpin pelapis Malaysia yang hebat ini—sama ada dari UMNO atau pembangkang bersatu di kemudian hari untuk membangunkan negara ini. Mungkinkah!

No comments:

Post a Comment