Wednesday 20 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (39)
Kapt. (B) Wan Marzudi Dato Hj. Wan Omar, JP semakin disebut-sebut sebagai tokoh yang paling sesuai untuk dijadikan calon BN DUN Semerak dalam PRU ke-13 ini. Nama beliau disebut-sebut oleh orang ramai sebagai orang yang mampu menggugat YB Wan Hassan jika mereka berdua bertemu di gelanggang pilihanraya.
Orang ramai berkata sememangnya YB Wan Hassan ada kekuatan tersendiri kerana beliau ialah seorang wakil rakyat tetapi Kapt. (B) Wan Marzudi JP pun tak kurang dengan kekuatan tersendirinya juga.
Kalau YB Wan Hassan dikenali kerana beliau ialah seorang wakil rakyat maka Kapt. (B) Wan Marzudi dikenali kerana beliau ialah anak kepada Dato’ Hj. Wan Omar bekas wakil rakyat DUN Semerak yang juga bekas ahli parlimen Pasir Puteh. Oleh itu, soal memperkenalkan diri masing-masing kepada pengundi-pengundi DUN Semerak tidak akan menjadi sesuatu yang payah apabila tiba masanya nanti. Kedua-dua mereka ini adalah anak jati tempatan. Kedua-dua mereka ini mempunyai kriteria kepimpinan yang dikehendaki orang ramai atau rakyat kerana kedua-dua mereka ini sudah pun lama melakukan usaha-usaha membantu rakyat dengan cara dan kaedah masing-masing. Dalam ertikata politik, kedua-dua mereka ini seimbang dari segi kekuatan dan pengaruh masing-masing.
Walau bagaimana pun, saya hanya menyentuh  keupayaan dan kekuatan peribadi mereka sahaja. Saya tidak kaitkan dengan perkembangan semasa politik dengan isu-isu semasa kerana lebih mementingkan pengaruh dan pencapaian mereka di dalam masyarakat setempat terlebih dahulu. Ini disebabkan kriteria asas untuk menjadi seorang pemimpin adalah keupayaan seseorang untuk melakukannya dengan cara-cara yang dikehendaki orang ramai.  Seseorang itu hendaklah dilihat mempunyai bakat semula jadi dan bersedia memimpin ‘bersama’ bukan memimpin ‘berseorangan’. Beliau hendaklah dilihat berupaya memimpin dengan cara ‘berjalan bersama’ atau lebih baik lagi ‘berjalan di belakang’.
Oleh itu, apabila sampai masanya nanti dan kedua-dua mereka ini ‘ditakdirkan’ bertembung di gelanggang perlawanan, maka itulah masanya pengundi-pengundi akan membuat pilihan mereka.  Saya yakin bahawa kedua-dua mereka ini akan berlawan dengan cara dan suasana yang akan menjadi contoh kepada DUN-DUN lain. Mereka telah lama mengenali diantara satu sama lain dan tinggal sekampong. Saya yakin menang kalah mereka akan diterima baik secara berlapang dada oleh mereka dan pengikut masing-masing kerana adat pertandingan ada yang kalah dan ada yang menang.
Yang paling menarik perhatian saya dalam hal ini ialah kedua-dua mereka ini tidak pun pernah dilihat atau terdengar melakukan sebarang ikhtiar atau ‘lobi-melobi’ untuk menjadi calon sepertimana yang biasa dilakukan oleh segelintir orang apabila musim pilihanraya menjelang tiba. Kedua-dua mereka tidak mahu dilihat seperti inginkannya dengan cara meminta-minta daripada pihak atasan kerana mereka ingin serahkan keputusan menentukannya kepada orang ramai. Mereka berkata, orang ramai lebih berhak untuk menentukan siapa yang akan menjadi calon dan yakin juga pihak atasan parti pun tahu siapa yang layak.  Oleh itu, menjadi calon atau pun tidak adalah sesuatu yang ‘tidak pelik’ juga bagi mereka. Segala-galanya adalah ketentuan Allah SWT.
Sama-samalah kita doakan semoga pilihanraya DUN Semerak berjalan dengan aman dan harmoni. Berbeza pendapat adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan walau di mana-mana pun. Yang penting ialah pilihanraya berjalan dengan baik dan aman dan ini banyak bergantung kepada sikap calon dari parti masing-masing kerana merekalah pemimpin untuk pengikut masing-masing yang seharusnya mampu mengawal keadaan dan suasana tanpa menyerahkannya bulat-bulat hanya kepada pihak berkuasa sahaja.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
20 Julai 2011 Semerak.

S.K.
Kepada Seluruh Rangkaian Hubungan
Dalam Dan Luar Pasir Puteh termasuk YB Wan Hassan.

No comments:

Post a Comment