Monday 25 July 2011


SUASANA SEMASA POLITIK DUN SEMERAK (44)
Pada malam ini berlangsung satu acara dibawah anjuran MKN dan KRT Semerak di Padang SK Cherang Ruku. Dengarnya antara acara selingan yang akan berlangsung termasuklah acara dikir barat selain daripada ucapan-ucapan.
Dari satu segi program seperti ini amatlah baik untuk seluruh masyarakat Semerak kerana KRT sudah lama tidak mengadakan sebarang program untuk orang ramai. Ianya sedikit sebanyak sudah tentu boleh memberikan maklumat-maklumat penting yang berkaitan untuk pengetahuan orang ramai. Biasalah juga apabila sesuatu program diadakan terdapat acara-acara selingan seperti dikir barat sebagai bahan memeriahkan lagi acara. Malahan orang ramai sememangnya lebih memperkatakan tentang dikir barat berbanding dengan program sebenar malam ini. Mereka semua akan keluar semata-mata hendak berhibur dengan acara dikir barat itu.
Saya tidak mahu mempertikaikan program itu secara umumnya tetapi saya ingin mempertikaikan kenapa acara dikir barat dijadikan acara selingan. Apakah tidak ada acara-acara lain yang boleh diselitkan? Apakah hanya dikir barat sahaja yang boleh dijadikan sebagai tarikan supaya orang ramai datang beramai-ramai?
Saya bertanya soalan itu kerana kita sekarang sudah berada diambang bulan Ramadhan. Hari ini ialah 23 Syaaban 1432 Hijri iaitu hanya seminggu sahaja lagi bagi umat Islam menempuh bulan puasa. Bukankah lebih elok kalau diselitkan acara selingan itu dengan acara-acara yang lebih bersesuaian seperti nyanyian nasyid atau bacaan Al-Quran? Bukankah acara selingan seumpama ini lebih sesuai sebagai menghormati bulan Ramadhan yang hampir tiba? Atau mungkinkah kerana hendak mengambil hati kaum-kaum lain maka dirasakan acara ini tiada kena mengena dengan bulan Ramadhan? Jika demikian halnya, tidak bolehkah program ini dibuat dalam masa yang lain bukan dimasa menghampiri bulan Ramadhan?
Saya tidak tahulah mengapa orang yang merancang program ini tidak mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap bulan yang mulia ini sehingga masih sanggup mengadakan acara-acara yang tidak sesuai. Sudah tentulah orang yang berkenaan itu ada jawatan dalam KRT Semerak dan beliau pun ada hubungan yang rapat dengan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh.
Saya bukannya mahu mengaitkan program ini dan orang yang merancangnya dengan UMNO Bahagian tetapi saya yakin jika Ketua UMNO Bahagian mengambil berat dan memainkan peranan menasihatinya, sudah tentu orang yang berkenaan tidak akan berani menyelitkan program itu seperti di Semerak pada malam ini.
Apa pun, diharap kandungan bahan kata-kata dalam dikir barat malam ini banyak memberikan tumpuan kepada unsur-unsur yang sesuai sebagai menghormati bulan Ramdhan yang hampir tiba bukan dibawa dengan gaya dan kata-kata sebagaimana lazim didikirkan.
Oleh,
Wan Ab Malek Bin Wan Noh
25 Julai 2011 Semerak.

No comments:

Post a Comment