Wednesday 27 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (45)
Pada hari ini berlangsung dua majlis di DUN Semerak. Satu di SMK Dato’ Ismail diadakan Majlis Penyampaian Netbook (Fasa 2) kepada 170 orang murid sekolah-sekolah menengah Pasir Puteh. Yang satu lagi ialah Mesyuarat Agong PPK di Peladang Semerak.
Majlis Penyampaian Netbook dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh.
Ketua UMNO Bahagian telah menyentuh beberapa perkara dalam ucapan perasmiannya. Sebagai orang politik sudah tentulah beliau tidak akan melepaskan peluang apabila dijemput untuk bercakap tentang isu-isu politik walaupun majlis itu bukan majlis politik yang tidak sepatutnya dipolitikkan. Dalam ucapannya, beliau telah menyentuh isu Himpunan Bersih yang lalu, isu judi/ bulan puasa di Kedah dan isu YB Semerak mengagihkan tanah tidak kepada mereka yang betul-betul layak dan memerlukan.
Saya tidak berminat untuk mengulas apa-apa tentang kedua-dua isu  Himpunan Bersih dan isu larangan judi di bulan puasa di Kedah tetapi saya ingin memperkatakan tentang ketidakadilan YB Wan Hassan dalam tugas dan tanggungjawabnya berkaitan dengan pemberian tanah kepada rakyat Semerak seperti yang didakwa oleh Ketua UMNO Bahagian itu.. Saya merasa terpanggil untuk memperkatakannya kerana isu ini berlaku di DUN Semerak dimana saya tinggal dan mengundi.
Saya tidak ingin mendahului YB Wan Hassan kerana tidak mempunyai apa-apa pengetahuan dalam hal ini. Saya juga tidak ingin mencampuri urusan dalaman partinya tetapi saya terpaksa menulisnya juga kerana menganggap isu ini berkemungkinan besar akan dijadikan bahan ‘panas’ dalam kempen pilihanraya nanti oleh pihak BN.  Isu pemberian tanah adalah sesuatu yang sememangnya terlalu sensitif bagi semua orang dan saya berpendapat bahawa bukan sahaja pihak BN bahkan orang-orang PAS sendiri pun sememangnya ada hak untuk mempertikaikannya jika terbukti ada berlaku ketidakadilan atau penyelewengan dipihak wakil rakyat parti PAS. Begitu jugalah jika wakil rakyat  itu ialah seorang wakil rakyat dari parti UMNO maka bukan sahaja pihak parti PAS sahaja bahkan orang-orang UMNO sendiri pun berhak melakukan perkara yang sama.  Oleh itu, saya harap beliau akan segera membuat kenyataan selepas membaca artikel saya ini. Sudah tentulah orang yang paling tahu dan faham tentang kerjanya ialah beliau sendiri dan saya yakin beliau bersedia untuk memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam memperjelaskan isu ini.
Dengan demikian saya belum berupaya untuk membuat kritikan dengan mengatakan bahawa YB Wan Hassan telah tidak berlaku adil dalam perkara mengagihkan tanah kepada rakyatnya. Walau bagaimana pun, beliau seharusnya segera membuat penafian secara terbuka jika betul-betul selama ini segala tindak tanduknya dalam isu ini tidak pernah mengandungi unsur-unsur salahguna kuasa atau ketidakadilan. Penafian atau penjelasan adalah sangat penting kerana ianya mencerminkan dasar sebenar kepimpinannya. Ianya juga boleh mencerminkan kepincangan dasar parti PAS dan jika tidak ditangani secara jujur dan ikhlas, ianya boleh membawa kesan yang ‘substantial’ keatas dirinya sendiri jika beliau diletakkan sekali lagi sebagai calon PAS DUN Semerak dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.
Saya harap YB Wan Hassan akan bersedia membuat kenyataan dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat tanpa berselindung disebalik alasan-alasan yang tidak munasabah atau yang tidak berkaitan. Jika perlu beliau dicadangkan memuatkannya kedalam Sinar Harian selain daripada Facebook.
Jika tidak, rakyat DUN Semerak akan merasa was-was bahkan curiga hasil daripada kenyataan terbuka yang telah dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian di SMK Dato’ Ismail pagi tadi yang kebetulan lokasi sekolah itu pun di Semerak juga.
Semoga isu ini tidak berpanjangan dan usaha supaya UMNO dan PAS berbaik-baik dapat dicapai sekurang-kurangnya duduk bersama dan semeja walaupun belum dapat seia dan sekata.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
27 Julai 2011 Semerak.

No comments:

Post a Comment