Friday 24 June 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (28)
‘Count Down’ hari lawatan YAB Dato’ Seri Najib ke Pasir Puteh pada hari ini ialah 8 hari. Semua pihak semakin sibuk terutama Ketua UMNO Bahagian dan AJK Bahagian. Pejabat UMNO Bahagian dilihat sentiasa ada orang turun naik tangga siang dan malam.  Tak ubah seperti musim pilihanraya. 
Semua orang juga di mana-mana bercakap tentang hari lawatan Perdana Menteri. Sinar Harian hari ini memuatkan berita Ketua Bahagian mensasarkan jumlah orang yang akan hadir dalam perhimpunan nanti seramai 20,000 orang.  
Sudah tentulah berbagai-bagai pendapat dan andaian dibuat oleh orang ramai berkaitan dengan perhimpunan ini. Ada yang berkata bahawa jumlah ini tidak susah untuk dicapai. Ada juga yang berkata bahawa jumlah ini akan tercapai kerana pihak-pihak yang akan hadir sebenarnya ‘dipaksa’ oleh Ketua Bahagian. Ada yang berkata jika tidak hadir mereka akan menghadapi satu bentuk tindakan oleh Ketua Bahagian.  Ada pula yang berkata bahawa Ketua Bahagian memaksa semua kontraktor mengeluarkan sumbangan bagi menjayakan lawatan dan perhimpunan ini. Ada yang berkata Ketua Bahagian telah memberikan tugas mendapatkan sumbangan ini kepada salah seorang AJK Bahagiannya.
Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran semua ini tetapi itulah yang menjadi tajuk perbualan orang ramai termasuk orang-orang UMNO sendiri di mana-mana.
Saya menganggap semua itu sebagai perkara biasa sahaja. Setiap kali apa saja program yang akan dibuat, banyaklah pendapat-pendapat yang kita boleh dengar di sana sini. Ada yang positif ada yang negatif.
Saya melihat kedatangan YAB Perdana Menteri ke Pasir Puteh dari kedua-dua sudut. Dari sudut positifnya, sudah tentulah lawatan ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang sangat bersejarah bagi orang-orang Pasir Puteh. Lawatan oleh pembesar utama negara tidak pernah dibuat ke Pasir Puteh kecuali oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba pada satu masa lama dahulu. Sudah tentulah pada kebiasaannya, kedatangan Perdana Menteri akan disertakan dengan ‘buah tangan’ untuk orang-orang Pasir Puteh. Semakin besar dan tinggi jawatan politiknya, semakin besarlah ‘buah tangan’ yang dibawanya. Ini bermakna orang-orang Pasir Puteh bernasib baik juga kerana akan menerima hadiah tertentu dari Perdana Menteri pada 2hb Julai ini.
Dari sudut negatifnya pula, lawatan ini menyebabkan banyak pihak menanggung beban. Ada diantaranya menanggung beban kerana terpakasa hadir ke perhimpunan.  Ada diantaranya pula menanggung beban kerana terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk tujuan itu. Kedua-dua pihak ini menanggung beban yang berlainan tetapi untuk tujuan yang sama.
Mereka tergolong dalam kumpulan yang dianggap telah menerima ‘keistimewaan’ UMNO Bahagian.  Pihak pertama terdiri daripada mereka yang telah dilantik ke jawatan-jawatan seperti guru-guru KAFA, PPM dan lain-lain sementara pihak yang kedua dianggap telah diberikan keistimewaan mendapat kontrak-kontrak kerajaan. Kedua-dua pihak ini dianggap sebagai terhutang budi dengan Ketua UMNO Bahagian kerana semua yang mereka perolehi adalah diatas ‘usaha’ dan ‘susah payah’ Ketua UMNO Bahagian.
Itulah yang dipercakapkan oleh ramai orang sekarang. Saya tidak mahu mengulas atau pun memberikan sebarang pandangan tentang perkara ini. Apa yang penting bagi saya ialah semua perkara hendaklah yang boleh menambah undi BN dalam pilihanraya umum nanti. Bagi saya kerja utama menambah undi ialah kerja-kerja ‘turun padang’ yang sepatutnya sudah lama dibuat oleh kepimpinan parti.
Kita boleh bermegah dengan lawatan seorang Perdana Menteri tetapi apakah selepas itu kita tak payah berbuat apa-apa tetapi bermegah dan bermegah sahaja?
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
24 Jun 2011 Semerak.

No comments:

Post a Comment