Saturday 2 July 2011

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (30)
2hb Julai 2011 adalah ‘hari raya’ bagi orang-orang Pasir Puteh terutama orang-orang UMNO. Hari itu YAB Dato’ Seri Perdana Menteri telah berada di Pasir Puteh dikatakan bersama 20,000 rakyat Pasir Puteh.
Mereka pulang selepas itu dengan senyuman dan semuanya berkata mereka berpuas hati kerana dapat hadir ‘menemui’ Perdana Menteri Malaysia yang disayangi. Mereka berkata hari ini sudah jelas UMNO dan BN akan mengambil alih negeri Kelantan dalam pilihanraya umum nanti kerana jaminan itu telah diberikan bersama oleh YAB Perdana Menteri dan semua yang hadir. Mereka berkata dan berkata bermacam-macam lagi sebagai ‘pemenang’.
Saya melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang amat menarik buat pada masa ini.
Dari satu sudut ianya menarik kerana kunjungan Perdana Menteri ke Pasir Puteh telah juga menarik minat saya untuk menulis tentangnya.
Kunjungan seorang Perdana Menteri walau kemana-mana tempat sekali pun di dalam negara, ianya sudah tentulah memerlukan sambutan yang hebat. Saya ingin mempersoalkan tentang ‘venue’ atau tapak yang dirancang itu. Kenapa SK Seri Aman dijadikan tempat perhimpunan sedangkan banyak lagi tempat-tempat lain yang lebih sesuai dan selesa ada? Kenapa tidak dibuat di tempat-tempat lain seperti Tok Bali atau di Kg Kulim yang semua orang tahu kawasannya luas dan lebih selesa?
Dalam politik, banyak perkara yang sentiasa dilakukan kerana politik yang digelar orang ‘politiking’. Saya khuatir perancangan yang dibuat untuk SK Seri Aman sebagai tapak perhimpunan pun sebenarnya termasuk sekadar ‘politiking’ sahaja. Bagi saya secara peribadi, sudah tentulah jika ada tapak yang lebih luas dan lebih selesa tempat itu sepatutnya dipilih. Sebagai contoh untuk menyokong pendapat saya ini, tapak di Kg Kulim telah pun pernah dijadikan tapak Expo Pertanian anjuran Majlis Pertanian Parlimen Pasir Puteh di bawah Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh sendiri. Sudah tentulah jika perhimpunan dibuat di sana, bukan sahaja ianya tidak mengganggu pihak sekolah tetapi kawasannya juga boleh memuatkan bukan sahaja puluhan ribu bahkan ratusan ribu orang.
Saya tidak pasti kenapa tapak seperti ini tidak dipilih. Ada juga yang berkata bahawa kepimpinan Bahagian khuatir kalau-kalau jumlah yang akan keluar kurang, maka tapak yang luas akan menampakkan dengan jelas masalah itu. Jika dipilih tapak sekolah, jumlah yang kurang pun akan dilihat penuh dan padat dan ini memberikan gambaran seolah-olah sambutan dari orang ramai amat menggalakkan.
Inilah ‘politiking’ barangkali. Jika ini alasannya, maka perkara ini adalah sesuatu yang biasa untuk semua parti politik.

Satu lagi perkara yang saya lihat tidak begitu diuruskan dengan baik dan sempurna ialah tentang penyediaan makanan dan minuman.
Cuba bayangkan seorang Perdana Menteri datang ke tempat kita tetapi makanan hanya ‘nasi bungkus’ untuk orang ramai. Rata-rata mengetahui bahawa sepatutnya majlis sebesar ini sepatutnya diserikan dengan ‘nasi gulai kawah’. Pertama kerana majlis ini ialah majlis perhimpunan berama seorang Perdana Menteri dan kedua kerana jamuan ‘nasi gulai kawah’ adalah sesuatu yang menjadi ‘keagungan’ dan ‘kemegahan’ tradisi orang-orang Kelantan turun temurun. Begitulah juga dengan acara silat dengan paluan gendang dan tiupan serunai.
Saya tidak bersetuju jikalau pendekatan untuk ‘berjimat’ diambilkira sebagai alasan untuk tidak mengadakan jamuan ‘gulai kawah’ ini. Seorang Ketua Bahagian sepatutnya mempunyai kemampuan tersendiri mendapatkan peruntukan untuk tujuan seperti itu. Saya yakin ramai tokoh-tokoh korporat di Kuala Lumpur sentiasa bersedia untuk menghulurkan sumbangan jika diusahakan. Saya yakin mantan Ketua UMNO Bahagian pun bersedia untuk menyumbang jika beliau dirujuk dan diberikan peluang berbakti untuk tujuan itu.
Satu lagi perkara yang ingin saya terus muatkan dalam kesempatan dan ruangan ini ialah perbandingan kerja yang dilakukan oleh pihak PAS.
Dalam masa orang-orang UMNO bertepuk dan bersukaria, pihak PAS mengadakan pengisisan mereka secara lebih berfaedah secara senyap-senyap. Satu program politik telah diadakan di Taman Rehlah Pantai Bisikan Bayu Semerak untuk anak-anak muda selama dua (2) hari di sana bermula 1hb Julai dibawah kelolaan YB Wan Hassan ADUN Semerak. Kesmua peserta seramai dua ratus (200) orang terdiri daripada 100% anak-anak muda akan dijadikan tenaga kerja parti PAS semasa pilihanraya umum nanti. Ada diantara mereka dilihat menyertai kursus itu bukan sepatutnya berada di situ kerana kerjayanya tetapi mereka telah membuat keputusan berpihak kepada parti PAS hanyalah semata-mata kerana pihak kepimpinan UMNO Bahagian tidak pernah mengambil peduli untuk mendekati mereka selama ini. Peluang keemasan ini telah direbut oleh YB Wan Hassan secara bijak dan berkesan.
Inilah yang telah selalu disebutkan dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini. Kerja sebenar kepimpinan parti ialah ‘turun padang’ mendekati rakyat bukan bermegah dengan program-program besar sahaja. Jumlah kehadiran seperti di perhimpunan bersama Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan kayu ukur politik untuk dijadikan asas kemenangan.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
3 Julai 2011 Semerak.

No comments:

Post a Comment