Friday 3 June 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (15)
Sudah lama saya tidak berjumpa dan berbual dengan bekas bos saya dulu iatu YBhg. Datuk Hj. Kamaruddin Md Nor, mantan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh dan juga mantan ADUN Semerak.
AlhamdulilLah, beliau akhirnya sudi berkunjung ke rumah saya sambil menjenguk mak saya yang uzur tua. Kami sempat berbual mesra sekejap. Beliau tidak berubah dari segi sikap. Sama seperti dahulu walaupun saya pernah menentang beliau habis-habisan sewaktu beliau ditentang oleh Cikgu Awi dan Cikgu Hashim pada 8 November 2008 untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh.
Sudah tentulah saya tidak akan mensia-siakan peluang berjumpa dengannya untuk meninjau pendapat dan pandangan peribadi beliau tentang keadaan dan suasana politik semasa di Pasir Puteh dari kacamatanya sebagai ‘orang di luar Bahagian’ sekarang.
Beliau telah menjawab kepada satu soalan saya secara bijak. Beliau berkata bahawa kalau pun seluruh ahli UMNO betul-betul ‘bersatu dan bergabung’ ianya belum tentu dapat memberi jaminan BN akan menang. Begitu juga parti PAS. Katanya, ini berpandukan kepada pengalamannya sebagai orang politik nombor satu di Pasir Puteh selama beberapa penggal. Yang betul-betul menentukan kalah menang seseorang calon ialah sikap pengundi-pengundi yang bukan mendaftar sebagai ahli mana-mana parti dan juga sikap pengundi-pengundi luar. Merekalah yang terbukti telah mempengaruhi keputusan undian setiap pilihanraya yang lepas-lepas.
Oleh hal demikian, ini bermakna bahawa selain daripada usaha-usaha menyatukan ahli-ahli, usaha yang lebih mencabar ialah bagaimana memikat kedua-dua golongan itu tadi. Kerja ini bukanlah mudah kerana pengundi-pengundi yang berada didalam golongan ‘floating’ ini sukar dikesan dan kalau pun dapat dikesan mereka tidak menunjukkan sebarang tanda atau isyarat yang jelas menyokong mana-mana pihak. Begitu juga golongan pengundi-pengundi luar. Mereka tidak ambil kisah tentang suasana politik di tempat mereka akan balik mengundi. Mereka tidak kisah juga siapa yang akan menjadi calon tetapi mereka membuat keputusan berpandukan kepada isu-isu nasional.
Itulah sedikit bahan penting yang sempat saya ambil dari Datuk Hj Kamaruddin atau AbeDin dalam kesempatan yang sebentar itu tetapi amat bernilai untuk dijadikan panduan bagi sesiapa yang ingin menjadi calon.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
3 Jun 2011 Semerak (jam 10.00 malam)

No comments:

Post a Comment