Wednesday 15 June 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (24)
Pada hari ini dalam Sinar Harian edisi Kelantan ruangan Pasir Puteh telah keluar berita bergambar Cikgu Azmi bersama pemuda-pemuda yang menerima bantuan jersi bola daripadanya dengan tajuk berita “Konsep Mementerikan Pasir Puteh Boleh Diterima”. Cikgu Azmi ialah Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Parlimen Pasir Puteh.
Cikgu Azmi dipetik sebagai berkata bahawa konsep tersebut adalah bagi memastikan ada wakil menteri dari jajahan ini suatu hari nanti. Semua ini akan terlaksana jika BN menang pru ke-13. Beliau berkata rakyat kena faham bahawa ia dilakukan demi rakyat semua (tak kira orang UMNO atau orang PAS) kerana jika ada menteri segalanya akan menjadi mudah bagi mereka tidak kira dari segi pembangunan mahupun kebajikan. Beliau menambah bahawa jika ada wakil menteri dari sini, pasti banyak kemudahan lain yang akan dapat diketengahkan.
Apa yang menarik perhatian saya ialah konsep ini telah digerakkan oleh beliau sendiri sejak beliau kembali bertugas sebagai Pengetua sebuah sekolah menengah di Pasir Puteh. Walaupun sibuk dengan tugas-tugas hakiki, beliau masih mampu membahagikan masa menunjukkan contoh-contoh tertentu iaitu kerja-kerja ‘turun padang’ ke seluruh daerah Pasir Puteh. Pada mulanya semua orang melihat beliau sebagai ‘kemaruk’ nak jadi wakil rakyat bahkan ada tohmahan dari beberapa orang pemimpin UMNO Bahagian sendiri bahawa beliau ‘gila’ nak jadi menteri tetapi Cikgu Azmi tidak pernah menghiraukan prasangka-prasangka sedemikian dan terus bergerak tanpa menoleh ke belakang.
Saya tidak menyalahkan pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian jika mereka mempunyai prasangka sedemikian. Ini adalah kerana budaya ‘turun padang’ dianggap wajar dilakukan hanya oleh wakil rakyat sahaja selama ini, tidak oleh mana-mana orang lain termasuk pemimpin Bahagian. Sebab itu usaha ‘turun padang’ telah lama tidak dibuat oleh sesiapa pun dari parti UMNO sejak BN kalah 5-0 dalam pru ke-12 yang lalu. Kalau dibuat pun hanyalah sekali sekala sahaja dan itu pun untuk mencari publisiti kerana hendak menjadi calon pilihanraya atau sekadar melepaskan batuk di tangga.
Saya telah awal-awal membuat cadangan secara bertulis kepada Ketua UMNO Bahagian pada awal tahun 2009 supaya semua peringkat pimpinan Bahagian mula bergerak ‘turun padang’ terutamanya ketiga-tiga pemimpin teratas parti iaitu Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua serta Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri tetapi cadangan saya itu tidak mendapat perhatian dan tindakan oleh sesiapa pun disebabkan saya bukan memegang jawatan penting parti.  Saya masih menyimpan salinan Kertas Cadangan saya yang berkaitan itu iaitu Kertas Cadangan 4 bertarikh 18 Feb 2009.
Sebab itulah apabila orang seperti Cikgu Azmi dilihat bergerak, ramai diantara mereka merasa ‘pelik’ atau pun ‘cemburu’. Padahal jika ramai yang bergerak bersama-sama sudah tentulah perkara seperti ini akan menjadi rutin dan biasa dan tidak timbul siapa yang nak jadi calon. Tengoklah parti PAS di Semerak dibawah YB Wan Hassan. Mereka bergerak bersama-sama tak kira masa dan tempat. Wakil rakyatnya bergerak dengan kerjasama penuh penghulu-penghulunya. Mereka bergerak dengan semangat berpasukan bantu membantu sesama mereka semata-mata demi parti tetapi orang-orang UMNO sebaliknya.  Saya dengar ketiga-tiga pemimpin teratas pun sejak dari dulu lagi tidak sehati sejiwa dan sehaluan sampai ke hari ini. Mereka dilihat bersama hanya dalam mesyuarat-mesyuarat Bahagian atau dalam program-program tertentu parti sahaja kerana terpaksa.
Mudah-mudahan pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian Pasir Puteh mengambil contoh Cikgu Azmi dan mengubah sikap mereka segera. PRU ke-13 sudah hampir. Janganlah terlalu jauh ketinggalan berbanding parti PAS.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
15 Jun 2011 Semerak

No comments:

Post a Comment