Saturday 23 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (41)
Pada 30 Julai 2011 bersamaan 28 Syaaban 1432 Hijri (Sabtu) satu program secara besar-besaran akan diadakan di Stadium MPPJ bagi meraikan seluruh rakyat negeri Kelantan yang berada di Lembah Klang oleh kerajaan negeri Kelantan. Program itu dinamakan sebagai ‘Himpunan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan’. Mereka terdiri daripada anak-anak Kelantan yang bekerja di sana. Diantara program-programnya ialah perlawanan bola sepak, forum, pameran, wacana, dikir barat dan lain-lain yang akan diadakan dari pagi sampai malam. Sebahagian besar daripada mereka akan balik mengundi apabila tiba masanya nanti. Mereka dijemput untuk hadir oleh kerajaan negeri Kelantan tanpa mengira latar belakang politik. Dijangkakan seramai 10,000 orang rakyat Kelantan akan hadir.
Sesuatu seperti ini bukanlah pihak BN Kelantan tidak boleh lakukan. Kepimpinan BN Kelantan pun boleh dan mampu juga tetapi buat pada masa ini pihak kepimpinan PAS Kelantan jelas telah mendahului BN Kelantan.
Walau bagaimana pun, bukan soal kemampuan yang ingin saya berikan perhatian kepada pembaca-pembaca. Soalnya ialah siapa sebenarnya di belakang semua itu sebagai tulang belakang, perancang dan penggerak utamanya. Semua pihak mempunyai tenaga yang mencukupi untuk merancang dan melaksanakan sesuatu program. Semua pihak juga sama-sama mempunyai kemampuan lain seperti kewangan dan logistik. Namun, itu bukan bererti semua pihak mampu merancang dan melaksanakan sesuatu dengan berkesan sehingga berjaya. Kadang-kadang tenaganya hebat-hebat tetapi belum tentu sesuatu rancangan itu berjaya.
Berkaitan dengan program ini, ingin saya maklumkan bahawa orang yang menjadi tenaga utama merancang dan menggerakkan usaha ini ialah YB Wan Hassan Wan Ibrahim ADUN Semerak. Seorang yang sangat kerdil tanpa sebarang ‘degree’ tetapi mempunyai kemahuan dan semangat yang kental dalam usaha mempertahankan partinya. Beliau telah diamanahkan oleh pucuk kepimpinan PAS Pusat dengan jawatan Pengarah Hal Ehwal Pengundi-Pengundi Luar PAS Malaysia.
Saya kira pucuk kepimpinan PAS Pusat tidak membuat keputusan melantik seseorang seperti YB Wan Hassan untuk memegang jawatan sepenting itu hanya secara cabutan undi dalam tin biskut. Sudah tentulah mereka mahukan seseorang yang betul-betul mampu merancang dan melaksanakan sesuatu keatas pengundi-pengundi luar itu. Sudah tentulah mereka mahukan seseorang yang ‘efficient’ yang sudah terbukti kemampuannya biar pun orang itu tidak ada ‘degree’.  
Lain pula kalau kita melihat kepada UMNO. Pemimpin-pemimpin parti ini nampaknya lebih cenderung kepada mendapatkan ‘degree’ melebihi ‘commitment’ kepada parti. Mereka lebih menumpukan perhatian kepada usaha-usaha memajukan diri sendiri dari segi kelulusan akademik dan kewangan peribadi. Mereka lebih memberikan tumpuan kepada usaha-usaha kenaikan pangkat, mendapatkan kontrak, mempunyai rumah besar, mempunyai kereta besar atau mewah dan mempunyai kestabilan ekonomi kerana mereka merasa mereka adalah ‘pemimpin’. Mereka lebih-lebih merasa sebagai pemimpin apabila pembesar-pembesar negara datang berkunjung.  Oleh itu mereka merasa merekalah orang yang paling penting didalam masyarakat dan sewajarnyalah ‘keistimewaan-keistimewaan’ tertentu diutamakan kepada mereka. Sebab itu mereka tidak ada masa untuk sama-sama berfikir dan merancang apa-apa untuk contohnya, pengundi-pengundi luar,  kerana perkara ini tidak dijadikan agenda utama mereka.
Inilah bezanya UMNO dan PAS. Dalam UMNO budaya merebut ‘peluang’ masih berleluasa dikalangan barisan kepimpinannya tetapi dalam PAS usaha menambahkan sokongan kepada partinya menjadi agenda utama setiap pemimpinnya. Pemimpin-pemimpin PAS tidak berminat untuk mengistiharkan jumlah orang-orang UMNO yang masuk PAS kerana menganggap isu seperti ini sebagai isu dan taktik lama yang sudah ketinggalan zaman tetapi pemimpin-pemimpin UMNO sebaliknya.
Selagi jarak perbezaan dan ketidakseimbangan ini tidak dikurangkan, selagi itulah UMNO tidak akan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan lawannya. Inilah juga faktor yang menghalang kepada visi untuk melihat orang-orang melayu bersatu melalui dua parti besar.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
23 Julai 2011 Semerak.

No comments:

Post a Comment