Tuesday 19 July 2011

SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (38)
Petang semalam (18 Julai 2011) Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh telah ‘mengistiharkan’ secara terbuka dalam mesyuarat Biro Pendidikan UMNO Bahagian Pasir Puteh bahawa saya tersenarai sebagai ‘pengkhianat kepada parti’ selain daripada beberapa orang ahli UMNO lain. Beliau menamakan Datuk Hj. Kamaruddin Md Nor sebagai ‘ketua’ kumpulan ini diikuti oleh Cikgu Azmi, Kapt (B) Wan Marzudi JP, Cikgu Hj Wan Halim, Cikgu Wan Kamal dan beberapa yang lain.
Pengumuman secara terbuka itu telah sangat-sangat mengejutkan AJK Biro yang hadir termasuk juga Datuk Hj. Che Min Che Ahmad, bekas ahli parlimen Pasir Puteh yang memegang jawatan Pengerusi Biro.
Kalau ianya mengejutkan AJK Biro, saya dan rakan-rakan yang dilabelkannya sedemikian pun begitu juga. Kami semua tidak menyangka bahawa Ketua Bahagian terlalu cepat melatah dan terlalu cepat menghukum kami tanpa menyedari bahawa tiada pun sebarang kegiatan kami yang boleh ditafsirkan sebagai ‘mengkhianati parti’. Tafsiran itu boleh digunapakai jika sekiranya betul-betul terbukti kegiatan kami boleh memberi akibat atau kesan kerosakan ketara kepada parti secara khusus seperti berkempen supaya ahli-ahli parti keluar parti atau berkempen supaya ahli-ahli parti memberi undi kepada calon parti lawan.
Kami tidak pernah pun berbuat demikian. Apa yang kami buat adalah bergerak ‘turun padang’ secara bersendirian tanpa ada kaitan dengan pucuk kepimpinan parti kerana kami mahu mereka yang di dalam Bahagian pun aktif seperti itu juga secara selari atau ‘parallel’. Selain daripada itu, segala tulisan saya selama ini hanyalah didalam bentuk kritikan dan cadangan semata-mata dengan harapan supaya kepimpinan parti menerimanya secara positif lalu mengambil tindakan memperbetulkannya demi kebaikan parti jua.  Sudah tentulah adakalanya saya selitkan kata-kata sindiran yang ringan-ringan tetapi itu hanya sekadar melengkapkan tulisan sahaja supaya maksudnya dapat difahami dengan lebih jelas.
Oleh yang demikian, kami tidak nampak tindakan Ketua UMNO Bahagian ‘melabelkan’ kami sedemikian sebagai sesuatu yang wajar selagi kami tidak melanggar perlembagaan parti.
Oleh itu juga, saya ingin menasihati kawan-kawan yang terlibat supaya tidak memanjangkan perkara ini.  Saya harap juga pihak kepimpinan parti terutamanya Ketua Bahagian sendiri dapat juga memahaminya kerana saya akan terus menulis dan menulis.  Inilah sahaja yang dapat saya sumbangkan kepada parti.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
19 Julai 2011 Semerak.

No comments:

Post a Comment