Monday 27 June 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (29)
Semalam saya hadir di majlis ceramah anjuran UMNO Cawangan Air Tawar DUN Kota Putera Besut bersama dengan Cikgu Azmi. Penceramah-penceramah jemputan ialah Ustaz Saidi dari UMNO Bahagian Pasir Puteh dan Sdr. Hj. Ruslan Kasim Lawyer dari KL.
Cuaca kebetulan tidak baik dengan hujan yang tidak berhenti dan bekalan elektrik terputus buat seketika. Walau macam mana pun, kehadiran orang ramai agak baik juga kerana 2 biji khemah dipasang. Jika bukan kerana hujan sudah tentu jumlahnya lebih ramai.
Kami sampai agak lewat sedikit dan hanya sempat mendengar syarahan Hj Ruslan sahaja. Itu pun separuh sahaja. Kami sempat mendengar ulasan beliau tentang perpaduan orang-orang melayu serta hal-hal yang ada kaitan dengan perhimpunan ‘Bersih 2.0’ yang akan diadakan pada 9hb Julai 2011. 
Beliau telah mengulas siapa sebenarnya Datuk Ambiga beserta dengan latar belakangnya. Beliau menyentuh juga mengenai topik ‘ketuanan melayu’ dengan menjelaskan bahawa perjuangan yang dibawa oleh UMNOlah yang betul bukan sepertimana yang ingin dibawa oleh PR. Beliau telah berjaya membuatkan pendengar faham dengan jelas tentang persoalan-persoalan penting ini. Fakta-fakta, contoh-contoh dan kiasan-kiasan yang dibawanya secara spontan amat jelas dan mudah difahami.
Sebagai seorang sahabat yang telah lama mengenali beliau, saya sentiasa menasihati beliau supaya jangan sekali-kali menyentuh peribadi mana-mana pemimpin parti pembangkang dalam ceramahnya. Saya juga mengingatkan beliau supaya sentiasa berceramah secara sopan dengan tidak menggunakan sebarang perkataan-perkataan kasar dan melampau. Ini adalah bagi menjaga nama baik beliau sebagai orang yang mempunyai latar belakang pengajian agama selain daripada tidak membuatkan pendengar merasa jemu sepanjang ceramah.   AlhamdulilLah, setakat ini beliau masih tidak dikategorikan sebagai penceramah ‘celupar’.
Saya membawa pembaca ke arah ini kerana saya menganggap majlis ceramah bukan sebagai pentas melepaskan geram peribadi dengan kata-kata kasar dan kesat terhadap mana-mana individu. Bagi saya, sesuatu ceramah hendaklah dimanfaatkan dengan pengisian maklumat-maklumat perlu serta ilmu-ilmu yang sewajarnya. Maklumat atau penerangan hendaklah disampaikankan dengan teratur dan licin beserta dengan bukti-bukti yang jelas secara matang dan professional.
Saya katakan ‘professional’ kerana pada masa ini orang ramai sudah memiliki kemampuan memahami sesuatu isu dengan mendalam. Pada masa ini, orang ramai sudah pun mengetahui tentang kebanyakan isu-isu yang timbul melalui media-media moden dan canggih seperti internet dan sebagainya. Dengan kerana itu, apabila sesuatu isu itu hendak disampaikan didalam ceramah, maka penceramah berkenaan hendaklah orang yang betul-betul berpengetahuan tinggi dan mempunyai kemampuan untuk memperjelaskan lagi isu itu secara lebih mendalam. 
Saya melihat Sdr Hj Ruslan mempunyai kemampuan itu tetapi saya tidak boleh memberikan sebarang pandangan terhadap Ustaz Saidi kerana saya belum pernah mengikuti ceramahnya.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
26 Jun 2011 Semerak

No comments:

Post a Comment