Friday 29 July 2011

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (46)
Hari ini ialah hari program ‘Himpunan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan’ yang diadakan di Stadium MBPJ Kelana Jaya bermula jam 9.00 pagi sehingga 12.00 malam anjuran kerajaan negeri Kelantan. Permit perhimpunan telah diperolehi secara sah seminggu sebelum ini. Advertorial pun dikeluarkan secara rasmi dan lengkap di dalam akhbar Sinar Harian 28 Nov 2011.
Diantara program-program hari ini ialah Kejohanan Bolasepak Interaktif, Wacana Khas, Bersantai dan Berinteraksi Anak Kelantan, Persegaran Bersama Pimpinan Utama Kelantan, Solat & Kuliah dan Interaktif Bersama Pimpinan. Program ini boleh dilihat dalam laman web http://www.facebook.com/HAKDIP
YB Wan Hassan adalah orang yang paling sibuk dalam urusan ini. Beliau ialah Pengarah Hal Ehwal Pengundi-Pengundi Luar PAS Pusat. Sudah tentulah beliau mahu supaya program ini berjaya dengan cemerlang kerana ianya melibatkan pengundi-pengundi luar anak-anak Kelantan terutama yang akan pulang mengundi di DUN Semerak. Baginya program ‘Himpunan’ ini akan dijadikan ‘KPI’ bagi beliau bukan sahaja untuk naik seterusnya di dalam parti di peringkat pusat tetapi ianya juga sebagai satu ukuran penting samada beliau akan menang atau pun tidak didalam PRU ke-13 nanti jika dicalonkan lagi.
Saya melihat segala kerja keras beliau selama ini sangatlah patut dicontohi oleh pimpinan UMNO Kelantan. Walau pun beliau bukanlah Pesuruhjaya PAS Negeri, tetapi kerja-kerja yang dilakukannya ini tidak mampu dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan. Kalau pun cuba dibuat, saya tidak yakin ianya mampu mendapat sambutan orang ramai iaitu anak-anak Kelantan pengundi luar sepertimana yang dianjurkan oleh kerajaan PAS negeri Kelantan ini.
Saya tidak bermaksud hendak memperkecilkan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dari segi kemampuannya tetapi apa yang hendak saya sampaikan di sini ialah kemampuam yang telah dicapai oleh YB Wan Hassan ialah kerana kerja kuat beliau selama ini secara konsisten tambah pula diberikan kerjasama rapat oleh kawan-kawannya yang lain. Mereka betul-betul bergerak sebagai sebuah pasukan yang mantap tanpa banyak soal. Pergerakan mereka diketuai oleh YB Wan Hassan kadang-kadang tidak dapat dikesan kerana terlalu laju dan cepat termasuk jugalah dalam membuat keputusan.
Saya tidak melihat ciri-ciri ini ada pada Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh. Sedikit teguran sahaja sudah membuatkannya melenting dan terus mengistiharkan secara terbuka orang-orang tertentu sebagai ‘pengkhianat kepada parti’. Saya juga tidak melihat ciri-ciri kepimpinan seperti ini ada pada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan. Daripada maklumbalas belum pernah ada sebarang aktiviti atau program untuk menambat hati pengundi-pengundi luar ini dibuat secara serious oleh kepimpinan UMNO negeri.
Dengan itu, saya harap UMNO Pasir Puteh cepat-cepat ‘buck-up’ dan susun aktiviti ‘turun padang’ dengan lebih rancak dan serius biarpun pengundi-pengundi luar sudah digenggam PAS.
Yang paling penting ialah ketiga-tiga Ketua, Timbalan dan Naib harus terlebih dahulu membuktikan merekalah yang paling bersungguh-sungguh kerana merekalah di hadapan sekali. Mereka harus terlebih dahulu dilihat sebagai contoh untuk memberi semangat kerja berpasukan yang kuat. Mereka harus mulai betul-betul ‘mengikhlaskan’ diri masing-masing untuk bekerja bersama-sama bukan lagi dilihat ‘bersama’ hanya dalam mesyuarat atau program parti tetapi selepas itu membawa haluan masing-masing.
Masa untuk Ketua UMNO Bahagian mengulangi aduannya kepada Presiden parti bahawa beliau seorang sahaja yang buat kerja sudah berlalu.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
30 Julai 2011 Semerak.

No comments:

Post a Comment