Wednesday 15 June 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (25)
17 Jun 2011 adalah hari bermulanya Ketua-Ketua Cawangan, PPM dan seluruh jentera parti UMNO Pasir Puteh berhimpun untuk berkursus di Tok Bali selama 3 hari.
Saya ingin ucapkan syabas dan selamat berkursus kepada semua peserta. Moga-moga selepas berkursus mereka semua akan tunaikan tugas masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab. Moga-moga juga tiada sesiapa diantara mereka nanti merasa bangga dan megah kerana diberikan peluang berkursus seperti itu dengan makan minum dan penginapan percuma kerana semua itu sebenarnya bukanlah suatu keistimewaan. Mereka dipanggil kerana ada tugas dan tanggungjawab yang amat mencabar menanti mereka di luar sana.
Saya menyentuh perkara ini kerana saya dapati program seperti ini sudah agak lewat diadakan. Walaupun begitu, saya akui ‘Better Late Than Never’.
Sejauh mana pula kesan kursus ini terhadap peserta adalah sesuatu yang belum boleh saya gambarkan. Sudah tentulah pimpinan pusat dan negeri mengharapkan pencapaian yang sewajarnya. Segala-galanya bergantung kepada sejauh mana kemampuan peserta memahami tujuan dan intipati kursus. Jika pun difahami sepenuhnya, sejauh mana pula kemampuan mereka menzahirkannya secara realiti adalah persoalan kedua. Semua ini akan dilihat selepas ini dan semua ini akan diberikan penilaian oleh pengundi-pengundi. Ini bermakna kerja mereka merupakan kerja yang dianggap akan memberi kesan keatas menang kalah BN dalam pilihanraya nanti kerana merekalah jentera utama yang akan menentukan hala tuju parti.
Saya melihat tujuan program seperti ini hanyalah untuk melengkapkan kerja parti sahaja. Mungkin banyaklah maklumat-maklumat politik yang akan dibekalkan kepada peserta untuk pengetahuan mereka. Ramai diantara mereka akan merasa ghairah untuk pulang menyebarkan maklumat-maklumat itu ke tempat masing-masing dengan harapan supaya ianya boleh mempengaruhi pengundi-pengundi. Ramai juga diantara mereka yang sudah pun merasa menang sebaik sahaja kursus tamat.
Bagi saya, golongan yang terakhir itu adalah golongan yang tidak tahu bahawa program kursus seperti ini hanyalah sebahagian daripada kerja dan tanggungjawab parti untuk jentera pilihanraya sahaja.  Kursus seperti ini bukanlah sesuatu yang boleh menjamin kemenangan.  Yang boleh menjamin kemenangan ialah kerja-kerja yang dibuat secara berterusan sejak dari dulu lagi bukan sahaja oleh jentera parti tetapi oleh semua pihak.  
Dalam kaitan ini, saya ingin mengambil satu contoh kecil keatas sesuatu yang telah diabaikan oleh pimpinan UMNO Bahagian selama ini tetapi telah diambil berat oleh jentera parti PAS. Di Semerak terdapat satu pusat yang dipanggil PDK atau Pusat Pemulihan Dalam Komuniti. Pusat ini telah lama wujud dimana peserta-pesertanya terdiri daripada golongan OKU. Pusat ini adalah dibawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sekarang ditempatkan di sebuah rumah yang disewa berhampiran Klinik Kesihatan Cherang Ruku.
Apa yang saya perhatikan ialah tidak seorang pun diantara mana-mana orang Bahagian yang pernah datang menjenguk pusat ini untuk bertanya khabar tentang masalah-masalah yang dihadapi mereka. Pimpinan Bahagian tidak pun tahu bahawa tempat mereka sangat tidak sesuai dan memerlukan satu tempat lain yang lebih selesa.
Bagi saya, kalau golongan seperti ini pun tidak pernah dilawati oleh pimpinan Bahagian, bayangkanlah bagaimana nasib orang-orang lain yang memerlukan pembelaan.
Pusat ini telah dipengerusikan oleh YB Wan Hassan sejak dari sebelum beliau menjadi wakil rakyat lagi iaitu sewaktu Datuk Hj Kamaruddin Md Nor menjadi wakil rakyat DUN Semerak. Dengan ini jelas menunjukkan bahawa bukan pimpinan UMNO Bahagian yang mengambil usaha membela golongan ini sejak sekian lama tetapi tugas ini dipikul oleh seorang wakil rakyat PAS sehingga kini walaupun pusat ini dibawah agensi kerajaan pusat.
Inilah diantara contoh yang saya maksudkan tadi bahawa kerja sebenar untuk mencapai kemenangan ialah kerja yang dibuat secara berterusan sejak dari dulu lagi. Walaupun kerjanya kecil seperti mengambil berat tentang PDK tadi, ianya tetap memberi kesan yang besar jika dibuat secara berterusan dan lama.
Oleh hal yang demikian, kalaulah selepas kursus ini barulah hendak dimulakan gerakerja, saya khuatir hasilnya hanyalah membuang masa dan wang sahaja.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
16 Jun 2011 Semerak (0135HR)

S.k.
Semua Hubungan Rangkaian
Dalam dan Luar Pasir Puteh

No comments:

Post a Comment