Monday 13 June 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK  (23)
Kekalahan bolasepak pasukan Kelantan masih menjadi tajuk hangat perbualan orang ramai.  Dalam suasana demam kekalahan ini, orang ramai tidak berminat membincangkan apa-apa yang lain selain daripada mengharapkan supaya pasukan Kelantan mampu menebus kekalahan itu dengan menjuarai Liga Super dan juga Piala Malaysia.
Perlawanan bolasepak adalah sukan yang paling diminati oleh semua orang. Setiap kali musimnya tiba, sukan ini menyatukan semua orang. Latar belakang politik serta etnik seseorang sudah tidak lagi diambilkira. Suasana ini dapat disaksikan dengan jelas apabila penayangan siaran langsung menggunakan skrin besar dihadiri dan ditontoni oleh segenap lapisan masyarakat. Fahaman politik kepartian serta perbezaan kaum tidak lagi dijadikan penghalang untuk sama-sama bergaul mesra. Ini semua sebenarnya bergantung kepada sikap penganjur sesuatu program itu sendiri dan juga sikap mereka yang hadir.
Alangkah baiknya jika budaya ini dapat diteruskan dalam apa jua aktiviti lain yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat. Biarkanlah kedai-kedai kopi dengan pelanggan-pelanggan harian masing-masing tetapi mereka masih boleh bercampur dengan mesra di arena lain. Selain daripada program penayangan siaran langsung di skrin besar seperti yang telah dianjurkan oleh Kapt (B) Wan Marzudi JP baru-baru ini, terdapat satu lagi program yang boleh melibatkan penyertaan segenap lapisan masyarakat secara berkesan iaitu program bersama dengan pihak keselamatan iaitu PDRM. Badan ini mampu juga ‘menyatukan’ mereka kerana program yang dianjurkan tidak mempunyai unsur-unsur politik atau agama kecuali keselamatan dan kesejahteraan orang ramai. Saya cadangkan program ‘wayang pacak’ pula dianjurkan bersama oleh Kapt (B) Wan Marzudi JP dengan kerjasama PDRM Cherang Ruku dan Pasir Puteh. Untuk selingan program, bolehlah diadakan acara penyampaian sumbangan atau acara cabutan bertuah serta bunga api selain daripada ucapan Tuan OCS atau Tuan OCPD.
Saya yakin Kapt (B) Wan Marzudi JP akan cuba memikirkan sesuatu dalam hubungan ini. Penglibatan para penyokong kedua-dua parti harus dipergiatkan lagi dari masa kesemasa demi perpaduan yang menjadi teras kemajuan negara.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
13 Jun 2011 Semerak

No comments:

Post a Comment