Monday 12 September 2011

MD 4


MY DIARY (4)
12/09/2011

Saya tidak banyak mengkritik kepimpian PAS Kawasan Pasir Puteh kerana saya bukan ahli parti itu. Saya banyak menyanjung sebaliknya kerana hendak menyedarkan kepimpinan UMNO Bahagian tentang kemajuan kerja yang dilakukan oleh mereka.

Saya tidak menyentuh isu-isu peribadi kepimpinan PAS kerana saya tidak berminat melibatkan diri didalam perbahasan seperti ini. Begitu jugalah terhadap mana-mana individu kepimpinan UMNO Bahagian.

Saya tidak menyentuh isu-isu politik kerana saya tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang mencukupi didalam perkara-perkara itu.

Saya tidak menulis tentang ramai orang kerana saya hanya kenal rapat beberapa tokoh sahaja.

Saya harap ada orang lain yang menjalankan tugas-tugas yang saya tidak buat itu. Saya hanya ingin memberikan tumpuan kepada kerja menulis pandangan, kritikan dan cadangan terhadap kepimpinan parti yang saya jadi ahlinya sahaja. Saya juga harap ada orang lain yang boleh menulis tentang orang-orang lain yang saya tidak menulis tentang mereka.

Dengan itu saya harap tiada lagi diantara pembaca blog saya yang bertanya mengapa saya tidak menulis tentang perkara-perkara yang telah saya sebutkan itu.

Masa ini adalah masa untuk memperkemaskan parti. Apabila kita bercakap tentang berkemas-kemas, ini bermakna bahawa seolah-olah semua peralatan sudah tersedia. Kalau di rumah, seorang isteri akan melakukan kerja-kerja ini dipagi hari dengan cara meletakkan segala perkakas di tempat asalnya semula dan menyapu lantai serta membuang habuk-habuk di perabut. Jika tetamu datang, rumah sudah bersih dan teratur.

Begitu jugalah sesebuah parti. Sekarang adalah masa ‘mengemaskan rumah’. Jika pilihanraya datang, parti sudah bersih dan teratur juga.

Ada rumah yang kelengkapan rumahnya terlalu banyak dan sesak. Ada rumah yang tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Ianya bergantung diatas kemampuan ketua keluarga itu sendiri.

Begitu jugalah sesebuah parti. Ada Bahagian yang terlalu ramai ahli-ahlinya yang berminat untuk menjadi calon. Ada Bahagian yang kurang mempunyai ahli-ahli seperti ini.

Saya memilih untuk bersetuju dengan Bahagian yang ada ramai ahli-ahli yang berminat hendak menjadi calon. Suasana ini sebenarnya adalah satu suasana yang baik. Sejak dari awal lagi saya telah menulis tentang perkara ini. Bagi saya, sesiapa pun boleh menggalakkan diri untuk menjadi calon. Ini tidak salah dari segi perlembagaan parti. Sebab itu saya telah menghasilkan artikel yang bertajuk 'Kertas Cadangan 4' bertarikh 18 Sept 2009.

Apabila ramai orang yang berminat, mereka akan berlumba-lumba untuk memenangi perlumbaan. Saya melihat senario ini ada berlaku di Pasir Puteh. Apabila Cikgu Azmi dan Kapt. (B) Wan Marzudi JP contohnya, mula mempergiatkan diri mereka dengan usaha-usaha awal ‘turun padang’ mereka, terdapat beberapa individu lain dari kepimpinan Bahagian turut melakukannya juga. Mereka terdiri daripada orang-orang yang berfikiran positif bahawa kerja ‘turun padang’ adalah suatu aktiviti asas yang seharusnya dilaksanakan oleh setiap pemimpin parti pada setiap masa. Mereka juga adalah orang-orang yang berani menghadapi cabaran kerana faham bahawa setiap kerja baik yang dibuat sudah tentulah juga akan menghadapi rintangan dan cabaran daripada mereka yang berfikiran negatif.

Apa yang penting ialah kerja-kerja yang dibuat itu disukai oleh orang ramai kerana sudah tentulah mereka lebih ramai berbanding dengan jumlah kepimpinan Bahagian.

Suasana berlumba-lumba hendak menjadi calon sepatutnya diberikan galakan. Apabila sudah ramai, ianya akan menjadi sesuatu yang tidak akan mengakibatkan sesiapa diantara mereka merasa diperkecilkan lalu merajuk apabila sampai masanya mereka tidak terpilih. Sebab itu, semasa pertandingan diperingkat Bahagian sendiri pun, kita tidak dapati orang-orang yang bertanding diperingkat AJK Bahagian merasa terlalu kecewa jika kalah kerana jumlah yang bertanding adalah ramai. Kita sentiasa dapati orang yang kecewa adalah orang yang kalah bertanding diperingkat atasan sahaja kerana jumlahnya tidak ramai.

Walau pun begitu, ada caranya dimana mereka yang kalah diperingkat atasan itu boleh pula disatukan semula supaya ahli-ahli di bawah tidak berpecah.

Cikgu Azmi dan Kapt. (B) Wan Marzudi JP merupakan dua contoh terbaik di Pasir Puteh dari segi ‘berminat’ hendak menjadi calon. Walau pun mereka kadang-kadang dikritik hebat kerana didapati ada perkara-perkara yang agak janggal dibuat mereka tetapi itu semua telah dilalui dan ditangani dengan sebaik mungkin tanpa membuatkan sesiapa pun berkecil hati terutama kepimpinan Bahagian sendiri.

Perkara remeh-temeh itu tidak menghalang mereka meneruskan kerja-kerja ‘turun padang’.

Mereka berkata kepada saya bahawa sememangnyalah mereka tidak akan menolak jika ditawarkan untuk menjadi calon tetapi tidak akan sekali-kali merasa kecewa sehingga mengambil langkah-langkah untuk ‘sabotaj’ calon lain jika tidak terpilih. 

Itu jaminan mereka kepada saya.

Jaminan ini juga adalah untuk seluruh ahli-ahli UMNO Pasir Puteh.



Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment