Wednesday 1 June 2011

KERTAS CADANGAN


KERTAS CADANGAN 4
CADANGAN DAN PANDANGAN UNTUK JAWATANKUASA DUN SEMERAK

Kepada :-
1)    Cikgu Zawawi Ketua Bahagian
2)   Tuan Hj Ismail Awang Pengerusi Penyelaras
3)   Tuan Hj Salleh Awang Kechik Timbalan Pengerusi Penyelaras
4)   Cikgu Hj Solah SU DUN
5)   Cikgu Hj Wan Hamid Pen SU DUN
6)   Cikgu Haron Pegawai Selidik DUN
7)   Ustaz Muhamad Dullah

GERAKERJA PILIHANRAYA

Fenomena politik kepartian telah berlalu kerana pemilihan Bahagian telah selesai. Kita sekarang sudah memasuki era pilihanraya pula kerana pemilihan seterusnya selepas ini sudah tentulah akan berlaku hanya selepas pilihanraya yang ke-13 nanti yang dijangka pada tahun 2012. Maknanya, episod kali ini ialah episod pilihanraya.

Walau pun pilihanraya lambat lagi, saya rasa gerakerjanya tidak harus ditangguhkan. Jika tidak, kerja-kerja akan menjadi tertunggak.

Apa pun, diantara isu-isu yang harus dilihat dan diberikan perhatian oleh semua pihak terutamanya pucuk pimpinan parti ialah mengenalpasti barisan bakal-bakal calon yang sesuai dan layak. Biasanya kita terdorong untuk menganggap bahawa hanya pihak atasan sahaja yang berhak tentukan apabila sampai masanya nanti. Itulah kebiasaannya sikap kita pada masa-masa yang lalu yang telah banyak kali menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan orang ramai.

Oleh itu, saya rasa kali ini kita patut ubah sikap kita kerana kita mahu lebih serius menghadapi lawan. Kita mahu hak dalam menentukan siapa yang akan menjadi calon dikembalikan kepada kita dalam ertikata yang sebenar kerana kitalah yang lebih mengetahui dan arif tentang hal ini sebagai anak tempatan.

Oleh itu, gerakerja kearah mengenalpasti barisan bakal-bakal calon untuk DUN Semerak harus dibuat mulai sekarang.
Buat masa ini, saya tidak berhasrat untuk melibatkan diri dalam hal atau pun urusan ini sehingga kepada peringkat menamakan sesiapa. Walau bagaimana pun, perkara nak jadi calon bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah. Kalau dahulu ada orang cuba tonjolkan dirinya awal-awal apabila musim pilihanraya tiba tetapi didapati hilang selepas itu apabila dia tidak mencapai cita-citanya itu. Keghairahan itu timbul disebabkan tiada siapa tahu siapa yang akan menjadi calon. Akibatnya, samaada orang ini akan berdiam diri kerana malu atau pun menentang parti secara sulit.

Saya melihat perkara ini dari beberapa sudut berpandukan pengalaman saya semasa berada di dalam UMNO dan juga PAS dahulu. Dari salah satu sudut, saya ingin mengambil contoh YB Wan Hassan. Beliau sebenarnya telah menetapkan matlamatnya untuk menjadi wakil rakyat sejak selepas Wan Fauzi kalah dalam pilihanraya kecil tahun 1997. Sejak dari hari itu, beliau sebanarnya telah mula mengorak langkah kearah matlamatnya itu walaupun sentiasa menafikannya setiap kali ditanya. Walau pun menyedari hakikat kekurangan diri beliau dalam akademik, beliau tetap meneruskan usaha-usaha mempersiapkan dirinya dengan sentiasa memperkukuhkan sokongan dikalangan ahli-ahli PAS dan juga orang ramai. Usahanya itu tidak pernah berhenti sejak 1997 dan pada hari ini beliau telah terbukti berjaya menyandang jawatan wakil rakyat walaupun lawannya seorang Ketua Bahagian dari UMNO apabila memenangi kerusi DUN dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu.

Walaupun tidak dinafikan bahawa kemenangan beliau ada juga disebabkan oleh suasana politik tanah air tetapi kita jangan lupa bahawa beliau sebenarnya telah lama berusaha. Faktor suasana adalah sesuatu yang bukan mutlak untuk dijadikan alasan. Sebaliknya faktor usaha yang bersungguh-sungguh secara konsisten adalah penyebab utama beliau mampu bersaing walau pun berdepan dengan seorang calon yang serba serbinya lebih dari beliau.

Dengan itu, saya memohon kepada Jawatankuasa supaya mempertimbangkan cadangan saya sepertimana di bawah :-

1)    Peringkat Pertama (12 bulan pertama) : Buka dan berikan peluang seluas-luasnya kepada mana-mana individu dikalangan Ahli-Ahli Jawatankuasa yang telah dilantik merebut peluang menjadi calon didalam pilihanraya umum nanti.

2)   Peringkat Kedua (12 bulan kedua) :- Kenalpasti siapa yang paling sesuai dan layak. Kaedahnya ialah dengan mengumpulkan sebanyak mungkin maklumbalas daripada orang ramai terutamanya dari Ketua-Ketua Cawangan.

3)   Peringkat Ketiga (12 bulan ketiga) :- Berikan peluang supaya orang yang telah dikenalpasti itu melakukan kerja-kerja latihan amali sebagai wakil rakyat.

4)   Peringkat Keempat :- (menjelang pilihanraya) :- Dedahkan dengan jelas dan terbuka kepada orang ramai bahawa calon pilihanraya adalah orang yang telah dikenalpasti itu.

Bentuk cadangan saya ini nampak agak bertentangan dengan amalan biasa parti tetapi saya yakin cara atau kaedah ini boleh memberikan faedah yang lebih besar untuk parti dan orang ramai kerana kaedah inilah juga yang telah digunapakai oleh YB Wan Hassan yang boleh dijadikan contoh.

Saya berpendapat bahawa orang-orang yang layak diberikan peluang sewajarnyalah mereka yang telah dilantik ke dalam AJK DUN.

Sekian.
Wassalam.


WM
18/2/09

No comments:

Post a Comment