Monday 13 June 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (22)
Hari ini isu kekalahan bolasepak Piala FA akhir pasukan Kelantan semalam menjadi tajuk yang paling digemari oleh hampir kesemua pengunjung-pengunjung kedai kopi di Semerak. Bermacam-macam ulasan dikemukakan oleh setiap orang tetapi kesemuanya tetap bersyukur kerana tiada sebarang kekecohan besar berlaku baik di dalam stadium semasa perlawanan berlangsung mahu pun di luar stadium selepas perlawanan tamat.
Perlawanan malam semalam telah menaikkan lagi semangat orang-orang Kelantan bukan sahaja mereka yang pergi ke Bukit Jalil tetapi semangat ini amat jelas juga dilihat di mana-mana sahaja bagi mereka yang menonton siaran langsungnya merusi kaca tv. Di Semerak contohnya, Kapt. (B) Wan Marzudi JP telah awal-awal merancang penayangan siaran ini dengan menggunakan skrin besar untuk orang ramai. Skrin ini dipasang di lorong masuk ke pasar Semerak dengan 200 buah kerusi disediakan selain daripada makan dan minum percuma.
Sayang sekali cuaca semalam agak tidak begitu baik dengan hujan renyai-renyai yang tidak reda menyebabkan orang ramai tidak keluar rumah. Walau bagaimana pun, program ini tetap diteruskan juga termasuk penyampaian hadiah-hadiah cabutan bertuah dan bola kepada pasukan-pasukan bolasepak dalam kawasan Semerak.
Tetamu khas malam semalam terdiri daripada YB Wan Hassan dan Tuan OCS Balai Polis Semerak selain daripada beberapa orang veteran UMNO bagi menyerikan suasana. YB Wan Hassan pada mulanya agak berkeberatan untuk hadir apabila dijemput kerana khuatir beliau akan disalahanggap sebagai ‘mengganggu’ program yang dianjurkan oleh seorang tokoh UMNO seperti Kapt (B) Wan Marzudi JP. Saya dan Kapt Wan telah memberitahunya bahawa majlis itu bukanlah majlis politik tetapi sekadar penyediaan kemudahan kepada orang ramai menikmati siaran secara beramai-ramai dan secara santai. Belau telah hadir dan diberikan penghormatan oleh Kapt Wan untuk menyampaikan hamper kepada beberapa pemenang cabutan bertuah.
Apa yang menarik perhatian saya ialah Kapt Wan sendiri tidak menyampaikan sebarang hadiah kepada pemenang-pemenang.  Beliau lebih mengutamakan tetamu-tetamu lain.  Walau pun majlis ini tidaklah besar dan formal, tetapi sikap beliau ini sudah jelas menunjukkan bahawa beliau bukanlah seorang yang suka mencari publisiti tetapi suka menghulurkan sumbangan. Bak kata pepatah, ‘tangan kanan memberi tangan kiri pun tidak tahu’.
Artikel saya kali ini sekadar memberitahu bahawa inilah semangat yang sepatutnya diambil oleh pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian Pasir Puteh.  Jika dibuat sesuatu program yang tidak melibatkan kerja-kerja politik, semua pihak sewajarnyalah dijemput termasuk wakil rakyat tanpa mengira walaupun wakil rakyat itu adalah wakil rakyat parti PAS.  Saya yakin jika suasana silaturrahim ini sentiasa disuburkan bersama, sekurang-kurangnya suasana sebegini akan terus dipelihara semasa pilihanraya nanti.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
12 Jun 2011 Semerak

No comments:

Post a Comment