Saturday 24 September 2011

MD 12


MyDiary (12)
25/09/2011

Saya telah menghasilkan sebanyak hampir 200 artikel politik. Sebahagian besarnya terdapat di dalam blog saya http://wanmalekwannoh-abelekrm.blogspot.com.

Kesemuanya adalah artikel-artikel pendek yang keseluruhannya menyentuh kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh. Ada juga kadangkala saya menyentuh kepimpinan PAS Pasir Puteh tetapi itu hanyalah sekadar hujah-hujah perbandingan sahaja.

Saya akan terus menulis selagi saya menjadi ahli UMNO. Semua tulisan-tulisan saya akan mengandungi kritikan dan cadangan untuk UMNO Bahagian Pasir Puteh.

Inilah untungnya jika kita tidak memegang sebarang jawatan parti. Jika tidak, saya sendiri pun tidak akan boleh menulis apa-apa kecuali puji-pujian.

Saya mengambil sikap untuk mengkritik kepimpinan UMNO Bahagian sahaja bukan kepimpinan diperingkat yang lebih tinggi kerana saya merasa bahawa setakat itulah sahaja yang saya mampu lakukan. Selain daripada itu, saya menganggap bahawa kekukuhan parti UMNO banyak bergantung kepada kukuhnya parti diperingkat Bahagian. Sebab itulah perwakilan Bahagian dipilih untuk seterusnya mengambil bahagian di peringkat perhimpunan agung.

Saya berkata bahawa saya akan terus mengkritik kepimpinan UMNO Bahagian selagi saya menjadi ahli UMNO. Ini bermakna bahawa saya akan mengkritik tanpa mengambilkira siapa yang akan menerajui Bahagian pada masa yang akan datang. Jika pun orang lain pula yang akan memimpinnya, saya akan terus mengkritik seperti biasa jika terdapat apa-apa yang dirasakan perlu dikritik. Ini bergantung kepada situasi serta keperluan.

Semua ini saya lakukan dengan dua sebab utama. Pertama, saya ingin lahirkan satu suasana dan budaya keterbukaan didalam UMNO Bahagian Pasir Puteh dimana ahli-ahli biasa akan merasa bebas untuk membuat kritikan terhadap kepimpinan. Sebab itu semua kritikan-kritikan saya itu sengaja saya zahirkan secara terbuka di dalam blog untuk tatapan ramai. Kedua, saya ingin lahirkan satu suasana bahawa kerja menawarkan diri untuk bertanding memegang sesuatu jawatan penting parti bukanlah seharusnya dijadikan sesuatu yang dikejar-kejar tetapi ianya hendaklah dianggap sebagai amanah yang sebenarnya berat untuk dipikul.

Oleh itu, kritikan secara terbuka adalah satu-satunya cara dan kaedah untuk mengawal mereka yang menang dan diberikan kepercayaan memegang jawatan parti terutama kepimpinan utama. Dengan itu juga, ianya boleh melahirkan suasana bahawa ahli-ahli UMNO berhak juga untuk menentukan sebarang keputusan parti secara tidak langsung bukannya kepimpinan sahaja. Mereka berhak menentukan keputusan melalui cawangan-cawangan dan pihak kepimpinan hanyalah sekadar menjalankan tugas dan amanah yang telah dimandatkan. Kepimpinan tidak berhak membuat keputusan semata-mata mengikut selera dan cita rasa mereka sendiri sahaja kerana parti adalah hak ahli-ahli atau orang ramai. 

Dengan ini, saya berharap kita akan kembali kepada suasana asal bahawa penglibatan seluruh ahli-ahli adalah ‘relevant’ didalam membuat keputusan sepertimana yang terkandung didalam perlembagaan parti termasuk jugalah hak mereka untuk mengkritik dan memberikan cadangan.

Supaya dengan itu juga, sesiapa yang memegang jawatan parti tidaklah lagi merasa terlalu bebas membuat keputusan sendiri yang kadangkala merugikan parti itu sendiri. Apalagi jikalau keputusan yang dibuat itu hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja termasuk dirinya sendiri.

Dengan cara ini juga diharapkan setiap kali diadakan pemilihan, mereka yang menang tidak merasa mereka mendapat ‘keistimewaan’ untuk dimegah-megahkan tetapi mereka merasa bahawa mereka hanyalah diberikan mandat untuk menjalankan tugas-tugas bagi pihak seluruh ahli-ahli mengikut perlembagaan parti.

Maka dalam kaitan ini, saya ingin membuat sedikit pengumuman bahawa besar kemungkinan saya akan mula mengajak kawan-kawan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dipanggil ‘ Biro Aduan Politik’ khas untuk menerima segala aduan dan cadangan samada sulit atau pun tidak terhadap kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Puteh. Segala aduan dan cadangan akan dihantar terus kepada pucuk kepimpinan parti diperingkat pusat dan juga negeri. Sebahagian besar ahli jawatankuasa adalah mereka yang aktif dalam Facebook dengan seorang ketua (sudah tentu bukan saya) yang tidak memegang sebarang jawatan parti kecuali ahli biasa sahaja.

Saya yakin bahawa ‘mechanism’ yang akan diwujudkan ini dapat membantu parti didalam mengawal secara berkesan segala tindak tanduk salah kepimpinan, jika ada. Sekurang-kurangnya ada badan ‘prefect’ yang sentiasa mengawas dan melaporkan.

Oleh,

Wan Ab Malek Bin Wan Noh
No Ahli UMNO 03924693
Semerak.

No comments:

Post a Comment