Wednesday 25 September 2013

Terbitan Khas

Komen-Komen Pilihan Dalam Facebook (siri 12)
Semalam saya menulis tentang lawatan Obama ke Malaysia. Dalam tulisan tersebut saya menimbulkan beberapa persoalan. Antaranya saya tidak bersetuju dengan kenyataan kedatangan Obama "sebagai satu malapetaka buat Malaysia." Saya juga menceritakan pengalaman buruk saya dengan imigresen Amerika dan tidak suka dengan negara itu. Pun begitu, saya katakan kita jangan hanya melihat AS dari sisi negatifnya sahaja, lihat juga dari sisi positifnya.

Lebih lanjut saya menyatakan jangan hanya menyatakan AS sebagai punca semata kepada kekecohan yang berlaku di negara-negara Islam. AS hanya mengambil kesempatan daripada kekecohan yang berlaku di negara Islam untuk campur tangan akibat dari sengketa sesama Islam di negara berkenaan. Inilah yang berlaku di semua negara yang saya nyatakan dalam tulisan.

Apabila saya menulis demikian ramai sahabat yang marahkan saya. Mulanya saya 'cool', biasa sahaja tanpa mengikuti komen-komen yang diberikan. Tetapi apabila ada komen sahabat yang menyentuh soal akidah, menyatakan saya mula anti Islamis dan seumpamanya, saya rasa 'terpanggil' untuk segera membalas hujah berkenaan.

Adakah betul saya anti kumpulan Islamis? Saya tidak anti kumpulan Islam. Tetapi yang saya lawan ialah mereka yang berselindung di sebalik nama Islam untuk mengukur akidah seseorang dan suka menghukum alim lebai seseorang. Saya melihat politik seperti ini politik silam yang tidak harus diulangi lagi.

Saya bersetuju dengan komen bahawa AS adalah negara samseng, negara jahat dan zalim. Saya sepakat dengan kenyataan tersebut tanpa ragu. Cumanya dalam konteks kehidupan bernegara, saya amat dengan tidak bersetuju dengan kenyataan kedatangan Obama membawa malapetaka.

Mengapa begitu? Inilah kesedaran dan fahaman politik yang cuba saya bawakan. Dalam apapun tindakan kita tentang politik, utamakan kepentingan negara bukannya kepentingan parti. Oleh sebab itulah, dalam komen balas saya, saya tanyakan persoalan ini: Apakah jika PR membawa Obama ke sini, maka kita juga akan anggap kedatangan Obama suatu malapetaka buat Malaysia? Jika Obama itu malapetaka, mengapa selepas tidak berpuas hati dalam pilihan raya yang lepas, kita menulis kepada Obama? Semudah itu sahaja hujah saya.

Saya hujahkan begini supaya kita konsisten dalam perjuangan. Jangan hanya AS dan Obama baik apabila ia memenuhi kepentingan politik kita dan sebaliknya apabila ia tidak membawa manfaat kepada politik kita. Sekadar itu pun, hujah saya, soal akidah dan lainnya dikaitkan. Itulah yang saya tentang, bukannya saya menentang perbezaan pendapat antara kita dan sesama kita.

Saya akui ada juga sahabat yang menganggap kedatangan Obama sebagai malapetaka atas andaian kedatangan beliau adalah untuk mendesak Malaysia menandatangani TPPA. Saya sudah menulis tentang TPPA sebanyak dua kali memberikan pandangan saya. Dalam hal TPPA, saya tidak melihat Obama boleh memaksa kita menandatangani TPPA secara 'shotgun signature' jika kita tidak mahu menandatanganinya. Maka saya tegaskan jika negara kita menandantangi TPPA, jangan salahkan Obama yang datang, tetapi salahkan pemimpin kita yang menandatanganinya.

Sahabat, jujur saya akui saya habiskan masa semalaman untuk menjawab balas komen sahabat. Itu adalah kali pertama saya lakukan sejak menulis dalam fb menjelang PRU ke-13 yang lepas. Saya menjawabnya di sela-sela waktu saya menyiapkan kertas kerja saya untuk pembentangan pada Sabtu ini.

Dalam komen sahabat kepada tulisan saya dan komen balas saya, mungkin ada kekasaran. Jika itu yang berlaku dan saya menyinggung hati kawan-kawan, maaf saya pohon. Begitupun, dari segi hujah, saya kekal mempertahankannya.

Jam 5 petang ini saya sekali lagi bertolak ke seberang laut. Saya balik pada awal minggu depan dengan posting yang lain pula. Sehingga itu, saya mohon doanya.

No comments:

Post a Comment