Sunday 19 June 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (27)
Jentera parti UMNO Pasir Puteh hari ini selesai menjalani Kursus Pemantapan dan Transformasi Organasisasi selama 3 hari 2 malam di Sweet Beach Resort Tok Bali.
Syabas dan Tahniah saya ucapkan kepada kepimpinan UMNO Bahagian kerana berjaya mengadakan kursus seperti ini untuk penggerak-penggerak parti. Ianya bersesuaian dengan suasana menghampiri pilihanraya. Dengan harapan semoga peserta-peserta yang hadir telah betul-betul dapat menghayati segala apa yang telah disampaikan.
Namun, kerja mereka akan mendapat perhatian pengundi-pengundi di luar. Tugas dan tanggungjawab mereka akan dinilai samada berkesan atau pun sebaliknya. Samada juga berlaku perubahan sikap atau pun tidak. Kalau mereka masih lagi membawa modal lama dengan cara lama, ini akan membawa erti bahawa kursus itu tidak menghasilkan sebarang kesan dan tujuannya tidak akan tercapai sepenuhnya.
Dalam hal ini, orang-orang di peringkat Bahagian terutamanya Ketua Bahagian sendiri berkemungkinan berfikir bahawa mereka sahajalah yang berhak membuat penilaian. Selama ini pun, merekalah yang sentiasa menilai dan membuat justifikasi terhadap orang perseorangan.  Mereka menilai seseorang mengikut kriteria mereka sendiri apabila didapati orang itu cuba melakukan sesuatu kerja atau usaha politik secara berasingan. Jika orang itu ialah orang yang berada didalam saf kepimpinan parti seperti AJK Bahagian, mereka mendapat penilaian tertinggi disisi mereka. Jika orang itu bukan dalam saf itu, secara otomatik orang itu dinilai dengan serendah-rendah nilai bahkan ada yang dilabelkan sebagai penentang kepada pucuk kepimpinan parti.
Sikap ketidakterbukaan pucuk kepimpinan parti inilah sebenarnya yang telah selama ini merosakkan parti dengan tidak disedari mereka sendiri. Mereka bersikap bahawa mereka sahajalah yang berhak mengatur dan menggerakkan kerja-kerja parti. Mereka tidak tahu bahawa semua orang di luar Bahagian tahu dan faham bahawa sememangnyalah kerja-kerja parti hanya orang-orang Bahagianlah yang berhak mengatur dan menggerakkannya kerana mereka telah diberikan mandat oleh ahli-ahli parti untuk tujuan itu. Selain daripada mereka, tiadalah yang lebih berhak. 
Yang menjadi persoalannya ialah apakah kerja-kerja yang dibuat oleh mereka yang di luar barisan kepimpinan parti itu dianggap juga sebagai kerja parti? Apakah apabila orang-orang seperti Cikgu Azmi dan Kapt (B) Wan Marzudi JP melakukan kerja-kerja ziarah dan membantu orang-orang susah di kampong-kampong dianggap sebagai kerja parti yang hanya berhak dibuat oleh orang-orang Bahagian sahaja? Apakah mereka dianggap menentang kepimpinan parti hanya kerana mereka tidak melibatkan orang-orang Bahagian terutamanya Ketua Bahagian sendiri?
Saya membawa persoalan ini kerana suasana kolot seperti ini masih membelenggu UMNO Bahagian Pasir Puteh. Mereka beria-ria dan teruja-uja hendak membawa perubahan kepada UMNO Bahagian sewaktu mereka mula-mula memenangi jawatan masing-masing dulu tetapi sampai sekarang perubahan tidak pun berlaku juga. Mereka hanya berkata ingin membuat perubahan tetapi sikap mereka sendiri pun masih tidak berubah. Mereka berkata bahawa polisi yang dibawa oleh kepimpinan terdahulu merugikan parti dan tidak boleh lagi dijadikan contoh tetapi sampai sekarang pun, polisi baru tidak juga dilahir-lahirkan dan dipraktikkan.
Saya menyentuh perkara ini dengan agak tajam sedikit kerana saya sendiri pun telah dinilai akhir-akhir ini oleh Ketua Bahagian dengan gred terendah iaitu dengan gred purata kosong. Beliau berkata bahawa saya tiada apa-apa nilai baginya. Beliau tidak tahu bahawa saya sedikit pun tidak mengharapkan beliau membuat sebarang peniliaian keatas diri saya kerana saya telah awal-awal berkata bahawa saya sememangnya bukan penting tetapi tulisan-tulisan saya itulah yang penting. Saya telah seterusnya berkata bahawa beliau sendiri pun tidak penting juga tetapi kerjanya sebagai Ketua UMNO Bahagian itulah yang penting.  Sebab itulah saya tidak pernah sekali pun menyentuh peribadinya dalam tulisan-tulisan saya kecuali mengkritik kepimpinan politiknya sahaja.
Apakah itu salah disisi Perlembagaan Parti? Adakah ada disebut di dalamnya bahawa seseorang ahli biasa tidak boleh mengkritik Ketua UMNO Bahagian? Jika tidak ada, itu bermakna tiadalah larangan. Tiadalah juga makanya larangan untuk saya terus Menulis dan Menulis…. Dan jika beliau tidak mahu menerima teguran, itu bermakna pula bahawa beliau tidak mahu mencontohi kepimpinan Saidina Umar al-Khattab yang sanggup menerima teguran dari seorang rakyat biasa walaupun dengan mata pedang yang tajam terhunus.
Dalam ertikata sekarang dengan ‘mata pena yang tajam’…. 
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No. Ahli UMNO 03924693
18 Jun 2011 Semerak.

SK
Semua Rangkaian Hubungan
Dalam dan Luar Pasir Puteh.

No comments:

Post a Comment