Friday 22 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (40)
Buat pada masa ini saya ingin mengambil sikap yang neutral, tidak memihak kepada mana-mana orang perseorangan atau pun parti politik walaupun pada hakikatnya saya masih lagi ahli UMNO yang sah dengan nombor keahlian saya sekarang 03924693 (nombor asal 592247 dari 1983-1997) dan memegang jawatan SU UMNO Cawangan Kampong Gelam Pasir Puteh dimana Ketuanya ialah YBhg. Dato’ Pahamin A. Rajab.
Ini adalah kerana saya ingin menjadi seorang penulis blogg yang tidak terikat kepada mana-mana pihak supaya dengan itu juga saya boleh menulis dengan bebas mengikut cara dan kaedah yang saya sendiri putuskan.  Dengan cara ini juga saya boleh berkawan dan bertukar pendapat dengan sesiapa sahaja secara bebas.
Pada mulanya saya hanya mencuba-cuba menulis secara main-main sahaja untuk mengisi masa lapang tetapi ianya menjadi satu hobi yang agak menyeronokkan apabila saya terus menulis dan menulis. Saya bermula dengan menulis sedikit-sedikit sewaktu Parti KeAdilan ditubuhkan. Pada masa itu saya berpendapat bahawa orang-orang melayu sepatutnya berpecah kepada hanya dua parti sahaja.  Parti-parti itu adalah UMNO dan PAS.  Saya berpendapat sedemikian kerana bagi saya kedua-dua parti yang ada ini sudah cukup memecahbelahkan perpaduan orang-orang melayu tetapi ianya dianggap wajar kerana perbezaan pendapat tidak boleh dihapuskan. Biarkanlah orang-orang melayu yang sukakan kepada UMNO terus berada di dalam UMNO dan biarkanlah juga orang-orang yang sukakan kepada PAS terus berada di dalam PAS. Setiap rakyat mempunyai hak masing-masing untuk membuat keputusan.
Bagi mereka yang tidak suka kepada kedua-dua parti ini pula berhak membuat keputusan peribadi mereka untuk tidak menganggotai mana-mana parti tetapi mereka masih boleh mendaftar sebagai pengundi biasa dan keluar mengundi pada hari mengundi.
Sebab itulah sewaktu Parti KeadiLan mula-mula ditubuhkan saya tidak begitu berminat untuk membuat keputusan muktamad menyertainya walaupun orang-orang kuat DSAI datang mengajak saya. Pada masa itu mantan YB Ustaz Ramli Ibrahim memegang jawatan Pesuruhjaya KeAdilan negeri Kelantan dan beliau telah meminta supaya saya mengetuai parti itu di Pasir Puteh. Saya telah menolaknya secara baik dengan alasan bahawa saya tidak berkemampuan. Saya telah lama mengenali beliau semenjak awal tahun 1970an lagi sewaktu saya di ITM Shah Alam. Selain daripada beliau saya juga sangat mengenali Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Dato’ Nakhaei Ahmad dan juga Datuk Kamaruddin Md Nor yang pada masa itu memegang jawatan Setiausaha Agong WAMY dan Setiausaha Agong ABIM.
Saya bertanya kepada diri saya sendiri mengapa orang-orang UMNO yang hendak keluar daripada UMNO tidak menyertai PAS sahaja? Saya berkata bahawa sesebuah parti politik bukanlah seperti sebuah rumah yang apabila terlalu ramai yang hendak masuk rumah itu maka orang-orang yang terkemudian terpaksalah berdiri di luar. Saya bertanya juga atau apakah pemimpin-pemimpin parti PAS tidak mahu menerima mereka? Saya yakin bukan itu alasannya maka sebuah parti baru telah  ditubuhkan.
Pada saya, orang-orang melayu sudah lama berpecah dan berpecah. Tidak tahulah sampai bila. Sebab itu saya sangat-sangat ingin melihat satu usaha dibuat secara bersungguh-sungguh oleh kepimpinan kedua-dua belah pihak untuk menyatukan semula orang-orang melayu. Perkara ini sepatutnya dijadikan agenda utama untuk sama-sama diusahakan oleh pemimpin kedua-dua belah pihak. Saya tidak mempunyai upaya untuk membuat apa-apa untuk tujuan itu sebab itu saya telah katakan bahawa ‘saya ingin melihat’. Orang-orang melayu seperti saya ini sudah tentulah semakain ramai sekarang ini. Mereka hendak kita semua bersatu dalam sebuah parti atau pun jika tidak boleh juga bersama di dalam sebuah parti, sekurang-kurangnya bersatu di dalam satu kawasan yang sama dengan tidak berjauhan.
Bagi saya soal samada parti UMNO dengan BNnya akan kekal memerintah selepas PRU ke-13 ini atau pun parti PAS dengan PRnya pula yang akan mengambil alih adalah sesuatu yang saya anggap tidak  ‘relevant’ dalam konteks perpaduan orang-orang melayu. Jika pun parti PAS mengambil alih, orang-orang melayu masih juga berpecah. Sebab itu saya tidak kisah parti mana yang memerintah tetapi orang-orang melayu harus bersatu.
Program-program kearah itu seharusnya dirangka dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan harapan ini. Orang-orang melayu seharusnya dibiarkan berdebat semata-mata untuk mencari titik perdamaian bukan berdebat semata-mata untuk menegakkan benang yang basah. Orang-orang melayu seharusnya sedar dan bertanya mana yang lebih baik samada bersatu atau pun tidak.
Jika jawapannya ialah lebih baik bersatu, maka sama-sama kendurkanlah acara-acara politik yang boleh merenggangkan lagi orang-orang melayu. Jika sebaliknya, anak cucu kitalah juga yang akan menerima akibatnya jika terjadi apa-apa disebabkan perpecahan sesama kita.

Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
23 Julai 2011 Semerak.

No comments:

Post a Comment