Monday 18 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (37)
Kertas-kertas kritikan saya terhadap kepimpinan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh sudah agak banyak saya paparkan dalam blog saya http://wanmalekwannoh-abelekrm.blogspot.com dan sudah agak ramai juga yang membacanya terutama kawan-kawan di Kuala Lumpur.
Saya mengambil langkah baru memaparkannya dalam blog untuk dibaca oleh sesiapa sahaja yang ingin mengetahui tentang UMNO Bahagian Pasir Puteh kerana mereka di Kuala Lumpur pun adalah orang-orang UMNO yang berasal dari Pasir Puteh. Mereka kata mereka pun berhak mengetahui apa sahaja yang berlaku dan ingin berkongsi pendapat dengan saya atau sesiapa di Pasir Puteh. Oleh itu, mereka berkata bahawa apa yang ditulis oleh saya hanyalah maklumat asas yang boleh membawa mereka kepada perbincangan yang lebih mendalam. Mereka juga sama-sama inginkan supaya BN menang pada kali ini di Kelantan sehingga ke tahap boleh memerintah semula kerana faktor pembangunan yang ditunggu-tunggu oleh setiap rakyat negeri ini selama ini.
Oleh hal yang demikian, saya amat yakin bahawa mereka yang betul-betul faham tujuan saya menulis ini tidak akan mempertikaikannya. Buat pada masa ini tuan empunya diri mungkin belum memahaminya. Beliau tidak tahu bahawa segala apa yang saya tulis selama ini sebenarnya untuk kebaikan diri beliau sendiri juga. Beliau lupa bahawa saya menulis hanyalah sebagai seorang ahli UMNO biasa sahaja yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi. Beliau lupa bahawa saya tidak mempunyai peluang dan cara lain menyampaikan apa yang hendak disampaikan kecuali melalui tulisan seperti ini sahaja setelah kaedah lain tidak lagi mendapat layanannya.
Beliau tidak tahu juga bahawa orang yang dianggap paling terserlah menentang kepimpinan parti di DUN Semerak pun inginkan supaya semua ahli-ahli UMNO sebaliknya patuh dan setia kepada kepimpinannya. Beliau tidak tahu bahawa orang ini sebenarnya sangat menjaga prinsipnya sebagai seorang ahli UMNO sepertimana yang terkandung didalam perlembagaan parti. Orang ini sentiasa mempertahankan prinsip bahawa jika kerja-kerja dibuat atau dirancang tanpa restu UMNO Bahagian, maka kerja itu akan menjadi suatu kerja yang tidak akan membawa sebarang erti dan kesan kepada parti. Sebab itulah apabila kepimpinan Bahagian mengambil tindakan menghalang beliau daripada terus melakukan kerja-kerja sosial dan kebajikan baru-baru ini, beliau tidak pun menyatakan sebarang bantahan kecuali akur walau pun padahal kerja-kerja ini telah pun bertahun-tahun lamanya beliau lakukan.  Bahkan beliau amat bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk memberikan kerjasama kepada UMNO Bahagian jika khidmat dan sumbangan beliau diperlukan.
Hari ini saya berjumpa dengannya.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
18 Julai 2011 Semerak.

No comments:

Post a Comment