Tuesday 24 September 2013

Terbitan Khas

Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Puteh (siri 21)
Makluman Khas:

Ramai yang mula mempersoalkan tentang mengapa saya memberikan sokongan terbuka saya kepada YBhg Datuk Hj Kamaruddin Md Nor bukan kepada YB Cikgu Zawawi Othman padahal saya telah menyebelahi YB Cikgu Zawawi pada masa YB Cikgu Zawawi menentang YBhg Datuk Hj Kamaruddin pada pemilihan tahun 2008 dahulu.

Banyaklah komen-komen di dalam Facebook tentang saya sehari dua ini. Ada yang memberikan komen secara bijak tetapi ada juga secara tidak dan negatif. Ada yang berkata bahawa sudah tentu saya mempunyai sebab-sebab yang tersendiri dan ada juga yang menuduh saya 'makan upah'.

Isu saya berpaling menyokong YBhg Datuk Hj Kamaruddin dan menentang YB Cikgu Zawawi sememangnya menarik perhatian ramai orang. Ada yang hairan mengapa saya mengambil sikap menentang YB Cikgu Zawawi sedangkan beliau telah menang dalam pilihanraya umum baru-baru ini.

Sebenarnya kemenangan YB Cikgu Zawawi baru-baru ini itu tiada kena mengena dengan perubahan sikap saya ini. Beliau menang sebagai calon BN dan diberikan amanah oleh rakyat Semerak sebagai wakil rakyat untuk rakyat Semerak termasuk juga saya. Tugas dan tanggungjawab beliau sudah tentulah berlainan dengan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh. Semua pengundi yang mengundi beliau itu bukan semata-mata hendakkan beliau tetapi hendakkan BN. Dalam kata lain, kalaulah orang lain yang menjadi calon BN dalam pilihanraya itu baru-baru ini, pengundi yang menyokong BN tetap juga mengundi orang lain itu juga.

Sekarang adalah musim pemilihan dalam parti pula. Menyokong sesiapa yang akan bertanding adalah sesuatu yang harus dianggap biasa kerana semua orang bebas menyokong sesiapa sahaja yang diingini. Tiada sesiapa pun boleh menyekat mana-mana orang yang hendak menyokong sesiapa kerana perlembagaan parti itu sendiri pun membenarkan pertandingan. Apabila ini berlaku, sudah tentulah kempen pun diharuskan. Kempen pula sudah tentulah dijalankan dengan berbagai-bagai cara. Ada yang berkempen secara mulut ke mulut, ada secara telefon, ada secara perjumpaan dan banyaklah sekarang melalui Facebook atau pun Blog disebabkan kemajuan teknologi maklumat.

Tentang mengapa saya berpaling yang menjadi isu yang agak hangat di Pasir Puteh sekarang, berikut ialah ulasan ringkas saya untuk makluman semua:

Sebenarnya saya telah lama dan awal-awal dari dahulu lagi menasihatkan YB Cikgu Zawawi supaya segera mengambil langkah-langkah perlu untuk berbaik-baik semula dengan YBhg Datuk Hj Kamaruddin selepas sahaja pemilihan tahun 2008 itu. Saya katakan kepada beliau bahawa perpecahan dalaman parti berlaku sebaik sahaja berlakunya pertandingan di peringkat Ketua.

Beliau tidak menolak cadangan saya itu namun usaha ke arah itu tidak dilakukannya. Puas menasihatkannya secara 'verbal', saya telah hasilkan pula cadangan saya ini didalam bentuk artikel yang telah saya muat dan terbitkan di dalam blog saya. Artikel berkenaan itu bertajuk "MyDiary" dengan tajuk kecil "Perpaduan Parti UMNO Pasir Puteh" bertarikh 22hb Julai 2012. Artikel ini boleh dirujuk di dalam blog saya di http://wanmalekwannoh-abelekrm.blogspot.com.

Apabila nasihat saya yang berulang kali ini tidak diendahkan, maka saya pun berfikir bahawa mungkin YB Cikgu Zawawi ingin melihat contoh bagaimana hendak berbaik semula sepertimana yang saya maksudkan itu. Saya pun carilah jalan untuk berbaik semula dengan YBhg Datuk Hj Kamaruddin. Usaha ini bukan mudah untuk saya lakukan kerana penentangan saya terhadapnya dulu pada tahun 2008 sangat serious apabila sejumlah tujuh artikel yang telah saya cetak dan sebarkan berturut-turut secara terbuka kepada perwakilan itu dianggap sebagai salah satu daripada sebab beliau kalah ditangan YB Cikgu Zawawi. Sebahagian isi kandungannya adalah datangnya dari YB Cikgu Zawawi sendiri. Tahap keberkesanan artikel-artikel saya itu telah hampir menyebabkan saya disaman oleh YBhg Datuk Hj Kamaruddin tetapi beliau menarik balik hasratnya itu atas nasihat oleh kawan-kawannya kerana tiada satu pun daripada artikel-artikel saya itu yang menyentuh peribadi atau berbentuk fitnah terhadapnya. Semua yang ditulis itu hanyalah krtikan-kritikan saya terhadap kepimpinannya sahaja, bukan terhadap dirinya secara peribadi.

Usaha ini pun gagal memberikan contoh kepada YB Cikgu Zawawi. Disebabkan inilah, maka sekarang saya terpaksa mengambil langkah menyokong YBhg Datuk Hj Kamaruddin pula dan menentangnya.

Bukan soal 'makan upah' kerana saya bukan mencari makan untuk menyara keluarga dengan cara ini dan percayalah, jika YB Cikgu Zawawi telah berbaik-baik semula dengan YBhg Datuk Hj Kamaruddin, pertandingan di peringkat jawatan Ketua tidak akan berlaku.

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
Penganalisis dan Pengkritik Bebas 





No comments:

Post a Comment