Friday 3 June 2011

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (14)
Ada orang bertanya saya menulis untuk siapa?
Saya berkata saya menulis untuk semua orang yang mahu membaca tulisan saya dan saya tidak memaksa sesiapa untuk menyokong atau pun membantah. Terpulanglah kepada mereka samada hendak menerima atau pun menolak. Saya tak kisah asalkan saya dapat terus menulis dan menyampaikan maklumat serta pandangan peribadi  saya. Apa yang saya tak buat ialah menyentuh peribadi atau pun membongkar rahsia sesiapa dengan tujuan menabur fitnah untuk menjatuhkan maruah atau menjatuhkan kedudukan politik sesiapa.
Saya tidak tahu samada terdapat orang-orang lain seperti saya di Pasir Puteh. Mungkin ada dan orang-orang itu lebih berkebolehan dari saya tetapi yang nyata tiada yang sanggup menulis untuk menyatakan sesuatu secara jelas dan terbuka serta secara bertanggungjawab seperti saya. Mungkin disebabkan terikat dengan jawatan parti atau pun kerja maka mereka terpaksa mendiamkan diri atau pun sekadar berbisik-bisik sahaja sesama mereka di kedai-kedai kopi.
Ada juga orang bertanya mengapa saya keluar masuk pejabat ADUN Semerak? Saya berkata ini pun mungkin juga tiada orang UMNO lain yang buat di Pasir Puteh. Saya berkata bahawa pada mulanya memanglah agak kekok juga bagi saya untuk keluar masuk pejabat itu tetapi lama kelamaan ianya sudah menjadi kebiasaan sahaja. Saya berkata bahawa mungkin sayalah satu-satunya ahli UMNO yang keluar masuk pejabat ADUN PAS di Pasir Puteh. Saya tidak mendengar ada orang lain yang buat begitu.
Apa yang menghairankan saya ialah mengapa saya keluar masuk pejabat ADUN Semerak dijadikan isu oleh orang-orang UMNO sedangkan orang-orang PAS sendiri tidak langsung mengambil kisah. Mereka menerima dan menghormati saya sebagai orang UMNO seadanya dengan hati terbuka dan tidak pernah sesiapa pun mengesyaki bahawa saya keluar masuk untuk mencari rahsia.
Akhirnya saya berkata bahawa inilah juga sebagai contoh kepada orang-orang UMNO lain bahawa seorang calon yang menang pilihanraya adalah wakil rakyat kepada semua orang. Tidak ada papan tanda di hadapan pintu masuk pejabatnya yang bertulis ‘Pejabat Ini Hanya Untuk Orang-Orang PAS Sahaja’. Begitulah juga tidak ada papan tanda seperti itu di pejabat UMNO. Saya masih ingat sewaktu saya bertugas di pejabat UMNO Bahagian Pasir Puteh dulu, ramai orang-orang PAS termasuk Sdr Wan Hassan (sekarang YB) yang naik ke pejabat untuk berjumpa dengan saya dan Ketua UMNO Bahagian pada masa itu iaitu AbeDin. Oleh itu, jika ditakdirkan orang UMNO pula selepas ini yang jadi wakil rakyat DUN Semerak, saya akan pastikan orang-orang PAS pula yang boleh keluar masuk pejabat ADUN ini.
Bagi saya budaya menjauhkan diri hanya disebabkan berlainan fahaman politik tidak sepatutnya dibiarkan lagi. Sebab itu saya hanya sekadar membawa contoh seorang ahli UMNO seperti saya sebenarnya tiada masalah jika kita ingin ber’pergi-mari’ dengan orang-orang PAS sehingga kepada peringkat keluar masuk pejabat ADUN mereka. Kita tak campur urusan politik mereka tetapi tiada apa-apa masalah jika kita mahu masuk pejabat wakil rakyat jika ada sesuatu urusan atau walaupun hanya untuk berbual-bual sahaja dengan mereka. Pernah saya membawa beberapa rakan UMNO masuk ke pejabatnya termasuk seorang Professor universiti tersohor yang juga bertugas sebagai Felo Terutama di Jabatan Kenegaraan BTN di Jab Perdana Menteri untuk bercakap tentang perpaduan orang-orang melayu dan Islam diradio internet yang dinamakan sebagai ‘Radio Ore Semerak’. Konti radio ini berada di satu sudut pejabatnya. Saya akan cuba mempelawanya lagi kerana sambutan pendengar berinteraksi dengannya pada malam itu sangat memberangsangkan. Beliau sangat terkenal bukan sahaja di dalam negara bahkan juga sentiasa dijemput berceramah ataupun membentangkan kertas-kertas kerja politik Islam di negara-negara luar seperti Indonesia, Thailand, Brunei dan lain-lain negara jauh termasuk Australia, UK dan Amerika Syarikat. Selain beliau saya telah juga membawa masuk seorang pemaju perumahan yang memegang jawatan Presiden Persatuan Pemaju-Pemaju Perumahan Negeri Kelantan (REHDA) yang telah bercakap dan menjawab berbagai-bagai soalan tentang hal-ehwal perumahan termasuk urusan beli-membeli dan undang-undang berkaitan.
Sebab itulah didalam ceramah, baik UMNO atau pun PAS janganlah lagi ditambah-tambah unsur-unsur perbalahan dan perpecahan yang tidak berfaedah seperti memaki hamun dan caci mencaci. Membanyakkan penerangan tentang dasar-dasar parti dengan contoh-contoh yang jelas adalah lebih baik untuk menarik orang ramai kepada parti masing-masing.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
3 Jun 2011 Semerak.

Sk
Kepada Semua Yang Berkaitan
Termasuk YB Wan Hassan ADUN Semerak.

No comments:

Post a Comment