Wednesday 1 June 2011

CADANGAN


CADANGAN PERIBADI SEBAGAI  AHLI UMNO BIASA
UMNO Pasir Puteh perlu mengembelingkan keseluruhan tenaga untuk menghadapi pilihanraya umum yang akan datang jika mahu menang sekurang-kurangnya parlimen. Selain daripada faktor menyatukan kembali seluruh ahli UMNO, faktor calon juga tidak kurang pentingnya dalam menentukan kalah menang. Namun segala-galanya sudah terlambat kerana saya melihat usaha pertama itu pun tidak dibuat dengan bersungguh-sungguh walau pun pucuk kepimpinan parti di peringkat Bahagian telah awal-awal dinasihati tentang perkara ini.
Sebaik sahaja memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian pada 8hb November 2008, saya telah menyampaikan secara serahan tangan satu artikel khas  kepada Ketua Bahagian yang baru dipilih yang mengandungi enam (6) perkara utama untuk dijadikan asas kepimpinan beliau. Saya berbuat demikian kerana menyangka beliau mampu dan betul-betul mahu melakukan sesuatu yang akan membantu parti ke arah memenangi pilihanraya umum. Malangnya sampai hari ini beliau tidak lakukannya dengan berkesan dan menyeluruh.
Didalam artikel saya itu, perkara pertama dan yang  paling penting saya sarankan untuk segera diusahakan ialah menyatukan semula ahli-ahli UMNO seluruh Pasir Puteh.  Ini disebabkan ahli-ahli UMNO telah berpecah tiga apabila jawatan Ketua Bahagian dipertandingkan tiga penjuru. Saya telah mencadangkan bahawa kaedah untuk menyatukan semula mereka ialah dengan beliau sendiri selaku Ketua Bahagian yang baru mengambil peranan utama di dalam hal ini. Saya telah cadangkan supaya langkah pertama beliau ialah dengan berusaha menyatukan ketiga-tiga calon yang bertanding jawatan Ketua Bahagian termasuk diri beliau sendiri. Ini perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan penuh sabar sehingga betul-betul terlihat kepada ahli-ahli UMNO seluruh Pasir Puteh bahawa ketiga-tiga calon yang bertanding dulu telah bersatu sebagai satu pasukan tanpa mengambil kira siapa menang siapa kalah. Saya yakin inilah sahaja cara yang paling berkesan didalam usaha untuk menyatukan semula ahli-ahli UMNO seluruh Pasir Puteh.
Jikalau ini dapat dicapai, barulah gerakerja atau pun program parti diberikan tumpuan. Jika tidak, apa sahaja yang dirancang akan hanya terlaksana separuh jalan atau pun berpuas hati sekadar yang terlaksana kerana tidak semua ahli-ahli memberi sokongan sepenuh hati disebabkan penyakit perpecahan yang masih wujud tanpa rawatan yang berkesan.
Sebab itu, bagi saya seseorang yang memenangi sesuatu jawatan tinggi parti tidak semestinya ‘imune’ dari teguran dan kritikan dari ahli-ahlinya yang di bawah. Kadang-kadang teguran itu boleh memperbetulkan kepimpinannya untuk kebaikan parti jua.
Walau apa pun, ahli-ahli berhak menentukan peminpin mereka dimasa hadapan. Mereka boleh mengekalkan yang sedia ada atau pun menukarnya lagi. Hak mereka tidak boleh dinafikan.
Maka dalam hubungan ini, saya rasa kepimpinan parti terutama diperingkat Ketua Bahagian harus diberikan ujian sekali lagi. Ahli-ahli parti harus diberikan kebebasan untuk menentukan kepimpinan parti mereka dan selepas pemilihan, mereka harus disatukan semula dengan kaedah sepertimana yang telah saya sebutkan tadi.
Buat pada masa ini, saya tidak melihat ada orang lain yang mempunyai kemampuan dan bakat kepimpinan sepertimana yang dimaksudkan kecuali Kapt. (B) Wan Marzudi Dato’ Hj Wan Omar, JP. Apalagi jikalau orang-orang yang akan membantu beliau terdiri daripada tokoh-tokoh yang tidak asing seperti Cikgu Hj Wan Halim Hj Wan Abdullah, Cikgu Hj Azmi Hj Mohamad Noor dan lain-lain. 
Saya yakin jika mereka diberikan peluang oleh ahli-ahli untuk memimpin parti pada pemilihan yang akan datang, selain daripada mampu menyatukan ahli-ahli mereka juga mampu merancang dan melaksanakan program-program yang akan memberi faedah kepada ahli-ahli dan juga parti.
Dengan itu, saya harap ahli-ahli UMNO terutama yang akan menjadi perwakilan ke Persidangan UMNO Bahagian Pasir Puteh nanti faham sepenuhnya apa yang saya maksudkan dan gunakanlah hak masing-masing juga sepenuhnya secara bebas tanpa sebarang kongkongan oleh lain-lain pihak.
 Sekian.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh,
T-29, Taman Jaya,
16700 Cherang Ruku,
Pasir Puteh,
Kelantan.
No. Ahli UMNO 03924693
Tel. 019-937 5226
Email : wanmalekwannoh@yahoo.com

No comments:

Post a Comment