Monday 25 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (43)
Hari ini terbit berita dalam Sinar Harian edisi Timur bertajuk “10,000 Petugas Pas Berkumpul… Ijtimak Diadakan Sebagai Persediaan Awal Menjelang PRU-13 Tidak Lama Lagi”. Program ini telah diadakan pada 24 Julai 2011 di Pantai Geting Tumpat.
Sekali lagi PAS Kelantan terbukti lebih ‘advanced’ berbanding UMNO Kelantan. Saya telah menyentuh tentang kemajuan kerja PAS Kelantan apabila program “Himpunan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan” yang akan diadakan pada 30 Julai 2011 ini di Stadium MPPJ Kelana Jaya juga dengan sasaran seramai 10,000 orang jemputan dalam artikel saya yang baru lepas iaitu SSPDS 41.
Saya tidak tahu mengapa PAS Kelantan suka kepada angka 10,000. Setiap program yang dianjurkan selalu sahaja digunakan angka ini seolah-olah ianya semacam sinonim dengan setiap program PAS akhir-akhir ini. Saya tidak tahu jugalah samada 10,000 itu adalah angka yang tepat atau pun tidak.
Apa pun, itu tidak penting. Yang penting ialah mereka sentiasa adakan program dan saya belum melihat UMNO Kelantan melakukan sesuatu seumpama ini untuk orang-orang Kelantan di perantauan.
Barangkali UMNO Kelantan merasa cukup dengan maklumat-maklumat yang disampaikan melalui tv, radio dan surat khabar untuk mempastikan mereka balik mengundi BN. PAS Kelantan merasa sebaliknya. Mereka merasa sebaiknya mereka pergi sendiri berjumpa dan beramah mesra dengan pengundi-pengundi ini. Mereka membawa mesej persaudaraan atau ‘silaturrahim’ untuk pengundi-pengundi ini dan inilah yang ditunggu-tunggu oleh mereka. Pengundi-pengundi ini pun tidak mahu lebih daripada itu.
Saya yakin BN Kelantan pun mampu merancang dan melaksanakan program seperti ini tetapi kemampuan itu tidak pernah terbukti. Sepatutnya ‘initiative’ ini datang dari Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sendiri tetapi mungkin beliau terlalu sibuk dengan tugas-tugas menterinya dan juga kerja-kerja ‘turun padangnya’ maka beliau tidak adalah masa untuk itu. Beliau dilihat sibuk ‘turun padang’ di kawasannya sendiri sejak akhir-akhir ini. Ini terbukti apabila banyak gambar-gambar beliau ‘turun padang’ dimuatkan dalam Facebook. Usaha beliau ini boleh dijadikan contoh kepada lain-lain Ketua Bahagian di Kelantan tetapi Pengerusi Perhubungan lupa bahawa beliau tidak payah terlalu ‘turun padang’ disebabkan jawatan dan tanggungjawab yang lebih besar yang ada padanya. Sepatutnya kerja-kerja ini beliau wakilkan sahaja kepada orang kanannya.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
25 Julai 2011 Semerak.

No comments:

Post a Comment