Sunday 19 June 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (26)
Saya dapati pergerakan Cikgu Azmi semakin tidak disenangi oleh pimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh. Orang yang paling lantang menentang ialah AJK Bahagian yang telah memperolehi undi terbanyak pada pemilihan parti 8 Nov 2008 sendiri. Beliau telah banyak mengkritik Cikgu Azmi kadang-kadang sehingga kepada tahap menggunakan perkataan yang agak kasar terhadapnya.
Saya sama sekali tidak menyalahkan AJK Bahagian ini. Beliau tetap mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat dan pandangan beliau dan sudah tentulah gaya dan pilihan penggunaan ayat dan bahasa terpulang kepada sikap semula jadi beliau. Ada orang tidak suka menggunakan perkataan-perkataan kasar tetapi ada jugalah yang tidak boleh tahan sehingga terpaksa menggunakannya.
Apa pun, beliau masih lagi dianggap suka berterus terang. Sikap inilah yang lebih saya sukai dalam kerja-kerja menulis seperti yang sedang saya lakukan.
Berbalik kepada soal politik. Saya tidak melihat apa yang dilakukan oleh Cikgu Azmi sebagai sesuatu yang ‘mengganggu’ UMNO Bahagian Pasir Puteh.  Beliau membuat banyak kerja-kerja lawatan dan ziarah diatas kapasiti beliau sebagai orang UMNO yang berminat nak jadi calon parlimen Pasir Puteh. Jika menang beliau berkemungkinan menjadi seorang menteri.
Ini juga saya sangat sukai kerana beliau jelas dan terang dalam apa yang dibuatnya. Kedua-dua mereka ini sebenarnya tergolong dalam kumpulan orang-orang yang sama-sama inginkan kemenangan parti dalam pilihanraya nanti. Kedua-duanya mempunyai semangat juang yang sama-sama kental demi mempertahankan UMNO cuma bezanya mereka mempunyai pendekatan masing-masing yang berlainan.   Kedua-duanya rajin membaca untuk lulus periksa tetapi yang satu itu suka membaca disiang hari, yang satu lagi suka membaca pada waktu malam. Yang seorang berminat nak jadi seorang pengawas atau ‘prefect’ sementara yang seorang lagi tidak.
Mereka lupa bahawa mereka berada di dalam satu kelas yang sama dan lupa juga bahawa tugas mereka adalah sama iaitu untuk lulus periksa. Yang mereka tidak mungin lupa sampai bila-bila ialah mereka adalah kawan lama satu kelas walaupun setelah sekian lama tidak berjumpa selepas itu.
Saya membawa cerita mudah ini untuk membayangkan kepada para pembaca artikel saya ini bahawa perkara Cikgu Azmi membawa wadah samada PM atau sesiapa pun sebenarnya bukanlah sesuatu yang harus dijadikan isu.  Bagi saya, usaha beliau sepatutnya disokong oleh orang-orang Bahagian bukan menentang kerana apabila kerja-kerja seperti ini ditentang maka akan nampaklah seolah-olah orang Bahagian tidak berminat ‘turun padang’.
Saya bersetuju jikalau dikatakan bahawa Cikgu Azmi tidak pernah memohon restu Bahagian sebelum ini terlebih dahulu tetapi beliau tidak pun didapati mengganggu sebarang aktiviti parti selama ini. Jika sekiranya terdapat apa-apa aktiviti parti yang terganggu atau terhalang disebabkan kegiatan Cikgu Azmi, maka saya rasa barulah wajar Cikgu Azmi dianggap sebagai mengganggu. Kegiatan beliau sudah terang-terang dibuat untuk tujuan menambah bilangan undi BN dalam pilihanraya.  Saya rasa ini lagi tidak salah.
Apa pun, terpulanglah kepada pihak-pihak yang terlibat untuk menilai dan mencari titik penyelesaian sebaik mungkin. Saya sekadar menulis untuk melahirkan pandangan. Saya bukanlah orang parti yang berhak menentukan apa-apa tetapi saya berhak menulis dan menulis selagi ianya tidak salah dan tidak melanggar perlembagaan parti. Saya juga tidak pernah berkata bahawa saya menentang Ketua tetapi saya juga tidak pernah berkata bahawa saya menyokongnya kerana bagi saya seorang ketua yang tidak boleh ditentang ialah ketua yang adil dan bijak.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
17 Jun 2011 Semerak.

Sk.
Seluruh Rangkaian Hubungan
Dalam dan Luar Pasir Puteh

No comments:

Post a Comment