Friday 30 September 2011

MD 17


MyDiary (17)
30/09/2011

Konsep kesetiaan kepada parti bergantung kepada beberapa persepsi. Ada yang berkata kesetiaannya ialah kesetiaan kepada pemimpinnya. Ada juga yang berkata kesetiaannya ialah kesetiaan kepada organisasinya.

Kedua-duanya betul. Namun, bagi saya itu semua kurang penting. Apa yang lebih penting ialah kesetiaan kepada parti yang sebenar-benarnya melalui sikap dan tindakan. Namun, ada sikap yang jelas ada juga yang tidak. Ada tindakan yang dilihat bersesuaian dan ada juga yang tidak. Kedua-dua senario ini masih juga tidak boleh dinilai secara muktamad dan mutlak untuk menentukan apa-apa kerana niat sebenar seseorang itu tiada siapa yang tahu kecuali Allah Swt.

Kita boleh setia kepada parti dengan cara setia kepada pemimpinnya. Kalau diperingkat pusat, semua ahli dalam dan luar negara hendaklah setia kepada Presiden parti dan juga lain-lain yang bersamanya. Kalau diperingkat negeri, semua ahli dalam dan luar negeri hendaklah setia kepada Pengerusi Perhubungan dan juga lain-lain yang bersamanya. Kalau diperingkat Bahagian, semua ahli dalam dan luar daerah hendaklah setia kepada Ketua Bahagian dan juga lain-lain yang bersamanya. Akhir sekali kalau diperingkat Cawangan, semua ahli dalam dan luar mukim hendaklah setia kepada Ketua Cawangan dan juga lain-lain yang bersamanya.

Itu adalah bentuk dan cara setiap ahli setia kepada kepimpinan. Semua itu bolehlah dirumuskan juga sebagai kesetiaan kepada organisasi secara mutlak dan inilah tahap kesetiaan kelas pertama.

Walau bagaimana pun, kadang-kadang kesetiaan ini terganggu. Ahli-ahli diganggu dengan berbagai-bagai ragam khabar tentang orang-orang yang memegang jawatan kepimpinan itu. Ada khabar secara bertulis ada khabar secara percakapan. Ada khabar yang betul ada juga yang tidak. Semua itu menyumbang kepada banyak masalah jika tidak ditangani segera. Sejauh mana seseorang pemimpin itu boleh menghadapinya, bergantung kepada keupayaan serta tahap kesabaran yang dimilikinya. Ada pemimpin yang tahan ada juga yang tidak. Ada pemimpin yang tidak mengendahkannya ada juga yang melatah.

Untuk merumuskannya, saya berpendapat bahawa siapa yang memimpin sesebuah organisasi itu tidak penting. Yang penting ialah organisasi itu sendiri. Pemimpin sentiasa boleh ditukar ganti apabila sampai masanya dan kuasa memilih adalah ditangan ahli-ahli organisasi itu. Begitu jugalah UMNO. Pemimpin tidak semestinya kekal. Jika beliau adil dan bijak serta jujur, seseorang itu sudah tentu sentiasa diberikan mandat semula untuk memimpin lagi. Jika sebaliknya, ahli-ahli sudah tentu akan bertindak memilih orang lain pula apabila sampai masanya.

Oleh itu, janganlah dek kerana kita tidak mahu seseorang pemimpin itu memimpin, maka kita musnahkan keseluruhan organisasi itu. Kita hendaklah juga bersabar dan menunggu. Kadang-kadang seseorang pemimpin itu tidak semestinya salah sepanjang masa atau kadang-kadang kesalahan itu dibuat tanpa sengaja. Kita boleh maafkannya dan memberikan peluang yang secukupnya untuk beliau membetulkannya semula . Jika selepas ditegur, seseorang pemimpin itu masih lagi melakukan kesalahan atau kesilapan yang sama, maka baru itulah masanya ahli-ahli wajar mengambil tindakan keatasnya.

Dalam konteks UMNO Bahagian Pasir Puteh, ianya tidak terkecuali. Kepimpinannya mungkin ada melakukan kesalahan dan kesilapan. Ahli-ahli sentiasa memerhati dan menilai. Itu hak mereka kerana seseorang pemimpin yang memegang kuasa adalah sebenarnya dengan kehendak ahli-ahli itu bukan dengan kehendak pemimpin itu sendiri.

Oleh itu, buat pada masa ini marilah kita sama-sama memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap kerja-kerja persiapan menghadapi pilihanraya umum yang semakin hampir. Bermula dengan Ketua Bahagian sendiri yang selayaknya menjadi calon parlimen, sehinggalah kepada seluruh jentera yang telah diatur, semua pihak hendaklah memulakan langkah dengan semangat kerja berpasukan yang sejati untuk sama-sama menentukan supaya parti dapat dipertahankan untuk memerintah lagi negara selepas pilihanraya ini.

BERSATU  BERSETIA  BERKHIDMAT

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment