Wednesday 1 June 2011

NAK MENANG ATAU KALAH


NAK MENANG ATAU KALAH PILIHANRAYA?... Satu Persoalan

Assalamualaikum,

Saya sudah agak lama tidak menulis. Selepas pemilihan Bahagian yang lalu, sejak itulah saya telah tidak menulis sebarang artikel sehinggalah pada hari ini apabila saya merasa bertanggungjawab untuk menulis semula. Setiap kali saya menulis, saya akan sentiasa memulakan dengan peringatan kepada para pembaca bahawa semua yang ditulis adalah semata-mata pendapat peribadi saya sepenuhnya selaku seorang ahli UMNO biasa diperingkat akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik atau matlamat peribadi kecuali mahukan supaya BN menang dalam setiap pilihanraya sahaja.

UMNO Pasir Puteh mendapat Ketuanya yang baru pada 8hb November 2008. Sudah tentulah Ketua yang baru ini akan membawa UMNO Bahagian Pasir Puteh dengan cara dan stail kepimpinannya yang tersendiri yang sudah tentu jugalah berlainan coraknya berbanding dengan Ketua Bahagian yang terdahulu.

Apabila beliau menang, ramai yang menjangkakan bahawa kepimpinannya sudah tentu lebih baik dan lebih berkesan malahan ada yang sudah awal-awal lagi sanggup mengatakan bahawa UMNO Pasir Puteh kali ini akan menjadi ‘Bahagian Contoh’ dalam negeri Kelantan. Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘contoh’ itu kerana tafsirannya sudah tentulah berbeza-beza. Bagi mereka yang telah menyokong Ketua yang menang itu sudah tentulah semuanya baik tetapi sudah tentulah juga sebaliknya bagi mereka yang lain.

Orang ramai tidak mementingkan gaya kepimpinan seseorang Ketua Bahagian kerana mereka tahu bahawa sudah tentulah gaya kepimpinannya berubah apabila Ketua Bahagian bertukar tangan. Apa yang mereka pentingkan ialah bagaimana seseorang Ketua Bahagian itu ingin mencapai kemenangan dalam pilihanraya. Itulah yang seharusnya dijadikan matlamat atau visi sebenar yang seharusnya diterjemahkan secara jelas melalui tindakan-tindakan dalam kepimpinannya. Itulah juga tugasnya yang paling besar sebagai pemimpin parti sepertimana yang termaktub didalam Perlembagaan parti.

Orang ramai ingin melihat setiap program yang dirancang dan dilaksanakan menuju kearah memenangi pihihanraya. Program yang dirancang hendaklah didalam bentuk yang boleh dirasai kesannya oleh semua peringkat masyarakat kerana apabila kita bercakap tentang pilihanraya, ianya melibatkan bukan sahaja ahli-ahli UMNO tetapi juga semua pengundi-pengundi di dalam satu-satu Bahagian. Ahli-ahli UMNO sahaja sudah tentu tidak boleh menjamin kemenangan BN.

Sayang seribu kali sayang, Ketua Bahagian sekarang nampaknya hanya berminat untuk menjadi pemimpin UMNO Bahagian sahaja. Awal-awal lagi beliau seringkali membuat kenyataan demi kenyataan dalam ucapannya dibeberapa majlis perasmian bahawa beliau adalah Ketua Bahagian  UMNO untuk orang-orang UMNO sahaja, bukan pemimpin untuk semua orang. Beliau seringkali melemparkan saranan supaya orang ramai berjumpa dengan wakil rakyat jika mereka mempunyai apa-apa masalah. Sebab itulah beliau awal-awal lagi menggunakan kuasa dan pengaruhnya dalam usaha untuk menentukan supaya segala peruntukan daripada kerajaan pusat tidak sampai kepada orang-orang PAS seperti baja subsidi atau seumpamanya. Begitu jugalah peruntukan-peruntukan projek seperti jalan atau jambatan. Dimana masyarakat disitu majoritinya orang-orang PAS, beliau akan pastikan apa sahaja keperluan tidak akan dipertimbangkan. Sebagai contoh, terdapat satu keperluan kritikal di Kg Permatang Rambai terhadap sebuah jambatan baru untuk menggantikan jambatan lama yang runtuh sejak dua tahun lalu yang telah tidak diberikannya perhatian dan pertimbangan dengan alasan bahawa peti undi di situ adalah peti undi dimana BN kalah dalam pilihanraya yang lalu. Memanglah dari satu sudut ada baiknya juga dasar mengagihkan sesuatu projek kepada kawasan-kawasan dimana peti undinya menang dalam pilihanraya yang lalu diamalkan sebagai galakan supaya ahli-ahli UMNO di peti-peti undi yang kalah bekerja dengan lebih kuat tetapi saya berpendapat dasar kepimpinan yang dibawanya ini belum tentu dapat menjamin kemenangan BN. Ini adalah kerana orang-orang UMNO sendiri di peti-peti undi yang kalah akan menjadi semakin bertambah jumlahnya yang marah. Akibatnya jumlah undi protes akan bertambah dalam pilihanraya yang akan datang dan ini memburukkan lagi keadaan.

Saya melihat pendekatan yang diambilnya tidaklah begitu baik dalam konteks memenangi pilihanraya. Ianya menampakkan sikap menghadkan tugas Ketua Bahagiannya hanya untuk ahli-ahli UMNO sahaja. Ini sudah tentulah tidak akan menguntungkan parti kerana setiap program yang direncana dan dilaksanakan adalah hanya untuk ahli-ahli UMNO sahaja. Sikap ‘outreach’ tidak diamalkan langsung oleh Ketua Bahagian sepertimana yang sentiasa diamalkan oleh pemimpin-pemimpin parti PAS secara konsisten selama ini. Saya tidak pasti samada beliau tidak mampu atau pun sengaja tidak mahu melaksanakan tugas seperti itu disebabkan sesuatu yang tidak dapat saya jelaskan.

Sekarang saya ingin mengambil contoh-contoh yang kecil pula dalam soal ini tetapi kesannya amat mendalam. Jikalau terdapat orang-orang UMNO yang sakit atau meninggal dunia, pemimpin-pemimpin PAS segera malahan ada yang tergesa-gesa datang menziarahi mereka sedangkan pemimpin-pemimpin UMNO tidak langsung datang-datang walaupun beberapa kali dimaklumkan.

Satu lagi contoh, pada 13hb Sept 2009 baru-baru ini seorang wakil rakyat PAS pergi ke Kuala Lumpur hanya semata-mata untuk berjumpa sambil berbuka puasa dengan orang-orang yang berasal dari kawasannya di Kelantan yang berjumlah seramai lebih kurang 200 orang yang kebanyakannya adalah orang-orang UMNO. Ini menunjukkan bahawa YB berkenaan selaku seorang pemimpin partinya sentiasa berusaha pada setiap masa secara pro-aktif melakukan pelbagai usaha persediaan untuk tujuan memenangi pilihanraya bagi partinya. Ini jauh berbeza dengan pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian yang tidak mampu merangka dan melakukan apa-apa usaha kecuali asyik bermegah dengan jawatan tinggi parti yang dimenangi masing-masing yang kemudiannya disusuli dengan kemewahan yang diperolehi selepas itu. Mereka dilihat tidak langsung berminat untuk menggabungkan tenaga dan berusaha keras kearah memenangi pilihanraya sedangkan pihak lawan mampu melakukan pelbagai aktiviti rangsangan dari masa ke semasa.

UMNO Pasir Puteh pada hakikatnya semakin hari semakin berpecah terutama selepas pemilihan pada 8hb Nov 2008 yang lalu. Tidak pernah dilihat apa-apa usaha dibuat selepas itu untuk menyatukan semula ahli-ahli UMNO disemua peringkat secara serius. Ahli-ahli dibiarkan begitu sahaja dengan kem masing-masing. Contohnya, pada 14hb Sept 2009 satu majlis berbuka puasa telah diadakan di DUN Selising yang dihadiri oleh beberapa orang bekas pemimpin UMNO Bahagian termasuk beberapa orang tokoh-tokoh tertentu yang pernah tewas didalam pemilihan yang lalu tetapi tidak dihadiri oleh pemimpin-pemimpin yang telah menang. Ini jelas menunjukkan bahawa suasana perpecahan sememangnya wujud dan sedang melebar. Walaupun majlis seperti ini boleh dilakukan oleh sesiapa pun secara bebas tetapi apabila kumpulan tertentu sahaja yang hadir terutama mereka yang telah tewas dalam pemilihan yang lalu, ianya sudah tentu membawa erti bahawa kumpulan ini sedang berusaha untuk memperkukuhkan semula sokongan ahli-ahli keatas mereka kerana mereka sedang merancang untuk bertanding lagi dan mengambil alih semula kepimpinan Bahagian dalam pemilihan yang akan datang. Inilah yang mereka sedang lakukan buat pada masa ini iaitu masing-masing sentiasa ingin mencari kedudukan didalam parti bukannya berfikir macam mana nak pastikan supaya parti menang dalam pilihanraya.

Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Bagi saya seorang Ketua Bahagian adalah orang yang paling sewajarnya dipertanggungjawabkan untuk memastikan supaya perpecahan dalam parti dihapuskan atau dikurangkan. Usaha inilah yang sepatutnya dijadikan agenda yang paling awal dan paling utama selepas sahaja beliau memenangi jawatan Ketua Bahagian tetapi sampai sekarang perpecahan dibiarkan melebar.

Bagaimana seorang Ketua Bahagian hendak menyatukan ahli-ahli di bawahnya jikalau beliau sendiri pun tidak pernah dilihat bekerjasama rapat dengan Timbalannya. Mengikut cerita, banyak keputusan yang dibuat oleh Ketua Bahagian tidak pun dibawa berbincang dengan sesiapa didalam Bahagian walaupun dengan Timbalannya sendiri. Kalau betullah seperti yang dipercakapkan, maknanya pilihanraya umum yang akan datang ini akan menyaksikan ulangan kekalahan teruk sekali lagi keatas BN di Pasir Puteh sepertimana dalam pilihanraya umum yang lepas.

Buat pada masa ini, jikalau dibuat tinjauan secara rambang dengan menanyakan sejauh manakah peluang BN memenangi pilihanraya di Pasir Puteh nanti, saya yakin 80% responden akan memberi jawapan bahawa peluangnya masih lagi tipis. Terakhir, seorang bekas wakil rakyat Parlimen dan juga DUN berkata bahawa UMNO sekarang bukanlah lagi seperti UMNO dahulu sedangkan PAS sekarang tidak banyak berubah. Apabila ditanya apakah yang dimaksudkannya itu, beliau menjawab bahawa UMNO sekarang tidak ‘semesra’ UMNO dahulu. Perkataan ‘mesra’ yang disebutkannya itu mungkin bertepatan dengan suasana yang dialami oleh rata-rata ahli UMNO sekarang. Mereka tidak lagi boleh merasai kemesraan hubungan dengan pucuk pimpinan parti diperingkat Bahagian. Pihak pimpinan parti sekarang tidak lagi nampak mahu memberikan masa untuk bersama dengan ahli-ahli diperingkat akar umbi. Apalagi jika nak harapkan mereka mendampingi kaum veteran untuk mendapatkan nasihat dan pandangan. Mereka dilihat sentiasa sibuk dengan hal-hal peribadi seperti urusan perniagaan sehingga tiada lagi masa untuk bergaul mesra dengan mereka. Mereka sentiasa memberikan alasan bahawa mereka perlu mencari peruntukan yang diperlukan oleh parti yang mereka maksudkan untuk ahli-ahli UMNO juga. Itulah biasanya alasan yang diberikan seoah-olah zaman sekarang ‘Tiada Wang Tiadalah UMNO’. Gejala ini sememangnya menjadi sesuatu yang pucuk pimpinan parti diperingkat pusat pun masih tidak boleh mengawalnya dengan berkesan dan masih lagi sedang berusaha mencari-cari jalan membendungnya termasuklah mengadakan usul meminda Perlembagaan parti.

Saya tidak ada jalan lain untuk melahirkan pendapat peribadi saya ini melainkan dengan cara menghasilkan artikel seperti ini. Mudah-mudahan ianya menjadi tatapan dan renungan ahli-ahli UMNO disemua peringkat kepimpinan termasuk pucuk kepimpinan pusat dan negeri. Mudah-mudahan dengan itu ianya sedikit sebanyak boleh membantu usaha kearah mengukuhkan semula parti demi memenangi pilihanraya yang akan datang.

Sekian sahaja, Wassalamualaikum.



………………………………………………….
Wan Ab Malek Bin Wan Noh                             Bertarikh:  27 Sept 2009
No. Ahli UMNO 03924693                                                8 Syawal 1430H
Cawangan Kg Gelam, Pasir Puteh, Kelantan.
Tel. 019-937 5226
E-mail : wanmalekwannoh@yahoo.com

No comments:

Post a Comment