Thursday 14 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (34)
Malam ini berlangsung satu program ceramah motivasi oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah di Padang Merdeka Pasir Puteh.
Sudah lama program seperti ini tidak diadakan di Pasir Puteh. Saya tidak pasti mengapa. Yang pasti ialah program pada malam ini bukan anjuran UMNO Bahagian Pasir Puteh tetapi anjuran Rukun Tetangga.
Moleklah begitu kerana program agama seperti ini tidaklah pun patut dianjurkan oleh sebuah parti politik kerana orang-orang yang hadir terdiri daripada pelbagai fahaman politik.
Program seperti ini juga sangatlah baik kerana penceramah undangan adalah seorang yang sangat tersohor dan popular. Sudah tentulah juga malam ini orang ramai tidak akan mendengar satu patah pun perkataan kasar dan kesat seperti yang selalu dihemburkan dalam majlis ceramah politik.
Setiap kali saya menulis, saya akan menarik perhatian pembaca kepada sesuatu yang ada kaitan dengan tajuk rutin saya sepertimana diatas.
Apabila sesuatu program diadakan, sudah tentulah ianya melalui proses perancangan terlebih dahulu. Tidak berlaku sesuatu program itu tanpa adanya orang atau orang-orang yang merancangnya terlebih dahulu. Perancangan ini termasuklah perkara-perkara seperti apa yang hendak dibuat, di mana, siapa, bila dan kewangannya. Tinggal lagi samada perancangan yang dibuat itu rapi atau pun tidak. Tinggal lagi juga samada perancangan itu dibuat diatas kepentingan umum atau pun peribadi.
Saya percaya program ceramah atau motivasi malam ini di Pasir Puteh adalah hasil daripada  satu perancangan oleh orang atau orang-orang tertentu. Sudah tentulah bukan orang atau orang-orang dari UMNO Bahagian Pasir Puteh kerana ianya dibuat diatas nama Rukun Tetangga dan RT dipilih supaya ianya bersesuaian dengan program itu sendiri.
Saya tidak tahu siapa tetapi ada cakap-cakap bahawa orang atau tokoh utama yang merancang program ini ialah YBhg. Datuk Hj Kamaruddin Md. Nor iaitu mantan Ketua UMNO Bahagian yang tewas kepada Cikgu Zawawi Othman dalam pemilihan pada 8hb November 2008. Ada juga cakap-cakap bahawa bayaran kepada YBhg. Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah untuk ceramahnya pada malam ini mencecah puluhan ribu ringgit dibiayai sepenuhnya oleh Datuk Hj. Kamaruddin dengan wangnya sendiri..
Itu semua cakap-cakap oleh orang ramai. Mungkin betul mungkin tidak. Itu semua walau bagaimana pun tidak penting bagi saya. Yang penting ialah ceramah seperti ini tetap ada kebaikannya untuk orang-orang Pasir Puteh dan sewajarnyalah yuran motivasinya tinggi kerana nilai ceramah yang disampaikannya tinggi.
YBhg. Datuk Hj. Kamaruddin dikatakan berminat untuk sekali lagi menjadi calon parlimen Pasir Puteh dalam  pilihanraya umum ke-13 ini. Sebab itu beliau melakukan usaha-usaha seperti ini. Begitu jugalah apabila YAB Dato’ Seri Perdana Menteri datang ke Pasir Puteh pada 2hb Julai yang lepas, beliau dikatakan mengambil kesempatan supaya dilihat ‘dekat dan mesra’ dengan Perdana Menteri walaupun beliau sebenarnya tidak menerima jemputan daripada UMNO Bahagian Pasir Puteh atau mana-mana pihak secara rasmi. Gambar beliau makan semeja bersebelahan Perdana Menteri jelas dapat dilihat dalam facebook sepertimana yang dipaparkan oleh ‘Probnpp’.
Saya tidak tahu jugalah sejauh mana kebenaran semua cakap-cakap ini. Saya juga tidak mahu mengulas apa-apa tentang tajuk beliau ‘hendak’ atau ‘tidak hendak’ menjadi calon parlimen Pasir Puteh kerana saya sendiri ada juga bertanyakan beliau soalan ini sewaktu beliau berkunjung ke rumah saya pada awal Jun lepas bersama isterinya. Pada masa itu isteri beliau membantu menjawab soalan saya itu bagi pihak suaminya hanya dengan sekadar berkata secara ringkas bahawa perkara hendak  menjadi calon bagi suaminya adalah sesuatu yang ‘tidak pelik’. Beliau menyebut perkataan ‘tidak pelik’ itu adalah kerana menang kalah sebagai calon sudah menjadi kebiasaan bagi suaminya.
Mungkin ada diantara pembaca-pembaca artikel saya ini tahu dan boleh mengulasnya secara lebih mendalam atau secara tersirat apa sebenar-benarnya yang dimaksudkan dan dianggap sebagai ‘tidak pelik’ oleh isterinya itu..

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
14 Julai 2011 Semerak.

No comments:

Post a Comment