Friday 8 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (32)
Peribahasa orang-orang lama yang mengatakan ‘Rumah Siap Pahat Berbunyi’ adalah benar.    2hb Julai sudah berlalu tetapi cakap-cakap mengenainya masih kedengaran di sana sini.
Yang paling ketara ialah tentang kenyataan Perdana Menteri mengenai Stesyen Kereta Sewa Pasir Puteh itu. Komen utama mereka ialah mengapa seorang Ketua Bahagian tidak mengkaji dengan teliti tentang isu ini terlebih dahulu sebelum ianya dimaklumkan kepada Perdana Menteri. Kecuaian beliau itu bukan sahaja memalukan Perdana Menteri tetapi juga seluruh ahli-ahli UMNO Pasir Puteh.
Mereka berkata apakah mesyuarat dan perbincangan serta kajian diperingkat Bahagian tidak dibuat semasak-masaknya terlebih dahulu sebelum Perdana Menteri datang? Mengapa maklumat-maklumat penting seperti ini tidak mampu diperolehi secara jelas dan berfakta? Mereka bertanya mengapa teknologi maklumat terkini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh kepimpinan Bahagian? Mereka berkata kecuaian seperti ini tidak sepatutnya berlaku untuk seorang Perdana Menteri membuat kenyataan berpandukan kepada maklumbalas daripada UMNO Bahagian. Mereka berkata dan terus berkata kerana itu hak mereka untuk mengeluarkan pendapat dan pandangan.
Walau bagaimana pun, ianya sudah pun berlalu. Kata-kata tidak boleh ditarik balik dan saya melihat sikap berdiam diri Ketua Bahagian dalam isu ini adalah sesuatu yang terlebih baik. Isu ni bukanlah isu yang sangat besar yang perlu digembar gemburkan. Perbalahan dan perselisihan pendapat tidak membawa apa-apa perubahan dan kemajuan kepada pemandu-pemandu kereta sewa. Apa yang penting ialah penyelesaian kepada permasalahan itu sendiri. Tidak kiralah pihak mana yang berbuat apa-apa asalkan stesyen kereta sewa Pasir Puteh dinaiktaraf.
Maka saya menganjurkan supaya kedua-dua pihak saling bantu membantu demi kepentingan pemandu-pemandu. Oleh kerana tapak stesyen dibawah kuasa MDPP apa salahnya jika tapak itu dibangunkan oleh pihak UMNO Bahagian secara kerjasama. Jika benar tapak ini akan diubah lokasinya pula, maka isu ini tidak lagi timbul.
Saya berminat untuk melihat kerjasama seperti itu dilakukan. Sebab itulah soal mendirikan sebuah bangunan kekal untuk PDK Semerak telah saya cadangkan supaya ianya dibuat sedemikian. Sebagai contoh, kerajaan negeri melalui MDPP ada tapak tetapi tiada peruntukan untuk membina bangunan. UMNO Bahagian pula ada peruntukan tetapi tiada tapak bangunan. Maka perundingan awal telah mencetuskan satu bentuk kesefahaman diantara YB Wan Hassan dan Cikgu Azmi kearah mencapai kerjasama itu. YB Wan Hassan bersedia mendapatkan kelulusan untuk dibina bangunan yang dimaksudkan itu dan dalam masa yang sama Cikgu Azmi pula berusaha untuk mendapatkan peruntukan.
‘Initiative’ ini dilakukan semata-mata supaya golongan istimewa atau OKU ini dibela dan tidak dibiarkan lama-lama berada di satu  tempat yang begitu tidak selesa dan tidak sesuai. Seharusnya ada pihak yang sanggup melakukan sesuatu. Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak boleh melakukan sesuatu. Golongan ini tidak seharusnya juga menjadi mangsa mainan politik. Sebab itulah saya bersikap bahawa siapa yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa PDK sebagai sesuatu yang tidak harus dipolitikkan juga.
Moga-moga satu ‘MOU’ akan dapat dihasilkan segera.
Saya harap isu yang saya bawa pada kali ini mendapat sokongan bukan sahaja daripada sahabat-sahabat dalam rangkaian hubungan tetapi juga oleh UMNO Bahagian Pasir Puteh.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
8 Julai 2011 Semerak.    

No comments:

Post a Comment