Friday 8 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (31)
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh meminta supaya segala kritikan saya terhadap kepimpinan Ketua UMNO Bahagian disampaikan hanya kepadanya dan Ketua Bahagian sahaja secara senyap-senyap bukan disiarkan secara umum sepertimana biasa yang telah saya lakukan selama ini melalui emel-emel.
Katanya, dalam agama inilah amalan yang dianjurkan supaya pemimpin yang dikritik itu tidak merasa malu kerana dijatuhkan maruahnya.
Saya bersetuju dengan saranan beliau itu. Sememangnya pada peringkat awal dulu pendekatan inilah yang telah saya ambil. Namun saya terpaksa mengubahnya apabila pandangan dan teguran saya itu tidak mendapat perhatian daripadanya. Ketua Bahagian mula memgang jawatannya pada 8hb November 2008 tetapi saya mula mengubah cara dan pendekatan menegur beliau pada tahun 2009 iaitu setelah setahun mencuba dengan cara senyap-senyap sepertimana yang dikehendaki oleh Ketua Pemuda itu.
Kewajaran kedua mengapa saya emelkan tulisan saya kepada ahli-ahli lain ialah kerana saya tidak pernah menulis apa-apa yang menyentuh peribadi beliau. Tidak juga menyentuh apa-apa yang boleh ditafsirkan sebagai menghasut, menfitnah atau membawa mesej seperti dalam bentuk surat layang untuk menjatuhkan beliau. Saya sentiasa menjaga etika penulisan saya supaya ianya tidak terdorong kepada memberi kesan buruk kepada parti.
Oleh itu, saya berpendapat ahli-ahli lain seperti saya di peringkat akar umbi sewajarnyalah mengetahui apa-apa yang saya tulis supaya mereka pun sentiasa maklum akan suasana semasa kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh. Dengan itu, mereka pun bolehlah juga memainkan peranan mereka mengikut suasana dan senario semasa dalam membantu parti kearah memenangi pilihanraya yang akan datang. Saya kira kerja saya menyampaikan maklumat-maklumat ini kepada mereka sebagai sesuatu yang tidak  melanggar perlembagaan parti.
Dengan hal yang demikian, saya dengan ini berikrar untuk terus menulis dan menulis dari masa kesemasa dan mengemelkan semua tulisan saya kepada seluruh rangkaian hubungan saya baik di dalam mahu pun di luar Pasir Puteh seperti biasa (sekarang berjumlah 65 orang). Saya yakin seluruh rangkaian saya ini bersetuju dengan tindakan saya ini kerana mereka tahu kita bukan mencari salah sesiapa tetapi sekadar menegur dan memberikan cadangan dengan menyalurkan sesuatu daripada pemikiran ahli-ahli biasa di peringkat akar umbi kerana ‘mechanism’ lain yang lebih berkesan sudah tidak ada lagi untuk mereka. Di Semerak, tidak ada orang-orang Bahagian yang mendekati ahli-ahli di peringkat akar umbi secara dekat dan mesra.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
6 Julai 2011 Semerak.

No comments:

Post a Comment