Thursday 26 September 2013

Terbitan Khas

Komen-Komen Pilihan Dalam Facebook (siri 13)
PETAKAKAH NEGARA KITA DENGAN LAWATAN OBAMA?

Kelmarin, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Saudara Mohd Azmi Abdul Hamid menulis membantah keras kedatangan Presiden AS, Barack Obama ke Malaysia pada 11 Oktober 2013 kerana menganggap kehadiran beliau sebagai ‘suatu malapetaka’ buat Malaysia.

Ini kerana beliau melihat AS sebagai kuasa imperialis Barat yang mendominasi seluruh dunia—dari menguasai Majlis Keselamatan PBB, Majlis Hak Asasi Manusia PBB, IMF, Bank Dunia, WTO, G8, APEC sehingga strategi menjatuhkan atau menaikkan seseorang pemimpin atau kerajaan. Beliau juga melihat AS sebagai bertanggungjawab ke atas kematian jutaan orang Islam di Iraq, Pakistan, Afghanistan, Libya, Mesir dan Syria dan menggelarkan AS sebagai ‘negara samseng’.

Dalam konteks Malaysia, Azmi memarahi AS kerana memerangkap Malaysia dengan TPPA yang baginya “adalah satu lagi hegemoni ekonomi AS yang mahu mengikat negara-negara dan berusaha mendominasi pasaran dunia.”

Persoalannya, wajarkah kita menyokong gesaan Presiden MAPIM ini? Saya sendiri 'benci' dengan AS kerana mempunyai pengalaman yang buruk setiap kali ke negara ini. Pada tahun 2000, saya singgah di New York dalam perjalanan ke Montreal. Saya ditahan kerana mempunyai visa tanpa ‘pengecualian’. Maksudnya, saya boleh masuk AS, tetapi perlu dikuarantin dahulu untuk siasatan lanjut selama dua jam, barulah dibenarkan memasuki negara itu.

Tujuh tahun kemudian saya singgah sekali lagi di negara ini (Los Angeles) dalam perjalanan ke Mexico. Sekali lagi saya ditahan dan melalui pengalaman yang sama. Peritnya Allah sahaja yang tahu. Tetapi, apakah dengan pengalaman ini saya perlu menganggap kedatangan Obama sebagai malapetaka buat Malaysia?

Saya tidak menganggap sedemikian kerana mengetahui itulah sistem yang dipakai di negara tersebut. Jika pun saya marahkan AS, ia adalah berkaitan dengan dasar luarnya yang mencengkam negara kecil dan terlalu masuk campur dalam urusan negara-negara Islam di Timur Tengah. Namun, setelah memikirkannya semula, saya tertanya bila pula masanya AS menentang Islam? Sepengamatan saya, AS tidak menentang Islam tetapi yang berlaku ialah orang Islamlah yang bercakaran sesama sendiri seperti yang berlaku di Iran, Iraq, Mesir, Libya, Syria, Lebanon, Afganistan dan Pakistan.

Jadi, apa kaitannya kedatangan Presiden AS ke negara kita sehingga mampu membawa ‘malapetaka’? Saya tidak faham dakwaan Presiden MAPIM ini. Bagi saya, apapun dosa AS kepada kita dan dunia, AS tetap ada jasanya. Tanpa AS dan negara sekutunya Israel yang kita benci, belum tentu kita boleh tengok internet, facebook dan menggunakan laptop yang kita kendong saban hari.

Tanpa kilang dari AS di negara ini, tentunya sukar bagi rakyat kita mencari rezeki. Kita perlu tahu betapa banyaknya syarikat dari AS seperti AMD, HP, Intel, WD , Dell , KFC, Starbuk, Levi’s, NS ,CISCO dan lainnya yang bertapak di Malaysia dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat kita. Bayangkan berapa banyak rakyat kita akan menganggur tanpa syarikat ini, apatah lagi syarikat tempatan yang bergantung pada syarikat AS ini?

Satu lagi yang ditentang oleh Presiden MAPIM dengan AS ini ialah TPPA kerana melihatnya sebagai ‘racun berbisa’ kepada kehidupan rakyat. Saya sudah dua kali menulis tentang TPPA dan menjelaskan TPPA baik untuk perdagangan antarabangsa negara, namun ia menimbulkan kerisauan rakyat. Saya sudah meminta kerajaan mencari mekanisme untuk menyakinkan rakyat bahawa TPPA tidak akan memberi kesan negatif kepada mereka dari segi mencabar kedaulatan negara, menyekat peluang pekerjaan, merugikan IKS, meningkatkan kos perubatan dan kos-kos yang lain. Tetapi MITI gagal menjawab kerisauan rakyat menyebabkan rakyat menentang TPPA.

Jadi, kalau kita hendak marahkan AS pun, janganlah mengambil tindakan yang boleh merugikan negara. Ada aspek yang kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dalam beberapa hal, tetapi dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat, kita perlu sokong AS jika tindakannya baik dan menentangnya apabila melakukan tindakan yang tidak baik.

Sayangnya, lantaran perbezaan politik, kerja kita setiap hari ialah untuk mengulas semua isu mengikut perspektif politik kepartian. Ramai di antara kita yang bertuhankan parti dan pemimpin. Saya tidak mendokong konsep ini kerana yang penting pada saya ialah kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

Oleh sebab itulah, apabila saya melihat sesuatu yang tidak betul dilakukan oleh pemimpin dan parti politik saya menegurnya—bukan kerana soal saya BN atau PR, tetapi kerana saya mahu situasi diperbetulkan untuk kebaikan negara. Pendirian saya ini telah saya jelaskan berkali-kali, namun masih ramai yang belum bersedia menerima penjelasan saya.

Kembali kepada isu lawatan Obama, saya tidak nampak sebarang masalahnya. Gesaan MAPIM yang menganggap kedatangan Obama membawa malapetaka kepada negara kita adalah keterlaluan. Kita kena ingat adat resam dan budaya kita adalah meraikan tetamu, bukannya menyambut mereka dengan demonstrasi dan cacian.

Akhirnya, sebagai rakyat pesan saya cuma satu: Jangan ambil tindakan yang merugikan negara. Tidak perlulah kita menunjukkan sikap anti Amerika kita yang keterlaluan!!!

No comments:

Post a Comment