Wednesday 1 June 2011

SUASANA SEMASA POLITIK

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (10)
Pada 30 Mei 2011, satu majlis penyerahan kerusi roda telah diadakan di Kulim oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh kepada seorang warga tua yang kudung kedua-dua kakinya akibat penyakit kencing manis. Berita bergambar telah keluar dalam Sinar Harian.
Saya amat bersetuju aktiviti kemasyarakatan seperti ini dilakukan. Ianya harus berterusan dari masa ke semasa bukan dilakukan sekali sekala sahaja dan itu pun hanya untuk mencari publisiti politik.
Pada saya, siapa yang melakukan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan seumpama ini tidak dipersoalkan. Samada ianya oleh pemimpin UMNO atau pun PAS, saya menganggap sama sahaja kerana tanggungjawab sosial adalah tanggungjawab bersama semua pemimpin-pemimpin politik tak kira parti apa pun. Bahkan jika ianya dilakukan oleh mana-mana individu pun, saya menganggap itu pun lebih baik juga. Iklim bantu membantu harus sentiasa segar dan digalakkan didalam masyarakat.
Sudah tentulah mau tak mau masing-masing dilihat seperti cuba mencari pengaruh politik disebabkan pilihanraya semakin hampir apalagi jika berita bantuan yang dihulurkan itu keluar dalam akhbar.
Perkara seperti ini adalah lumrah alam namun kejar-mengejar dan berlumba-lumba menghulurkan bantuan kepada masyarakat adalah lebih baik daripada kejar-mengejar dan berlumba-lumba menabur fitnah dan mencaci cerca sesama sendiri. Tambah-tambah aktiviti seperti ini amat dibenci oleh agama.
Saya melihat kegiatan ini dari sudut politik yang positif. Apa yang baik dilakukan oleh sesiapa kita harus berikan sokongan dan dorongan tetapi apa yang tidak baik kita akan cuba tegur dan halang.
Saya bukan ‘MAHU’ supaya UMNO dan PAS ‘bersatu’ atau ‘bergabung’. Saya tidak mempunyai kemampuan untuk mencapai tujuan itu kerana perkara seperti ini terserah kepada pucuk kepimpinan parti masing-masing tetapi saya ingin ‘MELIHAT’ satu hari nanti UMNO dan PAS bersatu dan bergabung.   
Harapan ini sebenarnya semakin hari semakin menggunung di hati rakyat kedua-dua belah pihak yang sudah muak dengan perbalahan sesama kita. Percayalah dan sekurang-kurangnya mulakanlah di Semerak dengan unsur-unsur ‘penyatuan’ ini.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
2 Jun 2011 Semerak  

No comments:

Post a Comment